13th ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management (AMMDM)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
15 Oktober 2025 - YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri diiringi oleh YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA telah menghadiri 13th ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management (AMMDM) yang diadakan di Phnom Penh, Cambodia. Mesyuarat ini diadakan secara berturutan dengan 14th Meeting of the Conference of Parties (COP) to the ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER). Mesyuarat-mesyuarat ini melibatkan semua Menteri yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana di ASEAN.
Bertemakan “20th Years of AADMER: ASEAN Vision for Global Leadership in Disaster Resilience”, YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat telah menyampaikan Kenyataan Menteri (Ministerial Statement). Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa usaha kesiapsiagaan bencana hendaklah bersifat holistik, inklusif dan mampan agar tiada sesiapa yang tertinggal atau ketinggalan.
YAB Timbalan Perdana Menteri telah menekankan tiga tonggak utama daya tahan bencana iaitu inovasi dan teknologi, perkongsian dan perpaduan (solidarity) serta inklusiviti dan daya tahan komuniti. Beliau turut mengumumkan sumbangan one-off USD100,000 kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund) dalam menzahirkan semangat solidariti Malaysia bersama semua Negara Anggota ASEAN serta tanggungjawab bersama untuk memastikan mekanisme ASEAN diperkasa.
