SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan langkah susulan termasuk bantuan kepada mangsa yang terkesan akibat kejadian ribut di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat esok.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.
Beliau berkata kenyataan akan dibuat selepas selesai MMKN untuk menjelaskan beberapa perkara tentang influenza, kes di sekolah dan langkah susulan akibat bencana.
Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) setakat ini telah menyalurkan bantuan bencana berjumlah 400,000 ringgit untuk sekolah.
Berdasarkan laporan awal, sekurang-kurangnya 200,000 hingga 400,000 ringgit diperlukan untuk pembaikan semula sekolah yang turut dibadai ribut.
Amirudin menyatakan kejadian ini adalah antara yang terburuk dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.
Beliau menambah peruntukan untuk mangsa mungkin ditambah dan kerosakan rumah perlu dinilai sebelum sebarang langkah diambil.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang semalam, sebanyak lima sekolah, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan.
Antara kawasan terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9, dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
Sebuah pusat pemindahan sementara diaktifkan bagi menempatkan 18 individu daripada lapan keluarga susulan kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Medan, Kuala Langat dekat sini semalam. – Bernama
Kerajaan sedia hadapi tengkujuh
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Tahap kesiapsiagaan menghadapi monsun timur laut perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui penyelarasan dan koordinasi rapi antara semua agensi di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memastikan langkah persediaan lebih tersusun serta berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan semua pihak terlibat berada dalam keadaan siap siaga khususnya banjir yang dijangka berlaku di beberapa kawasan berisiko tinggi.
“Laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan impak monsun tahun ini lebih sederhana, tetapi kita tetap perlu bersedia sepenuhnya.
“Kesiapsiagaan mesti dilaksanakan secara menyeluruh melalui koordinasi antara semua agensi supaya tindakan dapat diambil segera apabila berlaku bencana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian SME Venture @ ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama erat masyarakat setempat dan pihak berkuasa di semua peringkat.
Katanya, beliau sendiri turun padang ke Temerloh, Pahang, Isnin lalu bagi meninjau persediaan menghadapi monsun timur laut termasuk memastikan pusat pemindahan sementara (PPS), aset logistik serta keperluan asas berada dalam keadaan bersedia.
“Pengalaman lalu membuktikan bencana seperti banjir besar boleh berlaku tanpa amaran panjang dan oleh itu sistem amaran awal perlu diperkukuhkan.
“Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kini turut memperkukuh sistem amaran awal supaya pemindahan penduduk dapat dilakukan lebih awal sebelum air naik,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 bagi menangani isu banjir termasuk RM460 juta yang disalurkan terus melalui Nadma untuk pelaksanaan langkah kesiapsiagaan dan pengurusan bencana.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi tumpuan kepada 4,138 lokasi kerap banjir serta berisiko kepala air dan tanah runtuh yang dikenal pasti di seluruh negara tahun ini.
Jumlah itu membabitkan 3,683 kawasan banjir, 254 cerun kritikal dan 201 lokasi kepala air yang berisiko berlaku ketika MTL.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 3,683 lokasi banjir dikenal pasti tahun ini dan jumlah itu berkurangan berbanding tahun lalu iaitu 4,619 lokasi.
Menurut beliau, Pahang merekodkan kawasan ‘hotspot’ tertinggi dengan 760 lokasi diikuti Kelantan (618); Sabah (517), Terengganu (460) dan Johor (343).
“Selain itu, sebanyak 280 lokasi banjir dikenal pasti di Perak, Sarawak (164), Negeri Sembilan (123), Kedah (119) dan Melaka (106) dan Selangor (64).
“Sebanyak 53 lokasi berisiko banjir turut dikenal pasti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur (38), Perlis (20), Labuan (15) dan Putrajaya (3),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, menurut Nor Hisham, bagi lokasi cerun kritikal, lokasi paling banyak dikenal pasti adalah 36 lokasi di Sabah diikuti Terengganu, Pahang, Perak dan Johor masing-masing 25 ‘hotspot’.
“Sebanyak 20 lokasi cerun berisiko tanah runtuh di Perak manakala Negeri Sembilan (19), Pulau Pinang (14), Sarawak (21), Kedah (7), Perlis (4) dan Putrajaya (2).
“Selain itu, kita mengenal pasti sebanyak 52 lokasi kepala air di Sabah, Kedah (39), Sarawak (19), Kelantan dan Terengganu (18), Perak dan Negeri Sembilan (17), Selangor (6), Johor dan Perlis (5), Pahang (3) dan Kuala Lumpur dan Melaka (1),” katanya.
Nor Hisham berkata, fokus utama akan diberikan kepada negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak kerana sejarah serta pola taburan hujan yang tinggi semasa MTL. – UTUSAN
PETALING JAYA: Malaysia mengumumkan sumbangan one-off sebanyak AS$100,000 ( RM470,000) kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (AADMER Fund) dalam usaha memperkukuhkan komitmen terhadap kerjasama serantau melibatkan pengurusan bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan itu mencerminkan semangat solidariti Malaysia bersama negara ASEAN serta tanggungjawab bersama dalam memastikan mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) terus diperkasa.
Selain itu katanya, langkah ini juga dapat mencerminkan komitmen Malaysia secara berterusan terhadap agenda ketahanan kolektif ASEAN.
“Malaysia yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan negara anggota dan rakan- rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung AADMER sebagai tonggak kesiapsiagaan dan tindak balas bencana ASEAN.
“Kita yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan negara-negara anggota serta rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung AADMER sebagai tonggak utama kesiapsiagaan dan tindak balas bencana di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Zahid lagi, tindakan pantas penyelarasan dalam kalangan negara ASEAN untuk menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di bawah kerangka AADMER.
Menurutnya, AADMER berjaya mencerminkan komitmen bersama ASEAN bahawa tiada negara anggota akan berhadapan dengan bencana secara bersendirian.
ASEAN telah berkembang daripada sekadar menyelaras tindak balas kepada menjadi rakan global yang diyakini dalam pengurusan bencana, melalui mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), DELSA, dan Rangkaian ASEAN-ERAT.
“Malaysia berbangga kerana telah memainkan peranan aktif dalam perjalanan bersama ini. Malah, Malaysia menjadi tuan rumah kepada gudang serantau DELSA di Subang, menyokong latihan dan penugasan ASEAN-ERAT, serta terus memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR),” katanya. – UTUSAN
Ribut: 40 rumah, lima sekolah rosak
- Admin UKK
- Berita
KUALA LANGAT: Bencana ribut dan puting beliung yang melanda daerah ini kelmarin telah merosakkan 40 buah rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai.
Lokasi terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya; Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya; SK Kampung Medan; (Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
Turut terjejas, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan; Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 Kampung Medan dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bencana alam itu berlaku di sekitar Telok Panglima Garang di sini, pada pukul 4.15 petang.
“Angin kencang dan puting beliung tidak mengakibatkan kemalangan jiwa namun berlaku kerosakan harta benda di kawasan terlibat.
“Kerja pembersihan dan pemotongan pokok dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak sejak pukul 4.30 petang semalam (kelmarin),” katanya kepada semalam.
Katanya, seramai 11 murid SRA Kampung Medan pula cedera ringan.
“Namun, hanya lima daripada mereka telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Telok Panglima Garang manakala bakinya dibawa pulang keluarga masing-masing.
“Selain itu, seorang lelaki cedera di mata dan seorang wanita pula patah kaki akibat dihempap besi ketika bencana berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kira-kira RM1.9 juta diperuntukkan pihak kementerian itu untuk kerja-kerja pembersihan kerosakan enam bangunan awam di Telok Panglima Garang di sini, kelmarin.
“Ribut kuat menyebabkan kerosakan struktur kritikal di enam premis utama termasuk sekolah dan pejabat kerajaan. Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bertindak melakukan pemeriksaan tapak dan penutupan kawasan berisiko,” katanya di Seremban.-UTUSAN.
KUALA LANGAT: “Keadaan sekolah seperti tengah perang. Saya nampak angin pusar dua kali keluar masuk dalam sekolah.”
Demikian pengalaman pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, yang menceritakan kejadian ribut dan angin pusar di Kampung Medan di sini, kelmarin.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagi Ali, 50, berkata, semasa kejadian berlaku, dia sedang bertugas sendirian.
“Saya berada di bilik pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah. Kira-kira pukul 4.05 petang, hujan turun lebat. Kurang lima minit kemudian, saya nampak angin pusar dari arah tanah perkuburan Islam yang berdekatan.
“Angin memang kuat, tak pernah saya tengok dan rasai angin sekuat itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Katanya, kemudian dia terus masuk ke dalam salah satu blok berhampiran untuk menyelamatkan diri namun terus melihat keadaan ribut turut membadai SK dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
“Bukan sekali angin pusar berpusing. Tetapi dua kali angin pusar mengelilingi kesemua sekolah ini. Saya nampak angin pusar membadai bumbung sekolah dan SK Kampung Medan,” katanya.
Menurutnya, angin pusar berlaku dalam 15 minit sebelum ia beransur-ansur hilang.
“Kerosakan di sekolah saya dan SK Kampung Medan. Keadaan sangat teruk. Bumbung beberapa blok SK Kampung Medan juga rosak teruk,” katanya.-UTUSAN
