41 mangsa masih terima rawatan
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 41 daripada 149 mangsa yang terbabit dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya Selasa lalu, masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 19 mangsa dirawat di wad biasa hospital kerajaan, manakala 22 lagi di kemudahan kesihatan swasta.
“Tiada mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada sebarang kematian dilaporkan,” menurut data harian dikeluarkan oleh KKM.
Dilaporkan terdapat 14 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Ampang.
Menurut KKM, seramai 108 pesakit sudah discaj dari kemudahan kesihatan awam dan swasta.
KKM turut memaklumkan aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan
Camelia, selain di pos kawalan tempat kejadian dengan 88 individu menerima intervensi MHPSS.
Tujuh pasukan yang terdiri daripada 25 anggota petugas kesihatan, dipertanggungjawabkan untuk memberikan sokongan MHPSS kepada mangsa kejadian. -Bernama
Selamat mangsa tertimbus 72 jam
- Admin UKK
- Berita
Pasukan MAS-01 Smart Nadma Operasi MyTeam Relief Gempa Bumi Myanmar, selamat kembali ke tanah air selepas selesai melaksanakan misi di tiga sektor kawasan gempa di Myanmar.
Pencapaian tertinggi dicatatkan selama tujuh hari di negara berkenaan adalah berjaya menyelamatkan seorang lelaki berusia 47 tahun yang ditemui hidup selepas 72 jam tertimbus dalam runtuhan sebuah hotel di Sektor Sagaing, Myanmar.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, Pasukan MAS-01 adalah satu-satunya pasukan Urban Search and Rescue (USAR) antarabangsa yang beroperasi di Sektor Sagaing dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di 11 kawasan runtuhan yang kebanyakan membabitkan struktur yang kompleks dan di luar keupayaan pasukan menyelamat tempatan.
Katanya, tiga sektor utama yang dipertanggungjawabkan kepada MAS-01 Smart Nadma bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah Naypyidaw, Mandalay dan Sagaing.
“Misi ini memberi peluang kepada pasukan Smart menguji tahap kesiapsiagaan dan pematuhan kepada piawaian USAR antarabangsa” Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar
“Selain menyelamatkan mangsa yang masih hidup, Pasukan MAS-01 Smart Nadma yang berada di Myanmar sejak 30 Mac lalu turut menemui dan mengeluarkan 10 mangsa yang sudah meninggal dunia termasuk empat kanak-kanak yang tertimbus dalam runtuhan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui 11 orang.
“Kecekapan anggota Smart, penggunaan peralatan dan kelengkapan (SAR) yang canggih dan berteknologi tinggi, kerjasama yang harmoni dengan pasukan tempatan serta keupayaan taktikal pasukan MAS-01 mendapat penghargaan daripada pemimpin dan komuniti setempat di Myanmar,” katanya selepas menyambut kepulangan 50 pegawai dan anggota MAS-01 di Markas Smart, Pulau Meranti, di sini.
Abdul Gapar berkata, misi ini memberi peluang kepada pasukan Smart menguji tahap kesiapsiagaan dan pematuhan kepada piawaian USAR antarabangsa.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam misi ini juga membuktikan komitmen negara terhadap prinsip kemanusiaan dan solidariti serantau dalam pengurusan bencana.
Terdahulu, Pasukan MAS-01 Smart Nadma selamat mendarat di Lapangan Terbang TUDM Subang, jam 5 petang, kelmarin, dengan menaiki dua pesawat pengangkut A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
270 rumah selamat diduduki semula
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 270 unit kediaman yang terjejas akibat kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini, disahkan selamat untuk diduduki semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, membuat penilaian dalam jarak radius 325 meter dari tempat letupan.
“Semalam (Isnin) pihak polis mengumumkan 151 unit kediaman dikategorikan sebagai boleh diduduki dan hari ini (semalam) jumlah itu bertambah kepada 270 unit daripada keseluruhan 437 unit kediaman.
“Daripada 270 unit kediaman ini, ada beberapa perlu dilakukan pembaikan kecil selepas mengalami sedikit kerosakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sementara itu, Hussein berkata, dua langkah drastik diambil bagi mempercepat proses siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian letupan paip gas berkenaan.
Operasi 24 jam
Katanya, dua langkah itu membabitkan penambahan bilangan jentera dalam kerja pengorekan tempat kejadian, selain melaksanakan operasi selama 24 jam bermula kelmarin.
Beliau berkata, setiap agensi teknikal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan Keselamatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta
Kumpulan PETRONAS memainkan peranan masing-masing dalam proses siasatan di tempat kejadian.
“Pada masa ini, tumpuan utama kita dalam mempercepat siasatan ini masih lagi dalam proses menstabilkan tanah untuk expose (memperlihatkan) keseluruhan kawasan saluran paip gas.
“Setiap peringkat terbabit dalam kerja proses siasatan dan pembaikan di sini dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya.
Hussein berkata, tempoh siasatan mungkin lebih awal berbanding tempoh dua minggu seperti diumumkan sebelum ini.
Mangsa khuatir nasib jangka panjang
- Admin UKK
- Berita
Subang Jaya: Penduduk yang terkesan tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini bersyukur dengan bantuan kos sewa rumah RM2,000 sebulan yang diumumkan kerajaan, namun khuatir nasib jangka panjang terutama selepas tempoh enam bulan bantuan itu diberikan tamat.
Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Abdul Aziz Zakaria, 54, berkata kos sewa rumah di kawasan terbabit rata-ratanya tidak kurang RM1,000 sebulan dan nilai itu besar baginya yang tergolong kategori B40.
“Terima kasih dengan bantuan. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami sekeluarga dengan menanggung sewa rumah selama enam bulan.
“Cuma saya runsing selepas tempoh enam bulan itu tamat, saya sudah ikhtiar cari rumah sewa lain, tapi harga sewa semuanya terlalu mahal dan saya tidak mampu,” katanya.
Abdul Aziz dan keluarga kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia, di sini, sejak kejadian Selasa lalu, selepas kediaman musnah sepenuhnya susulan kejadian letupan itu, menyebabkan kerugian RM80,000.
Ketika kejadian beliau bersama keluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan untuk menyambut hari raya.
Kelmarin Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari, berkata kerajaan negeri bersetuju menampung kos sewaan kepada pemilik dan penyewa terjejas dalam kejadian sama yang membabitkan jumlah RM7.356 juta.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyediakan RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah terjejas selama tempoh enam bulan untuk membolehkan mereka menyewa rumah, sementara kediaman sedang diperbaiki atau dibina semula.
Jelas beliau, RM2,000 disumbangkan itu boleh digunakan sama ada untuk menyewa di kediaman ditawarkan atau yang diperoleh sendiri.
Perumahan mampu milik
Mengulas lanjut, Abdul Aziz mengakui ada rumah sewa kampung yang ingin disewakan pada harga mencecah RM800 sebulan dan ia masih tinggi bagi dirinya memandangkan pendapatannya hanya cukup-cukup makan.
“Ada yang menawarkan rumah sewa dengan harga berpatutan, tetapi jauh dari tempat saya bekerja dan sekolah. “Untuk jangka panjang, itulah yang saya runsingkan. Saya perlu fikirkan kebajikan isteri dan
anak saya masing-masing berusia 16 tahun dan sembilan tahun yang masih bersekolah,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan penyelesaian, Abdul Aziz berkata, pihak berkaitan wajar menempatkan mangsa kejadian letupan paip gas berkenaan di kawasan perumahan mampu milik dan mungkin boleh memberikan potongan harga berpatutan khas untuk mereka yang terkesan.
Berkongsi keadaan rumahnya, Abdul Aziz berkata, beliau dan isterinya cuba kembali ke rumah untuk mengambil motosikalnya yang masih dalam keadaan baik di depan rumah.
“Saya mahu ambil motosikal sebab yang rosak sebahagian sahaja dan mahu menghantar ke bengkel untuk dibaiki, tetapi saya tidak dapat masuk ke kawasan rumah kerana perlu patuh dengan peraturan dikuatkuasakan di kawasan berkenaan,” katanya.
Ribuan keluarga di Johor, Sabah dan Sarawak berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dinaiki air ketika kebanyakan rakyat mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Bencana alam berlaku pada bulan ketiga tahun ini menyaksikan Johor paling teruk terjejas apabila lebih 13,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Hakikatnya, banjir bukanlah asing bagi rakyat di negara ini yang menyaksikan banjir monsun dan banjir kilat menjadi kategori bencana alam yang kerap berlaku.
Pembangunan pesat tanpa perancangan mampan menyebabkan banyak kawasan hijau yang dahulunya berfungsi sebagai kawasan tadahan air bertukar menjadi kawasan dipenuhi struktur konkrit.
Memburukkan lagi keadaan apabila sistem perparitan sedia ada tidak selari dengan kadar pertumbuhan pembangunan. Kesannya, risiko banjir terutama di bandar besar dan berkepadatan tinggi semakin meningkat.
Panel Perubahan Iklim Antara-kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, peningkatan suhu bumi menyebabkan kejadian hujan ekstrem lebih kerap berlaku.
Fenomena ini menjadikan sistem saliran sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung limpahan air hujan yang meningkat secara mendadak, manakala saintis percaya perubahan iklim turut menyumbang kepada perubahan corak taburan hujan hingga banjir lebih sukar diramal.
Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia melaporkan, kerugian akibat banjir berjumlah RM755.4 juta pada 2023. Kerugian terbesar membabitkan kerosakan aset awam dan infrastruktur bernilai RM380.7 juta, disusuli kerosakan tempat kediaman (RM168.3 juta); sektor pertanian (RM120.6 juta); premis perniagaan (RM53.2 juta); kenderaan (RM22.3 juta) dan sektor pembuatan (RM10.3 juta).
Banjir bukan sahaja membabitkan kerugian material, bahkan memberi kesan psikologi kepada mangsa dengan kajian mendapati sebahagian mangsa banjir mengalami gejala tekanan pasca trauma (PTSD), kebimbangan melampau, kemurungan serta putus asa.
Walaupun pelbagai usaha diambil, banjir kekal menjadi ancaman kepada negara kita. Strategi pengurusan bencana biasanya terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu langkah pencegahan atau mitigasi sebelum bencana (ex-ante) dan langkah pemulihan selepas bencana (ex-post).
Langkah ex-ante bertujuan mengurangkan risiko sebelum bencana melalui tindakan seperti perancangan penggunaan tanah, pembinaan infrastruktur berdaya tahan, penyediaan sistem amaran awal dan perlindungan kewangan seperti insurans bencana.
Langkah ex-post pula memberi tumpuan kepada usaha pemulihan pascabencana, termasuk penyediaan bantuan kerajaan, pembinaan semula infrastruktur dan pelaksanaan program pemulihan ekonomi serta sosial untuk mangsa terjejas.
Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah mitigasi seperti pembinaan tebatan banjir, penambahbaikan sistem saliran, pembinaan takungan air dan penyediaan dana bantuan pascabencana kepada mangsa tetapi realitinya, inisiatif ini sering tidak mencukupi untuk membina daya tahan komuniti.
Lebih membimbangkan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan 25 peratus mangsa banjir tidak membuat sebarang persediaan menghadapi bencana ini, sekali gus membuktikan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat masih rendah.
Oleh itu, situasi ini menuntut pendekatan baharu lebih proaktif dan mampan, iaitu pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM). Berbanding pendekatan ‘atas-bawah’ yang bergantung kepada pihak berkuasa, CBDRM menekankan pembabitan aktif komuniti sebagai barisan hadapan dalam mengurangi risiko bencana serta menjadikan mereka lebih berdaya tahan.
Bertindak secara kolektif
Dalam erti kata lain, pendekatan CBDRM bukan hanya membabitkan komuniti dalam mengenal pasti risiko, bahkan membolehkan mereka bertindak secara kolektif dalam pembangunan pelan tindakan pengurusan bencana yang mengambil kira keperluan setempat.
CBDRM memberi keutamaan dalam pembangunan kapasiti komuniti dalam empat aspek, iaitu pencegahan dan mitigasi bencana, kesiapsiagaan, tindak balas serta pemulihan. Pelaksanaannya membawa pelbagai kelebihan yang menjadikannya pendekatan berkesan dalam mengurus risiko bencana.
Melalui inisiatif ini, kesiapsiagaan komuniti dapat ditingkatkan melalui peranan proaktif mereka di samping mengurangkan kebergantungan kepada pihak berkuasa ketika mendepani bencana.
Kesiapsiagaan komuniti membolehkan mereka lebih bersedia menghadapi bencana, seterusnya mengurangkan risiko dan kesan negatif yang mungkin timbul akibat bencana.
CBDRM juga berupaya meningkatkan keberkesanan kos dalam jangka panjang. Peruntukan kewangan bagi pemerkasaan komuniti melalui latihan dan pembangunan infrastruktur setempat dapat membantu mengurangkan impak ekonomi akibat bencana.
Secara prinsipnya, usaha pencegahan atau pengurangan risiko lebih kos efektif berbanding perbelanjaan untuk pemulihan pascabencana.
Pengalaman negara jiran seperti Thailand dan Filipina menunjukkan pembabitan komuniti dalam pengurusan risiko bencana boleh meningkatkan kecekapan tindak balas.
Di Thailand, CBDRM membabitkan aktiviti penilaian risiko yang membolehkan masyarakat seperti komuniti di Ayutthaya mempelajari dan membincangkan maklumat berkaitan banjir serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan.
Komuniti bersama kerajaan dan sektor swasta turut merancang langkah persediaan serta pencegahan dengan mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran tempatan ke dalam aktiviti pengurusan risiko bencana.
Semua strategi atau intervensi dirancang diserahkan kepada komuniti untuk pelaksanaan sambil dibantu kerajaan menerusi agensi berkaitan.
Di Filipina pula, pendekatan CBDRM merangkumi siri latihan pembangunan kapasiti komuniti dalam menghadapi dan bertindak balas terhadap kejadian bencana, selain sistem amaran awal berasaskan komuniti turut dipasang di beberapa kawasan dengan komuniti setempat dilatih memantau serta menyelenggarakannya.
Justeru, tiba masanya komuniti di negara ini diperkasakan dengan tanggungjawab terhadap keselamatan dan daya tahan sendiri. Beberapa komuniti seperti di Hulu Langat, Selangor dan Kemaman, Terengganu mula mengadaptasi CBDRM dengan sokongan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Malah, NADMA pada 2024 melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM), sekali gus membuktikan ia boleh berfungsi dengan baik jika mendapat sokongan mencukupi daripada kerajaan, NGO, sukarelawan dan komuniti setempat.
Bagi memastikan keberkesanan CBDRM, beberapa langkah strategik perlu diambil. Kempen kesedaran awam perlu dijalankan secara meluas, termasuk menggunakan platform arus perdana dan media sosial untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan risiko bencana terutama aspek pembabitan komuniti.
Kerjasama antara kerajaan dengan pemegang taruh lain seperti NGO dan sektor swasta perlu diperkukuh untuk menyediakan sokongan terutama dari aspek kewangan dan teknikal kepada komuniti.
Walaupun negara mempunyai NADMA, tanggungjawab memperkasakan CBDRM tidak harus diletakkan di bahu jabatan atau agensi kerajaan semata-mata. Semua pihak termasuk NGO dan lapisan masyarakat perlu berganding bahu dalam menjayakan inisiatif di bawah CBDRM.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada dalam posisi strategik untuk memimpin inisiatif pengukuhan CBDRM di peringkat serantau. Dengan usaha bersepadu dan kesedaran tinggi, kita mampu menjadikan negara ini bukan sahaja sebagai model terbaik, bahkan peneraju ASEAN dalam membangunkan strategi pengurusan risiko bencana serantau lebih proaktif dan mampan.