OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran musnah 1,000 rumah atas air di Sandakan

Kebakaran musnah 1,000 rumah atas air di Sandakan

SANDAKAN: Kira-kira 1,000 buah rumah di perkampungan atas air dekat Kampung Bahagia, Batu Sapi di sini musnah da­lam kebakaran awal pagi semalam.

Ia adalah kebakaran kali ketiga pernah berlaku di kampung berkenaan namun merupakan paling besar selepas kejadian pada tahun 1994 dan 2001.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, kebakaran yang bermula pukul 1.30 pagi itu menjejaskan kira-kira 8,000 mangsa.

Katanya, semua mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas.

“Kebakaran berjaya dipa­dam dan operasi ditamatkan pada pukul 1 petang. Semua mangsa didaftarkan ma­suk ke PPS yang disediakan.

“Pasukan bomba menja­lankan operasi pemadaman dengan menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan.

“Jentera FRT bantuan dari BBP Kinabatangan turut menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran se­panjang 400 kaki dengan empat pancutan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing ketika dihubungi berkata, hampir 90 peratus kediaman di kampung itu terbakar dan menjadikannya kebakaran paling besar pernah berlaku di situ.

“Ini kejadian ketiga selepas kejadian sama berlaku pada 1994 dan 2001 tetapi kali ini keseluruhan kampung terbakar. Syukur tiada kemalangan jiwa berlaku. Kami harap bantuan segera dapat disalurkan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyata­an memaklumkan, kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan negeri Sabah sedang menyelaras bantuan asas dan pe­nempatan sementara kepada semua mangsa terjejas.

“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan yang telah memusnahkan ratusan buah rumah penduduk kampung. Keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pula berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk menjamin keselamatan dan menyediakan keperluan asas kepada semua mangsa yang terjejas.

Beliau berkata, insiden kebakaran besar itu amat mendukacitakan dan memerlukan tindakan segera daripada aspek penyelarasan menyeluruh semua pihak berkaitan.

“Kerajaan negeri sedang menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan ke­selamatan mangsa sentiasa terjamin di samping menyediakan bantuan segera supaya mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, penempatan penduduk di situ selepas ini perlu dibina dengan lebih terancang dan selamat bagi mengelak tragedi sama berulang.

Menurutnya, kerajaan sedang mewartakan kampung seluas 24 hektar berkenaan supaya pembangunan lebih sistematik dapat dirancang.

“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung keperluan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menempatkan mangsa kebakaran.

“Kita pastikan kita boleh bantu mangsa kebakaran untuk membina semula rumah mereka. Apabila kampung ini sudah diwartakan nanti, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membina PPR,” katanya.-UTUSAN.

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search