Paras air Kolam Bukit Merah menyusut, pesawah rayu jadual bekalan air disemak semula
- Admin UKK
- Berita
BAGAN SERAI – Keadaan semasa di Empangan Kolam Bukit Merah di sini terus membimbangkan apabila paras air dilaporkan menyusut dengan ketara susulan cuaca kering berpanjangan yang melanda sejak Mei lalu.
Tinjauan Sinar Harian pada Khamis di Kampung Selamat, Semanggol mendapati permukaan air kolam semakin surut sehingga menampakkan dasar yang retak dan merekah.
Cuaca panas tanpa hujan konsisten sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadikan kawasan sekitar empangan tersebut kelihatan tandus dan membeku.
Menurut makluman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Kolam Bukit Merah kini telah berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap 2.
Paras air semasa mencatat bacaan di bawah 23.00 kaki, iaitu tahap yang mewajibkan pelaksanaan langkah pencatuan bekalan air ke kawasan sawah padi secara serta-merta.
Semua pesawah diminta merujuk kepada ketua unit masing-masing bagi mendapatkan jadual terkini berkaitan giliran pembekalan air, bagi memastikan sumber air yang terhad dapat diagihkan secara adil dan cekap ke semua kawasan pertanian terlibat.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Beriah, Mohd Zaini Saarani berkata, rata-rata petani meluahkan keresahan mereka terhadap situasi semasa yang kini mengancam kelangsungan hidup, terutama selepas mengalami beberapa musim kegagalan hasil padi sebelum ini.
Katanya, kawasan perairan mereka kini telah mengalami enam musim berturut-turut tanpa hasil padi yang memuaskan akibat kekurangan bekalan air.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kawasan mereka sering menjadi penerima terakhir dalam jadual pengagihan air, menyebabkan kebanyakan air tidak sempat sampai ke sawah.
“Air bukannya tidak dibuka, tetapi apabila sampai, gelung pun belum tenggelam. Maksudnya air itu memang tak sampai ke bendang kami,” jelasnya.
Mohd Zaini turut merayu kepada pihak berwajib agar menyemak semula jadual pelepasan air antara kawasan Semanggol dan kampungnya, dan mencadangkan agar tempoh giliran itu dilanjutkan dari 14 hari kepada sebulan.
“Saya mohon kerajaan semak semula jadual itu. Berilah keutamaan kepada kawasan yang sudah lama tidak mendapat hasil. Kami sudah tidak mampu menanggung kerugian musim demi musim,” katanya.