Pampasan segera 372 pesawah MADA terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
JERLUN: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengenalpasti kira-kira 745 hektar tanaman padi terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di Kedah, baru-baru ini dengan kerugian lebih RM7.5 juta.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kira-kira 372 pesawah mengalami kerugian keseluruhan memandangkan tanaman padi sudah mencapai 90 peratus masa penuaian sebelum bencana.
“Kebanyakan petani mengalami ‘total lost’ akibat banjir tersebut kerana padi mereka hampir masak. Kita akan memulakan bancian Khamis ini bagi memastikan kerugian setiap pesawah yang terlibat direkod dengan tepat dan layak menerima bayaran pampasan.
“Kita mahu proses ini berjalan cepat. Pampasan daripada pihak insurans akan mengambil masa namun kita berharap mangsa yang terlibat memberi kerjasama membolehkan proses ini berjalan lancar,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kempen Kawalan Keladi Agas di Kawasan Muda di PPK MADA F-II Jerlun Ayer Hitam, di sini hari ini.
Tambah beliau, MADA berharap pampasan kepada mangsa terjejas dapat disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban selain membolehkan mereka memulakan aktiviti penanaman pada musim akan datang
Menyentuh tentang program tersebut, kata beliau, MADA mengenalpasti keladi agas menjadi salah satu faktor yang menjejaskan hasil padi.
“Didapati infestasi keladi agas di kawasan Muda bagi musim ini melibatkan keluasan sekitar 1,000 hektar dengan peningkatan 30 peratus berbanding musim sebelum ini.
“MADA menjangkakan kadar infestasi bagi keseluruhan kawasan Muda ini di bawah 30 peratus sekiranya peladang melaksanakan kawalan seperti yang disyorkan dalam pakej kawalan keladi agas MADA itu. Kita tidak mahu pesawah mengalami kerugian sebab itu kita laksana kempen ini dan berharap petani akan mematuhinya,” katanya. – UTUSAN
