KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang baharu dilantik, Hannah Yeoh, meletakkan keutamaan bagi memastikan Wilayah Persekutuan ditadbir dengan ketelusan dan kepekaan terhadap realiti hidup rakyat termasuk mengurangkan insiden banjir.
Hannah yang ditukar portfolio daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui rombakan Kabinet semalam, berkata ia termasuk penambahbaikan perkhidmatan asas kerajaan, pembangunan yang mampan dan kawasan rekreasi dilindungi.
"Kepercayaan yang diberikan ini adalah satu tanggungjawab besar yang akan saya pikul dengan penuh komitmen, integriti dan keazaman.
"Ia adalah bagi memastikan tadbir urus Wilayah Persekutuan terus diperkukuhkan selari dengan aspirasi kerajaan MADANI serta tuntutan rakyat yang mahukan perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan," katanya melalui kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Hannah berkata, sebagai Ahli Parlimen Segambut yang berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau memahami secara dekat cabaran, keperluan serta aspirasi warga Wilayah Persekutuan.
Justeru, beliau komited untuk terus membabitkan pemegang taruh melalui libat urus yang menyeluruh khasnya Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kerana mereka mewakili suara rakyat yang perlu didengari dalam setiap proses pembuatan dasar.
"Sebelum ini, saya berpeluang berkhidmat bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (bekas Timbalan Perdana Menteri) dan pengalaman terbabit membentuk kefahaman saya mengenai nilai amanah, kepimpinan berteraskan kebajikan rakyat serta disiplin perkhidmatan awam yang kini saya teruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Hannah juga sempat mengimbau tugasnya di KBS di mana keutamaan diberikan kepada kebajikan dan perlindungan atlet seperti pengenalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) untuk atlet podium, pelaksanaan Program Road To Gold (RTG), pengukuhan program pembangunan akar umbi dan penyediaan fasiliti sukan percuma kepada komuniti.
Beliau berkata, keutamaan juga diberikan kepada pelaksanaan Kod Sukan Selamat, insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti sukan dan gaya hidup sihat, pelbagai dana sukan disediakan untuk perhebatkan industri sukan, senarai sukan yang diwartakan bertambah dua kali ganda dan sukan untuk semua seperti pengenalan Masters Games.
"Pembaharuan dasar belia turut diberi penekanan melalui pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia yang menetapkan had umur belia sehingga sebelum 30 tahun yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 sebagai langkah memperkukuhkan kepimpinan belia muda dan memastikan peralihan generasi berlaku secara terancang dan inklusif.
"Program popular Rakan Muda dirancakkan semula dan pelbagai intervensi sosial untuk belia berisiko diutamakan," katanya.
MERSING: Sembilan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terperangkap di Kampung Orang Asli Peta, di sini, selepas laluan keluar dari kawasan itu terputus akibat banjir, berjaya diselamatkan hari ini.
Jalan keluar daripada kampung terbabit terputus selepas hujan berterusan lebih dua jam menyebabkan kawasan rendah dinaiki air, jam 9.30 pagi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Mersing, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, jam 9.40 pagi.
"Terdapat sembilan kakitangan KKM terputus hubungan ketika dalam perjalanan pulang ke daerah Mersing selepas tugasan di kampung berkenaan.
"Pada jam 11 pagi, Pegawai Zon Perkampungan Orang Asli mengadakan perbincangan dan bersetuju supaya APM Mersing menjalankan operasi terbabit.
"Pada jam 2.02 petang, APM Mersing ke perkampungan Orang Asli Peta dengan kekuatan lima anggota bagi membawa keluar kakitangan yang terkandas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, APM Mersing berjaya membawa keluar tujuh kakitangan terbabit dengan selamat, manakala dua lagi tinggal kembali ke perkampungan bagi tujuan penjagaan aset jabatan (kereta).
Katanya, setakat malam tadi, kawasan terputus perhubungan jalan masih dinaiki air dan keadaan semasa cuaca masih hujan.
Pihak berkuasa Delhi hadkan kehadiran ke pejabat kepada 50 peratus susulan jerebu tebal
- Admin UKK
- Berita
NEW DELHI, 18 Dis: Pihak berkuasa Delhi mengumumkan pada Rabu pelaksanaan kerja dari rumah secara mandatori bagi 50 peratus pekerja di organisasi kerajaan dan swasta ketika ibu negara India itu berdepan jerebu tebal, lapor Xinhua.
“Bermula Khamis, semua institusi kerajaan dan swasta mesti memastikan 50 peratus tenaga kerja mereka bekerja dari rumah,” kata Menteri Buruh tempatan Kapil Mishra dalam satu sidang media, sambil menegaskan yang arahan itu terpakai secara menyeluruh merentas semua sektor.
Bagaimanapun, langkah itu tidak melibatkan pekerja dalam jabatan yang menyediakan perkhidmatan penting seperti hospital, tindak balas kecemasan, perkhidmatan bomba, serta jabatan yang terlibat dalam usaha memerangi pencemaran udara, antara lain.
Mishra berkata langkah itu bertujuan mengurangkan perjalanan harian dan seterusnya menurunkan pelepasan kenderaan. Beliau turut memberi amaran yang tindakan akan diambil terhadap institusi yang gagal mematuhi arahan itu.
Pencemaran udara di Delhi, yang menempatkan lebih 30 juta penduduk, semakin meruncing pada musim sejuk. Kemerosotan kualiti udara itu dikaitkan dengan kelajuan angin yang perlahan, pembakaran sisa tanaman di negeri jiran, aktiviti perindustrian, trafik kenderaan, serta kegiatan pembinaan yang berleluasa. -TVS
KUALA LUMPUR: Seramai 8,945 mangsa banjir daripada 2,837 keluarga kini berlindung di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri seluruh negara, setakat jam 7 pagi ini.
Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), angka itu membabitkan seramai 2,887 wanita dan lelaki (2,865) meliputi warga emas (816) serta orang kurang upaya (OKU - 296), selain kanak-kanak (2,905) dan bayi (288).
Pahang merekodkan jumlah PPS paling banyak beroperasi dengan 69 dibuka di lima daerah membabitkan Kuantan, Maran, Rompin, Pekan dan Cameron Highlands yang menempatkan seramai 8,148 mangsa banjir (2,618 keluarga).
Ini diikuti tiga PPS dibuka di Mersing, Johor (347 orang / 90 keluarga), manakala Terengganu pula mengaktifkan 11 PPS di Dungun dan Kemaman dengan (385 orang / 118 keluarga).
Seterusnya, 47 mangsa banjir (lapan keluarga) ditempatkan di sebuah PPS di Gombak, Selangor, dan 18 orang (tiga keluarga) berlindung di dua PPS di Miri, Sarawak.
Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan paras air di sembilan stesen di Pahang, Terengganu, Johor dan Sarawak berada pada tahap bahaya.
Dua stesen di Pahang yang merekodkan paras air tahap bahaya ialah Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan, serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.
Di Terengganu, lima stesen mencatat paras air tahap bahaya, iaitu tiga di Kemaman membabitkan dua stesen di Sungai Kemaman dengan ia direkodkan di Jambatan Air Putih dan Rumah Pam Paya Paman serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; dan Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu.
Satu stesen di Johor turut merekodkan paras air tahap bahaya, iaitu di Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat, manakala di Sarawak pula direkodkan di Miri membabitkan stesen Long Teru dan Marudi.
Mangsa banjir Aceh kibar bendera putih
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA – Penduduk wilayah Aceh di Indonesia mengibarkan bendera putih sebagai isyarat bahawa mereka tidak lagi mampu menanggung keadaan pasca banjir, tiga minggu selepas Taufan Senyar melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA) kelmarin.
Mangsa-mangsa terselamat turut menghadapi masalah kesihatan seperti demam, tifoid dan penyakit kulit, manakala bantuan pemerintah sukar sampai ke beberapa kawasan pedalaman ketika makanan semakin berkurang dan bekalan elektrik belum dipulihkan.
Ini menyebabkan penduduk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah di kampung-kampung, sepanjang lebuh raya nasional dan di pos-pos kecemasan serta pusat pemindahan.
Menurut laporan media tempatan, pejabat-pejabat pihak berkuasa tempatan juga mengibarkan bendera putih sebagai bantahan terhadap apa yang disifatkan penduduk sebagai tindak balas perlahan pemerintah pusat terhadap bencana itu.
Indonesia turut menolak tawaran bantuan antarabangsa dengan menyatakan bahawa ia mampu mengendalikan operasi kecemasan sendiri.
“Ramai penduduk dan sukarelawan mengibarkan bendera putih kerana mereka tidak lagi mampu bertahan dengan keadaan yang semakin teruk,” kata seorang penduduk Banda Aceh, Rahmiana, yang kini menjalankan misi kemanusiaan.
Pada 25 November lalu, lebih 1,000 orang di Pulau Sumatera terkorban akibat Taufan Senyar yang melanda tiga wilayah iaitu Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 431 orang disahkan maut dan 32 lagi masih hilang.
Menurut laporan akhbar Jakarta Globe kelmarin, Sumatera Utara mencatatkan 355 kematian dengan 84 orang tidak dapat dikesan, manakala Sumatera Barat melaporkan 244 kematian serta 90 lagi hilang.
Kira-kira 7,000 orang cedera dan hampir 186,500 rumah rosak atau musnah.
Mangsa-mangsa kini bergelut dengan kelaparan, kekurangan bekalan yang teruk dan ketidakpastian bila bantuan mencukupi akan tiba.
Sementara itu, di Aceh Timur, bendera putih memenuhi jalan-jalan sehingga ke daerah Aceh Tamiang.
Menurut akhbar Kompas, bendera juga dipacak di sepanjang lebuh raya nasional yang menghubungkan ibu kota, Banda Aceh ke Medan di Sumatera Utara.
“Rakyat sudah putus asa dan memerlukan bantuan. Kami tidak lagi mampu bertahan,” kata seorang penduduk kampung Alue Nimbong di Aceh Timur, Bahtiar yang dipetik oleh akhbar tersebut.
Beliau berkata, sudah tiga minggu berlalu sejak banjir melanda, tetapi bantuan yang sampai ke komuniti yang terjejas masih sangat terhad.
Penduduk tempatan telah menubuhkan dapur komuniti bebas dan berkongsi sedikit makanan, tetapi bekalan semakin berkurangan serta ramai yang berlapar, demikian menurut laporan media tempatan.
“Bendera-bendera ini dikibarkan sebagai tanda darurat untuk memohon komuniti antarabangsa membantu Aceh. Pemimpin-pemimpin asing telah menawarkan bantuan tetapi Presiden Prabowo Subianto pada Isnin lalu menyatakan situasi masih terkawal,” kata Bahtiar. – AGENSI
