'Air terlalu laju, saya sempat berpaut pada sofa'
- Admin UKK
- Berita
JELEBU - Seorang warga emas terselamat selepas tersedar daripada tidur gara-gara terhidu bau lumpur dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sepri di sini pada Rabu.
Detik cemas selama 30 minit itu dikongsikan Zaidah Zainal, 72, yang kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) D'Sury Kuala Klawang.
Menurutnya, ketika kejadian dia tinggal seorang diri di rumah sebelum terjaga daripada tidur pada jam 3 pagi dan terhidu bau lumpur.
"Ketika hendak turun dari katil, saya terkejut apabila air sudah mencecah paras pinggang lalu bergegas menyelamatkan beberapa dokumen penting dan ubat-ubatan.
"Air masuk ke dalam rumah sangat laju sehingga mencecah paras dada menyebabkan saya berpaut pada sofa sebelum diselamatkan penduduk kampung tidak lama selepas itu," katanya yang memaklumkan ia merupakan kejadian banjir kedua dialami selepas kali pertama pada 2021.
Sementara itu kakitangan awam, Rahmat Abd Rahman, 54, dari Taman Bandar Tinggi berkata, dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
"Semasa kejadian anggaran jam 2 pagi yang mana rumah saya dengan beberapa kediaman penduduk di taman ini terjejas, air dan lumpur memasuki rumah sehingga paras lutut," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah PPS dibuka di Jelebu pada jam 3 pagi bagi menempatkan 51 mangsa daripada 11 keluarga terjejas akibat banjir kilat.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim, mereka terdiri daripada sembilan warga emas, 28 dewasa, 12 kanak-kanak serta dua bayi dari Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru dan Taman Bandar Tinggi.
Katanya, hujan lebat sejak 10 malam Selasa mengakibatkan banjir kilat di kawasan terlibat dengan ada rumah dinaiki air hingga paras pinggang.
Operasi menyelamatkan mangsa banjir melibatkan 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam, bomba (10), polis (tiga), Jabatan Kebajikan Masyarakat (lima) dan wakil Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (dua).