OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Laporan insiden Putra Heights gagal jawab persoalan utama – Azmin

Laporan insiden Putra Heights gagal jawab persoalan utama – Azmin

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa laporan siasatan berhubung insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights Subang Jaya gagal menjawab persoalan utama dibangkitkan pelbagai pihak.

Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) mendesak maklumat terperinci mengenai pemantauan dan kerja-kerja penyelenggaraan berkala oleh Petronas.

"Kami juga menegaskan supaya jangan melihat dari aspek komersial sahaja tetapi juga prinsip kemanusiaan dan keselamatan nyawa manusia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamed Azmin menjelaskan, pihaknya sejak awal lagi telah menggesa supaya siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan bagi merungkai punca sebenar kejadian pada 1 April lalu.

 

"Kami mahu menggali kelemahan dari aspek kelulusan sama ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri," ujar beliau.

Tegas beliau, PN juga sebelum ini turut mendesak Sidang Dewan Khas diadakan bagi membahaskan isu itu secara terbuka dan telus serta memberi ruang kepada semua wakil rakyat mengemukakan soalan dan cadangan.

"Ahli-ahli Dewan dari blok pembangkang akan terus membangkitkan perkara ini dalam sidang DUN Selangor pada 7 Julai nanti," tambahnya.

Pada 2 April lalu, PN Selangor mendesak Sidang Khas DUN Selangor diadakan segera bagi membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.

Selain itu, Mohamed Azmin turut menggesa satu siasatan bebas dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, kebocoran dan kebakaran paip gas Putra Heights berpunca daripada tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi yang gagal menyokong strukturnya.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.

 

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search