OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Empangan Bukit Merah kering, nelayan sungai dan petani terkesan

Empangan Bukit Merah kering, nelayan sungai dan petani terkesan

BAGAN SERAI: Empangan Bukit Merah di sini, mengalami kekeringan akibat kemarau susulan kekurangan hujan di kawasan tadahannya sejak beberapa bulan lalu.

Paras air surut menyulitkan kehidupan nelayan sungai yang selama ini menjadikan empangan tempat mencari rezeki apabila sampan digunakan terkandas di kawasan kering.

Petani sekitar yang selama ini bergantung kepada empangan terbabit sebagai sumber bekalan air untuk kawasan sawah masing-masing turut berdepan masalah apabila tumbesaran padi terbantut.

Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Beriah, Mohd Zaini Saarani, mendakwa, sudah enam musim petani di kawasan terbabit berdepan masalah bekalan air hingga menyebabkan mereka sering kerugian.

"Jika dilihat tumbesaran anak padi di sini, keadaannya seperti baru berusia dua minggu sedangkan hakikatnya sudah lebih 55 hari. Jika diikutkan usianya, padi sepatutnya sudah mulai bunting tetapi keadaan itu kini terganggu.

"Dari mula menabur benih sehingga hari ini, kawasan sawah kami hanya dua kali menerima hujan, manakala air dalam parit masuk ke sini pula tiada kerana Empangan Bukit Merah turut kering," katanya.

Mohd Zaini berkata, pelbagai usaha dibuat petani termasuk menggunakan pam bergerak, namun bekalan air masih tidak memadai.

"Puluhan pam bergerak kami guna selain pam dibekalkan agensi berkaitan, namun masih tidak mencukupi. Air dalam parit juga kering, mana lagi kami nak cari bekalan air.

"Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin menanggung kerugian lagi musim ini. Walaupun ada bantuan bencana daripada kerajaan, ia tidak boleh menampung pelbagai kos yang kami keluarkan dari mula penanaman padi," katanya.

Mahu tukar tanam sawit

Pesawah, Mat Noor Mat Isa, 61, berkata sekiranya tiada tindakan penyelesaian dari pihak berkuasa, mereka mungkin menukar tanaman padi diusahakan selama ini kepada tanaman kelapa dan sawit.

"Jika dulu kami mampu peroleh purata 3.5 tan padi bagi sehektar sawah, sekarang nak dapat 500 kilogram pun belum pasti.

"Sekarang kos mengusahakan sawah padi semakin tinggi, dari kos beli benih, racun, upah dan kos jentera, kami tidak mampu lagi terus menanggung kerugian setiap musim," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah atau membina sebuah lagi empangan baharu di sini bagi menampung keperluan sawah padi.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search