NADMA kaji agih bantuan secara pindahan wang
- Admin UKK
- Berita
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam proses mengkaji pelaksanaan bagi pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) secara pemindahan dana elektronik (EFT).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu jika dilaksanakan mampu mengurangkan birokrasi dalam agihan bantuan.
“NADMA sedang berusaha menambah baik serta mempermudahkan prosedur pemberian BWI kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa bencana bagi memastikan tiada halangan birokrasi dalam penyaluran bantuan itu dan meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana.
“NADMA dalam proses mengkaji pelaksanaan pembayaran BWI melalui EFT dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mengurangkan birokrasi dalam agihan bantuan.
“Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa bencana dengan memanfaatkan teknologi perbankan digital, seterusnya
memastikan bantuan sampai dengan lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Willie Mongin (GPS- Puncak Borneo) mengenai jenis bantuan disediakan NADMA serta proses permohonan bantuan itu dapat dipermudahkan.
Semak senarai sebelum agih
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi kejadian ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) termasuk bencana banjir, terdapat dua jenis bantuan bencana disediakan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan yang disalurkan NADMA kepada semua negeri.
“Untuk pemberian BWI RM1,000 untuk setiap KIR layak dan dan BWI kematian, RM10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia.
“Sebelum agihan BWI dilaksanakan, senarai KIR terjejas akibat bencana akan disemak dan disahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) sebelum diperakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Pengagihan BWI kepada KIR akan dilaksanakan Pejabat Daerah atau Pejabat Pembangunan Negeri berdasarkan senarai nama yang diperakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.