Program Kampung Siaga perkukuh daya tahan komuniti luar bandar tangani bencana
- Admin UKK
- Berita
SPAOH, 17 Julai: Penganjuran Program Program Kampung Siaga 221: “Komuniti Berdaya Tahan Bencana” merupakan salah satu inisiatif berterusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti luar bandar menghadapi pelbagai risiko bencana.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri berkata, program tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kecekapan masyarakat luar bandar melalui pelbagai pendekatan seperti latihan lapangan, ceramah serta simulasi bencana.
“Melalui pendekatan latihan lapangan, sesi ceramah, dan simulasi, program ini dirangka untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk kampung, memperkasakan pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi sebarang bentuk kecemasan.
“Di samping itu, dalam masa sama ianya juga sebagai salah satu platform dalam merapatkan hubungan dua hala antara agensi keselamatan dengan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penangguhan Penangguhan Program Kampung Siaga 221: “Komuniti Berdaya Tahan Bencana” anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong di Rumah Panjang Lawrence Ludan, Luban Ulu, Spaoh pada Khamis.
Sebagai Ahli Parlimen Betong tambahnya, adalah menjadi harapan beliau agar program seumpamanya diadakan secara berterusan di Betong sebagai wadah penting dalam menyemai budaya kesiapsiagaan di peringkat akar umbi.
“Semoga program seumpama ini menjadi platform penting dan berterusan dalam menyemai budaya kesiapsiagaan di peringkat akar umbi.
“Sejajar dengan prinsip keselamatan awam yang inklusif, responsif dan menyeluruh. Komuniti yang kuat adalah komuniti yang sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan terburuk dengan ilmu, latihan dan semangat perpaduan.
“Keselamatan bermula dari akar umbi. Bersedia hari ini, selamat masa hadapan,” ujar beliau.
Turut hadir, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim, Pegawai APM Daerah Betong Kapt. (PA) Siti Huzaimah Ibrahim serta yang lain.-TVS