Ban penahan ombak runtuh tidak sampai setahun dibina
- Admin UKK
- Berita
BAGAN DATUK: Ban penahan ombak di Bagan Sungai Tiang dekat sini yang baharu dibina telah runtuh, lantas menimbulkan kebimbangan para penduduk sekitar.
Tinjauan mendapati, tanah tebing sungai yang runtuh turut membawa bongkah batu yang digunakan untuk menambak ban berkenaan.
Menurut penduduk, jika berlaku runtuhan lebih besar, dibimbangi akan menyebabkan air sungai masuk ke penempatan mereka.
Lee Tiong Hong, 51, mendakwa, benteng itu tidak kukuh kerana bongkah batu penahan ombak hanya dilonggokkan di tebing sungai.
Katanya, bongkah batu sepatutnya diletakkan dalam karung dawai supaya binaan menjadi lebih kukuh.
“Struktur ban ini tidak kukuh dipercayai menjadi punca runtuhan. Tanah menggelongsor disebabkan bongkah batu yang berat tidak diletakkan dalam karung dawai menyebabkan batu mudah jatuh dibawa tanah runtuh.
“Kami bimbang jika runtuhan menjadi semakin teruk, ban ini akan pecah dan tak dapat menahan ombak atau semasa air pasang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Beh Bee Bee, 59, berkata, benteng penahan ombak itu dibina bermula Januari lalu.
“Tebing Sungai Tiang merupakan kawasan lapisan berlumpur, tanahnya cepat mendap.
“Saya berpandangan hanya dua kaedah sesuai untuk membina benteng yang kukuh iaitu menggunakan tiang cerucuk dan bongkah batu dimasukkan dalam karung dawai,” katanya. – UTUSAN