Operasi menyelamat mangsa banjir Kota Padang diteruskan
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 4 Ogos: Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir besar yang melanda Kota Padang, Sumatera Barat masih diteruskan selepas hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan penempatan dan jalan utama ditenggelami air.
Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, banjir yang berlaku pada Isnin menjejaskan tiga daerah utama iaitu Kuranji, Koto Tangah dan Bungus Teluk Kabung selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira enam jam.
Menurutnya, pasukan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Kota Padang bersama agensi berkaitan digerakkan sejurus menerima laporan kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat serta memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.
“BPBD Kota Padang bersama kerajaan tempatan segera melaksanakan tindakan kecemasan dengan memindahkan penduduk yang terjejas menggunakan bot polietilena ke kawasan yang lebih selamat.
“Pada masa sama, pasukan di lapangan terus menjalankan penilaian pantas dan pendataan bagi mengenal pasti impak sebenar bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses pendataan melibatkan jumlah mangsa, korban jiwa serta kerugian material masih dijalankan oleh BPBD Kota Padang.
Rakaman yang diterima pihak berkuasa turut menunjukkan arus banjir deras menghanyutkan beberapa kenderaan di kawasan dinaiki air.
Abdul Muhari menjelaskan, paras air di beberapa lokasi masih belum surut sehingga pagi ini berikutan hujan yang berterusan di sebahagian kawasan terjejas.
Menurutnya, BNPB terus menyelaras bantuan bersama kerajaan wilayah, BPBD dan agensi berkaitan bagi memastikan operasi pemindahan mangsa serta penyaluran bantuan kecemasan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau menambah, BNPB akan terus memantau perkembangan situasi di Padang serta menyalurkan sokongan kepada BPBD bagi mempercepatkan usaha menyelamat, penilaian kerosakan dan bantuan kepada mangsa terjejas.-TVS
