OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Terperangkap api marak di hadapan, laut di belakang antara detik cemas ADUN Sekong bantu padam kebakaran Kampung Bahagia

Terperangkap api marak di hadapan, laut di belakang antara detik cemas ADUN Sekong bantu padam kebakaran Kampung Bahagia

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani, berdepan detik cemas ketika turun padang membantu usaha memadamkan kebakaran di Kampung Bahagia, di sini, awal pagi tadi.

Alias berkata, tindakannya itu bagaimanapun ditegur anggota bomba kerana berada terlalu hampir dengan kawasan bahaya.

"Bomba marah saya: 'YB (Yang Berhormat) tidak boleh ke hadapan'. Namun sebagai YB, kami berikan apa saja yang ada - walaupun perlu mempertaruhkan nyawa - demi menyelamatkan rakyat.

"Kasihan mereka... itu semua rumah orang susah. Rumah mereka pun kecil-kecil saja untuk anak-beranak tidur, tidak kena hujan dan matahari," katanya ketika dihubungi.

Alias bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan membasahkan pakaian dan menutup hidung untuk mengelak terhidu asap, dalam membantu operasi memadam kebakaran itu.

Katanya, terdahulu beliau dikejutkan oleh anak kira-kira jam 3 pagi sebelum bergegas ke lokasi, namun api sudah marak ketika tiba.

Beliau berkata, api merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang rapat dan tiupan angin kuat.ย Dalam satu rakaman video yang tular, Alias dilihat merobohkan dinding rumah bagi memutuskan rantaian api.

Namun, katanya, usaha berkenaan gagal menyelamatkan kediaman terbabit.

"Kami terpaksa merobohkan beberapa kediaman (sebagai 'firebreak'), memotong bahagian jambatan dan menyiram air ke atas rumah sekitar untuk mengawal api.

"Penduduk kampung panik, justeru saya perlu menyusun gerakan dan memberi arahan kepada mereka," katanya.

Malah, beliau turut memanjat bumbung untuk menyelaraskan usaha itu, namun berdepan situasi cemas apabila terperangkap antara api marak di hadapan dengan laut di belakangnya.

"Saya terpaksa keluar menyelamatkan diri dengan menggunakan bot. Pengalaman hari ini betul-betul tidak dapat dilupakan," katanya.

Alias berkata, beliau berada di lokasi sehingga api berjaya dipadamkan kira-kira jam 9 pagi, sebelum ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu Sapi untuk meninjau keadaan mangsa.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 1 pagi itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menyebabkan 8,000 penduduk hilang tempat tinggal.

ย 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search