OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Malaysia dan Kemboja perkukuh keamanan serantau melalui kerjasama ASEAN

PHNOM PENH: Malaysia dan Kemboja menegaskan komitmen bersama untuk terus mempromosikan keamanan serta kestabilan serantau.

Kedua-dua pihak sedang giat berbincang untuk memuktamadkan penubuhan Pasukan Operasi ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Atase pertahanan kini sedang menyiapkan prosedur operasi standard bagi mewujudkan mekanisme tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menyelaras usaha ke arah penyelesaian aman bagi konflik sempadan Kemboja–Thailand.

“Peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN adalah untuk memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand,“ katanya semasa lawatan rasmi ke Kemboja.

Beliau menekankan bahawa kehadiran Pasukan Operasi ASEAN akan memastikan perjanjian gencatan senjata itu dilaksanakan seperti yang dipersetujui.

Kemboja menaruh harapan tinggi terhadap Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang untuk mencari penyelesaian terhadap pertikaian sempadan dengan Thailand.

Konflik sempadan tersebut berlarutan sejak gencatan senjata pada 28 Julai lalu.

Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa konflik yang berpanjangan telah menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan sempadan.

Konflik tersebut juga menghalang integrasi dan ketersambungan serantau di Asia Tenggara.

Pasukan Pemerhati Interim yang diketuai Malaysia sedang memantau kemajuan pelaksanaan gencatan senjata di sepanjang kawasan sempadan.

Ahmad Zahid mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senat merangkap bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada hari Selasa.

Beliau berada di Kemboja dari 13 hingga 15 Oktober untuk menyertai Persidangan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana ke-47.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap Kemboja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Mereka juga berbincang mengenai usaha memperkukuh pelancongan, pelaburan dan sektor pertanian antara kedua-dua negara.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja mencecah RM3.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kedua-dua kerajaan optimis untuk mencapai jumlah dagangan RM4.2 bilion menjelang tahun depan.

Sasaran tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara. – Bernama

 

 

 

 

73 stesen tolok hujan dipasang pantau cerun berisiko

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit Sistem Satelit Navigasi Sejagat (GNSS) di lokasi berisiko bagi memantau cerun menjelang musim Monsun Timur Laut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu sebagai persediaan menghadapi monsun yang dijangka bermula 5 November ini hingga Mac tahun depan melibatkan lima hingga tujuh episod hujan lebat.

“Data daripada Sistem Amaran Awal, Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia akan disalurkan kepada JKR negeri dan daerah mengikut tahap berjaga-jaga, amaran atau bahaya bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.

Beliau berkata, koordinasi antara agensi penting bagi melindungi nyawa, harta benda dan infrastruktur negara, selain menyeru semua pihak meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana.

Sementara itu, Nanta Linggi berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap isu pelaksanaan projek sakit bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual dan piawaian ditetapkan.

Beliau menjelaskan hanya kira-kira dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan projek di bawah kementerian dikategorikan sebagai projek sakit, namun pemantauan dan tindakan pembetulan sedang dijalankan secara berterusan.

 

“Walaupun projek sakit hanya antara dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan projek, ia tetap penting dan kalau boleh perlu disifarkan. 

“Namun begitu, selain projek sakit, ada juga projek yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual,” katanya.-UTUSAN

Pampasan segera 372 pesawah MADA terjejas banjir

JERLUN: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengenalpasti kira-kira 745 hektar tanaman padi terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di Kedah, baru-baru ini dengan kerugian lebih RM7.5 juta.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kira-kira 372 pesawah mengalami kerugian keseluruhan memandangkan tanaman padi sudah mencapai 90 peratus masa penuaian sebelum bencana.

“Kebanyakan petani mengalami ‘total lost’ akibat banjir tersebut kerana padi mereka hampir masak. Kita akan memulakan bancian Khamis ini bagi memastikan kerugian setiap pesawah yang terlibat direkod dengan tepat dan layak menerima bayaran pampasan.

“Kita mahu proses ini berjalan cepat. Pampasan daripada pihak insurans akan mengambil masa namun kita berharap mangsa yang terlibat memberi kerjasama membolehkan proses ini berjalan lancar,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kempen Kawalan Keladi Agas di Kawasan Muda di PPK MADA F-II Jerlun Ayer Hitam, di sini hari ini.

Tambah beliau, MADA berharap pampasan kepada mangsa terjejas dapat disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban selain membolehkan mereka memulakan aktiviti penanaman pada musim akan datang

Menyentuh tentang program tersebut, kata beliau, MADA mengenalpasti keladi agas menjadi salah satu faktor yang menjejaskan hasil padi.

“Didapati infestasi keladi agas di kawasan Muda bagi musim ini melibatkan keluasan sekitar 1,000 hektar dengan peningkatan 30 peratus berbanding musim sebelum ini.

“MADA menjangkakan kadar infestasi bagi keseluruhan kawasan Muda ini di bawah 30 peratus sekiranya peladang melaksanakan kawalan seperti yang disyorkan dalam pakej kawalan keladi agas MADA itu. Kita tidak mahu pesawah mengalami kerugian sebab itu kita laksana kempen ini dan berharap petani akan mematuhinya,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Maritim Malaysia ingatkan nelayan Kelantan hadapi Monsun Timur Laut

KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan serta pengusaha bot di Kelantan supaya lebih berwaspada susulan Monsun Timur Laut yang semakin hampir.

Pengarah Maritim negeri Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata perubahan cuaca yang mendadak dan keadaan laut tidak menentu pada musim ini boleh mengundang bahaya.

Beliau menasihati semua pihak agar mengutamakan aspek keselamatan di laut termasuk sentiasa memakai jaket keselamatan.

Setiap kali keluar menangkap ikan pastikan ahli keluarga terdekat dimaklumkan mengenai lokasi dan jangka masa operasi.

Erwan Shah turut menyarankan agar nelayan mengamalkan konsep buddy system atau keluar sekurang-kurangnya berdua sebagai langkah berjaga-jaga.

Kehadiran rakan boleh membantu membuat laporan dengan segera sekiranya berlaku kejadian kecemasan di laut.

Pasukan penyelamat dapat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan cepat serta berkesan dengan maklumat awal yang diperoleh.

Mangsa yang menghadapi masalah di laut dapat dibantu dengan segera dan diselamatkan daripada sebarang musibah.

Erwan Shah berkata Maritim Malaysia akan terus memantau keadaan laut dari semasa ke semasa.

Mereka bersiap siaga melaksanakan operasi menyelamat pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan komuniti maritim di perairan Kelantan sentiasa terjamin. – Bernama

KKR pantau cerun berisiko hadapi Monsun Timur Laut mulai 5 Nov

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya akan memantau secara rapi cerun berisiko di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemantauan itu penting susulan sepanjang tempoh berkenaan dijangkakan berlaku lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Beliau berkata setakat ini JKR telah memasang 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station dan satu unit Global Navigation Satellite System untuk memantau cerun berisiko.

Berdasarkan data diperoleh daripada Sistem Amaran Awal, Cawangan Kejuruteraan Cerun akan menyalurkan amaran awal kepada JKR negeri dan daerah mengikut tahap berjaga-jaga, amaran atau bahaya.

Nanta menegaskan tindakan pantas, koordinasi, dan kesiapsiagaan adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa, harta benda, dan infrastruktur.

Beliau merakamkan penghargaan terhadap peruntukan disediakan kepada KKR dalam Belanjawan MADANI 2026 yang disifatkan sebagai bukti keyakinan kerajaan.

Meskipun negara berdepan cabaran fiskal, kerajaan tetap mengekalkan fokus terhadap infrastruktur asas rakyat seperti jalan raya, jambatan, bangunan awam serta keselamatan cerun.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek di bawah kementerian itu sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau menegaskan tidak akan menyapu perkara ini di bawah karpet dan menekankan perlunya tindakan pembetulan menyeluruh.

Nanta turut memuji pencapaian sektor pembinaan sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 yang merekodkan hampir 23,000 projek bernilai lebih 42 billion ringgit.

Tahun 2025 menyaksikan kejayaan besar dalam reformasi kerenah birokrasi termasuk mempercepat bayaran kepada kontraktor dan memperkukuh penyenggaraan jalan.

Cabaran dalam fasa pertama Rancangan Malaysia ke-13 memerlukan kementerian bersikap proaktif, cekap dan berasaskan data serta akauntabiliti.

Permulaan Rancangan Malaysia ke-13 akan menjadi ujian sebenar terhadap keupayaan KKR untuk kekal relevan dan bersedia menghadapi masa depan.

Beliau menekankan setiap ringgit peruntukan mesti memberi impak maksimum dalam menyeimbangkan tanggungjawab sosial dengan kekangan kewangan negara. – Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search