OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Letup batu hamparan tingkat aliran air ke Rumah Pam Kemubu

Letup batu hamparan tingkat aliran air ke Rumah Pam Kemubu

Meletupkan atau memecahkan batu hamparan berhampiran Rumah Pam Kemubu, Kota Bharu di Kelantan bagi proses penjajaran untuk meningkatkan paras air, menjadi antara beberapa penyelesaian jangka pendek mengatasi masalah air akibat kemarau.

Batu hamparan ialah batu besar yang rata, lebar dan berada di dasar sungai yang menghalang air sungai masuk ke kawasan pam.

Proses memecahkan batu hamparan di laluan air masuk kawasan pam membolehkan air Sungai Kelantan tetap mengalir walaupun berada pada paras yang rendah.

Difahamkan, terdapat batu hamparan berukuran tiga meter (m) dari dasar sungai yang terletak di kawasan laluan air masuk kawasan pam, sekali gus mengehadkan operasi kemudahan berkenaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata inisiatif itu akan dibuat jika operasi pembenihan awan selama tiga hari mulai kelmarin, di tujuh lokaliti di Kelantan, tidak berhasil.

Beliau berkata, proses berkenaan bagi memberi laluan kepada proses penjajaran air ke pam Kemubu dengan harapan pembenihan awan boleh menghasilkan hujan pada masa terdekat, sekali gus meningkatkan paras air di kawasan pam bagi operasi sedia ada di Pam Kemubu I dan II.

Pasang telaga tiub

Selain itu, katanya, telaga tiub akan dipasang di 280 lokasi dikenal pasti di sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sebagai alternatif mengatasi musim kemarau di Kelantan.

“Beberapa (telaga tiub) sudah dibuat dalam masa terdekat dan (operasi) antara dua atau tiga telahpun dilaksanakan.

“Kita lihat di telaga tiub itu ada air yang boleh digunakan, selain perlu melihat perkembangan semasa antara dua hingga tiga hari lagi.

“Seterusnya, kita melihat kepada shift piles atau pelaksanaan beberapa jajaran di Sungai Kelantan dengan (proses ini memerlukan) kebenaran kerajaan negeri. Ia akan menjadi antara pelan jangka pendek dan sederhana yang boleh dilaksanakan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kami akan mencadangkan (pembinaan) Ampang Jajar di kawasan Sungai Kelantan dengan perincian bakal dikemukakan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum menyertai OPA di tujuh lokaliti di Kelantan menggunakan Kapal Pengangkut C130H di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Rabu lalu, dilaporkan berkata kerajaan bersetuju melaksanakan pembenihan awan di Kelantan susulan permohonan KADA bagi menangani impak cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga hujung September.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, dana RM5 juta daripada Tabung Kumpulan

Wang Amanah Bantuan Bencana Negara digunakan bagi menjayakan operasi pembenihan awan berkenaan.

Taburan hujan rendah dicatatkan bermula Februari hingga April lalu, menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh kawasan KADA.

Bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.9m, namun parasnya pada bacaan terendah iaitu 2.19m pada minggu kedua April lalu seperti direkodkan KADA.

Sementara itu, Mohamad berkata, negara akan berdepan kekurangan kira-kira empat peratus

daripada keseluruhan jumlah pengeluaran beras, jika proses penanaman padi sekitar Kelantan gagal dibuat ekoran musim kemarau berpanjangan.

Selain itu, katanya, proses penanaman padi di beberapa negeri lain setakat ini belum berada di tahap mencemaskan dengan taburan hujan direkodkan pada kadar positif di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Semalam hujan lebat di Bagan Serai, Perak dan saya berada di sekitar sana ketika itu.

“Memang berlaku catuan air di Bukit Merah, Perak ketika ini tetapi dengan hujan lebat dua malam berturut-turut, kita harap ia mampu meningkatkan paras air,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search