55 kediaman rosak dipukul ribut
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 48 rumah rosak dalam dua kejadian ribut di Perlis, manakala kejadian ribut di Kedah menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh rumah dilaporkan rosak.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS), Mohd Nazim Mohd Noor, berkata berdasarkan angka yang dikemas kini pihaknya dari semasa ke semasa itu, sebanyak 37 rumah rosak dalam kejadian pagi semalam, manakala 11 rumah terjejas pada Jumaat lalu.
“Kebanyakan rumah itu rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin. Kejadian hari ini (semalam) membabitkan kawasan Kariah Behor Mentaloon, Kariah Chemumar, Kariah Tambun Tulang, Kariah Batu 5, Kariah Mata Air, Kariah Sungai Padang dan Kariah Oran masing-masing dua rumah.
“Sementara Kariah Bunga Emas, Kariah Padang Besar Kurung Anai, Kariah Pauh Sanglang, Kariah Kampung Chantik, Kariah Guar Syed Alwi, Kariah Sungai Berembang, Kariah Tok
Kaya dan Kariah Mengkuang Layar masing-masing sebuah rumah dan Kariah Longboh (tiga rumah).
“Kejadian Jumaat lalu pula membabitkan kawasan Kariah Guar Syed Alwi yang membabitkan tiga rumah rosak, manakala Kariah Sungai Batu Pahat, Kariah Sungai Berembang, Kariah Jelempok, Kariah Titi Beratap, Kariah Kampung Sena, Kariah Oran, Kariah Behor Mempelam dan Kariah Sungai Padang masing-masing sebuah rumah terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohd Nazim berkata, kerosakan kecil akan diberikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala kerosakan besar akan dirujuk JKM untuk membolehkan MAIPS menyalurkan bantuan.
“Bagi kerosakan perniagaan dikehendaki melaporkannya kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK),” katanya.
Difahamkan kejadian ribut pada Jumaat lalu berlaku kira-kira jam 7 pagi, manakala kejadian semalam terjadi kira-kira jam 2 pagi.
Beberapa kawasan terjejas
Sementara itu di Kubang Pasu, angin kencang berserta hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh rumah rosak, selain kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan, awal pagi semalam.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, berkata kejadian jam 2.05 pagi itu membabitkan beberapa kawasan termasuk Kampung Kota
Si Puteh, Kampung Kandis, Kampung Pida 2, Kampung Malau, Kampung Teluk Malik, Kampung Changkat Setoi, RTC Napoh, kawasan Pida, Guar Napai, Kampung Macang Manis dan Kodiang.
Katanya, anggota APM Kubang
Pasu turut dihantar ke lokasi kejadian bagi pemantauan dan operasi pemotongan pokok tumbang serta membersih di kawasan berkenaan.
“Kejadian ribut itu berlaku dalam tempoh 35 minit hingga menyebabkan beberapa rumah terbabit terjejas dan ditimpa pokok. Selain itu, terdapat juga pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu setakat ini,” katanya semalam.