Kuala Lumpur: Rata-rata penduduk meluahkan kebimbangan terhadap dapatan laporan teknikal insiden letupan di Putra Heights yang dikeluarkan semalam, susulan tiada sebarang jaminan kukuh bahawa kejadian sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Syarifah Mustafa, 59, berkata kejadian pada April lalu meninggalkan kesan dan trauma mendalam pada setiap penduduk yang terkesan, tetapi punca insiden akibat tanah lembut dan lembap, bukan daripada kecuaian, disifatkan sebagai suatu yang sukar untuk diterima.
Katanya, bagaimanapun jika itu hasil dapatan akhir yang diperoleh, penduduk di kawasan itu terpaksa terima dengan berat hati, namun menggesa semua pihak mengambil langkah dan pemantauan ketat serta kerap di kawasan laluan paip gas berkenaan.
"Siapa yang tidak takut dan bimbang jika kejadian berulang kembali, tetapi kami tiada pilihan kerana di situlah tanah dan rumah kami. Situlah kami menetap dari kecil hingga sekarang.
"Jadi apa yang kami mahukan ialah pemantauan ketat dan kekerapan dilakukan oleh pihak berwajib kerana kawasan itu memang sudah diakui berisiko tinggi.
"Jika boleh PGB juga perlu tambah baik teknologi untuk tahu sebarang kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan. Ini kerana sepanjang saya menetap di sini, tidak pernah kejadian besar seperti ini terjadi," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan kebocoran dan kebakaran paip gas Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu berpunca daripada tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi yang gagal menyokong strukturnya.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.
Syarifah berkata, beliau turut mengakui nilai hartanah di kawasan berkenaan juga semakin merosot memandangkan laporan mengaitkan insiden letupan akibat tanah lembut dan lembap.
"Dulu memang diakui harga tanah di sini agak tinggi, tetapi selepas ini saya yakin bahawa nilainya akan kurang," katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Yusof Ismail, pihaknya kecewa dengan dapatan laporan berkenaan apabila tiada pihak yang dipertanggungjawabkan selepas tiga bulan siasatan penuh dijalankan.
"Laporan yang dibentangkan dilihat tidak lengkap dan tidak bersetuju dengan kesimpulan bahawa tiada unsur kecuaian berlaku. Jika laporan menyatakan faktor tanah menjejaskan struktur paip gas itu, adakah bermakna kejadian ini akan berulang kembali?
"Rata-rata penduduk keluar bekerja dan meninggalkan anak mereka di rumah. Perkara ini meninggalkan kebimbangan dan ia sangat meletihkan mental," katanya.
Dalam masa yang sama, Yusof berkata, persatuan turut berasa kesal apabila PGB memulakan proses pengaliran gas semula ke dalam sistem paip pada pagi tadi tanpa memaklumkan secara jelas kepada penduduk kawasan berkenaan.
"Penduduk memahami bahawa proses pengaliran gas semula ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan dan pemulangan operasi, namun ia membangkitkan semula trauma dan keresahan penduduk yang masih bergelut dengan kesan insiden letupan termasuk kerosakan rumah, tuntutan insurans dan tekanan emosi.
"Apa yang komuniti perlukan bukan sekadar jaminan teknikal, tetapi juga jaminan emosi. Justeru persatuan penduduk menggesa PGB untuk menyediakan laporan teknikal ringkas dalam bahasa yang mudah difahami bagi mengembalikan keyakinan komuniti.
"Insiden ini menjadi satu peringatan bahawa dalam proses pemulihan pasca krisis, ketepatan teknikal mesti disertai dengan empati dan pendekatan kemasyarakatan," katanya.