OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Sanggup roboh, bina rumah baharu elak banjir

Sanggup roboh, bina rumah baharu elak banjir

PENDUDUK di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam menuntut masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan berkenaan dapat diselesaikan dengan kadar segera berikutan perkara itu sudah berlarutan sejak sekian lama.

Manakan tidak, setiap kali hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja sudah cukup membuatkan penduduk resah dan 'tidak senang duduk' susulan paras air yang akan meningkat dengan mendadak.

 

Lebih menyedihkan apabila mereka terpaksa menanggung kerugian besar sama ada kenderaan terkandas, barangan hanyut atau rosak dan sebagainya.

Menerusi Apa Khabar Rakyat, wartawan Sinar Harian, SITI AISYAH MOHAMAD menyingkap permasalahan dialami penduduk di kawasan berkenaan.

Seorang pekerja swasta, Abdul Rahman Shahlan, 45, mendakwa terpaksa mengambil keputusan merobohkan rumah lama dan membina kediaman baharu kerana sudah 'penat' berhadapan perkara sama setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai jalan penyelesaian kerana buntu memikirkan masalah tersebut sejak beberapa dekad lalu.

“Sebenarnya, saya sudah habis idea kerana banjir semakin teruk. Kalau dahulu, kawasan kami tinggal tak banyak rumah kerana tanah gambut tetapi berbeza dengan sekarang.

“Jadi, apabila hujan lebat, tanah sudah tidak boleh serap air dengan cepat dan akhirnya mengalir ke kawasan lebih rendah.

“Saya terpaksa roboh dan bina semula rumah dengan tiang tinggi yang menelan kos kira-kira RM150,000. Cara orang lain mungkin akan timbus tanah lagi untuk meninggikan kawasan tetapi bagi saya, ia tetap tidak menyelesaikan masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Nornajwah Ahmadan, 37, berkata selain penempatan rendah, sistem perparitan tidak sistematik menjadi penyumbang masalah banjir kilat di kawasan terbabit.

Menurut Nornajwah yang juga seorang guru, ketiadaan sistem perparitan menyebabkan air tidak dapat mengalir ke parit utama.

“Pada Januari lalu, penduduk di Lorong Ikhsan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua kampung serta wakil rakyat membaiki saluran parit tersumbat.

“Alhamdulillah, selepas sebulan sistem saliran ini dibaiki, saya melihat perubahan aliran air hujan semakin baik.

“Sebelum ini, banjir kilat menyebabkan air naik dengan cepat sehingga paras lutut menyebabkan penduduk menanggung kerugian yang banyak kerana tidak sempat menyelamatkan barangan seperti perabot, kenderaan dan peralatan elektrik,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang juga ejen insurans, Muhammad Yahya Hamdzani 35, berkata, faktor pertambahan penduduk dan pembangunan tidak terancang turut mendorong kepada masalah berlakunya banjir kilat.

Ujarnya, kewujudan taman perumahan baharu di kawasan sekitar menyebabkan penempatan penduduk sedia ada menjadi lebih rendah berbanding kediaman baharu.

“Salah satu punca ialah wujudnya rumah atau taman perumahan baharu yang ditambak lebih tinggi.

“Walaupun Lorong Sarkawi, Jalan Kebun ini antara kawasan kerap terjejas tetapi masih ada pembangunan iaitu dua taman perumahan yang sedang dalam pembinaan, maksudnya PBT masih boleh beri kelulusan.

“Saya tidak faham kenapa boleh lulus. PBT sudah tahu masalah di Jalan Kebun tetapi masih beri kelulusan untuk menambah lagi taman perumahan sedangkan sebagai rakyat, saya lihat ini masalah kritikal kepada orang ramai terutama penduduk setempat,” ulasnya.

Tiga cadangan selesaikan isu banjir kilat membelenggu penduduk

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan tiga saranan yang boleh dipertimbangkan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu membuat penambahbaikan infrastruktur dengan membesarkan parit dan membina saluran lebih luas serta mengurangkan halangan.

“Kerajaan negeri dan PBT juga boleh mempertimbangkan untuk membangunkan saliran bertingkat atau bawah tanah bagi membantu menampung lebih banyak air hujan yang turun dalam jangka masa pendek.

“Selain itu, kawasan hijau di sekitar Jalan Kebun perlu ditingkatkan supaya dapat menyerap air lebih baik seperti menambah pokok dan rumput untuk penyerapan air.

“Tetapi dalam masa sama, pembangunan juga perlu dikawal kerana pembinaan yang tidak melihat kepada sistem saliran yang sesuai boleh memburukkan lagi masalah banjir kilat,” katanya.

Bagaimanapun, Lam Thye berkata, walaupun saranan itu mungkin melibatkan kos atau peruntukan yang besar untuk dilaksanakan tetapi wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan PBT.

“Dengan melaksanakan langkah- langkah ini, masalah banjir kilat di kawasan tersebut dapat dikurangkan atau diatasi dengan lebih berkesan.

“Saya faham mungkin melibatkan kos yang besar tetapi untuk kesejahteraan rakyat, apa salahnya. Saya bersimpati dengan nasib penduduk dan mangsa banjir serta berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search