OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

RELA dekati mangsa banjir, tanah runtuh seperti keluarga sendiri

RELA dekati mangsa banjir, tanah runtuh seperti keluarga sendiri

MIRI, 8 Feb: Bertugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak bencana banjir melanda negeri ini, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengakui mereka menyaksikan pelbagai kisah menyayat hati.

Menurut anggota RELA, Fatini Abdullah, 36, dan Zaiton Johari, 54, para petugas di PPS tidak sekadar mengawal keselamatan, tetapi juga menjadi tulang belakang bagi mangsa.

Fatini Abdullah, yang bertugas sejak hari pertama bencana berlaku, berkongsi pengalaman menyayat hati melihat mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu.

“Masa mula-mula sampai, saya tengok ramai yang masih dalam keadaan terkejut. Ada yang menangis, ada yang duduk diam sahaja. Mereka hilang rumah, harta benda, ada yang hilang orang tersayang. Kami hanya boleh tenangkan mereka dan cuba buat mereka rasa selesa,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sukan di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun keadaan di PPS penuh dengan kesedihan, ada juga usaha untuk menceriakan suasana.

“Kami tidak mahu mereka rasa terperangkap dengan kesedihan terlalu lama. Ada aktiviti yang dijalankan, ada permainan, malah mereka buat pertandingan macam hari keluarga. Saya lihat mereka mula tersenyum semula,” tambahnya.

Zaiton Johari, yang telah lebih seminggu menjaga PPS, juga berkongsi pengalaman yang cukup menyentuh hati.

“Ada seorang warga emas yang sangat rapat dengan saya sepanjang saya bertugas. Saya anggap dia seperti ibu sendiri. Setiap hari dia akan datang mencari saya, bertanya khabar. Bila saya tidak ada di satu-satu masa, dia akan bertanya kepada anggota lain.

“Masa saya hendak keluar dari PPS, dia peluk saya. Saya hampir menangis, tapi saya cuba tahan. Saya tahu dia juga rasa perkara yang sama. Saya hanya mampu berdoa supaya dia dapat kembali ke rumahnya dengan selamat,” tambahnya.

Menurut Zaiton, tugas mereka di PPS bukan sekadar menjaga keselamatan, tetapi juga menjadi tempat luahan emosi bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.

“Kadang-kadang, mereka hanya mahu seseorang mendengar. Kami ada di sini untuk itu. Kami tidak sekadar menjaga pintu masuk atau memastikan keadaan terkawal, tetapi juga menjadi penyokong emosi mereka,” ujarnya.

Selain menjaga PPS, mereka juga turut membantu di lapangan bersama pihak bomba, terutama dalam menyampaikan bantuan ke kawasan terjejas seperti di Pujut Adong.

“Kami ikut ke sana, bawa makanan, bantu mereka yang masih terperangkap. Kerja ini bukan mudah, tapi kami buat dengan ikhlas,” ujar Fatini.

Zaiton berharap agar mangsa yang ditempatkan di PPS dapat kembali ke rumah mereka dengan selamat dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kami hanya menjaga mereka sementara di sini, tapi kami harap mereka dapat terus kuat walaupun selepas meninggalkan PPS. Setiap kali mereka tinggalkan tempat ini, kami berdoa agar semuanya dipermudahkan,” ujarnya.

Fatini dan Zaiton adalah antara mereka yang tidak hanya menjalankan tugas, tetapi juga memberikan kasih sayang dan perhatian, menjadikan PPS bukan sekadar tempat perlindungan, tetapi juga rumah sementara yang penuh dengan harapan.-TVS

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search