RM7.356 juta diperuntukkan babitkan 613 keluarga insiden kebakaran saluran paip gas Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
SERAMAI 219 keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu telah pun didaftarkan di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Mangsa akan menerima bantuan masing-masing daripada Kerajaan Persekutuan dan Petronas melalui Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan media berkata, pemilik rumah bakal menerima bantuan mengikut kategori.
“Rumah yang musnah sepenuhnya bakal menerima bantuan sebanyak RM 10,000. Bagi pemilik yang rumahnya separuh musnah pula akan menerima bantuan sebanyak RM 5,000.
“Penyewa rumah juga layak menerima bantuan sebanyak RM 5,000.
“Kerajaan Negeri juga bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan bagi membolehkan mereka menyewa, sementara rumah sedang diperbaiki ataupun dibina semula,” katanya.
Peruntukan bantuan adalah dianggarkan sebanyak RM7.356 juta membabitkan 613 keluarga secara keseluruhannya.
Amirudin juga berkata, nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dianggarkan sebanyak RM65.4 juta dengan 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden terbabit.
Berdasarkan pemerikaan daripada pasukan teknikal yang turun dari rumah ke rumah, 81 rumah disahkan dalam kategori musnah sepenuhnya, 81 lagi separa musnah, 57 terbakar tetapi tidak mengalami kesan pada struktur mankala 218 rumah tidak terjejas.-WILAYAHKU
SUBANG JAYA, 8 April- Enam anak Orang Kurang Upaya (OKU) bawah 18 tahun yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, dikenal pasti layak menerima bantuan di bawah Program Iltizam Anak Istimewa Selangor (ANIS).
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Anfaal Saari berkata bantuan akan diselaras melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi memastikan kebajikan anak-anak istimewa tersebut terus diberi perhatian meskipun dalam situasi bencana.
Menurut Anfaal, ia selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk tidak meminggirkan golongan rentan khususnya anak-anak berkeperluan khas.
"Saya telah kenal pasti, jabatan YAWAS telah turun ke lapangan, melihat di PPS daripada segi keperluan mereka. Ada seorang tadi kita jumpa, anaknya ada sumbing.
Kita nak kenal pasti apa yang perlu, mungkin peralatan yang berkaitan. Setakat ini, enam orang telah memohon dan saya akan gesa pihak ANIS untuk proses segera," kata Anfaal kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPS Masjid Putra Heights.
Setakat ini, seramai 353 penduduk daripada 91 keluarga masih berada di PPS berkenaan susulan insiden pencemaran udara yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Subang Jaya: Genap lapan hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS), mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, meluahkan perasaan tidak sabar untuk pulang ke kediaman masing-masing.
Pembantu penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Muhammad Syukri Shuhaimy Bashar, 36, berkata rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak 150 meter dari lokasi kejadian sudah disahkan selamat untuk didiami oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga memilih menetap di PPS untuk beberapa hari lagi, sementara kerja-kerja pembaikan dilakukan.
"Semua tingkap pecah dan paip air di rumah mencair akibat bahang insiden itu. Saya bercadang baiki sendiri kerana jika upah kontraktor agak sukar dan perlukan modal yang tinggi.
"Pihak berkuasa sudah beri pas akses kepada penduduk (yang rumah selamat diduduki) untuk kami keluar masuk, selesaikan apa yang patut.
"Jika semuanya selesai, insya-Allah saya dan keluarga pulang ke rumah Ahad ini," kata bapa kepada empat anak itu ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Muhammad Syukri berkata, dia tidak pasti sama ada rumah sewanya itu dilindungi insurans atau sebaliknya, dan menyerahkan perkara terbabit kepada pemilik rumah.
Menurutnya, dia bersyukur kerana menerima bantuan RM5,000 yang disalurkan Kerajaan Persekutuan dan Petronas.
"Alhamdulillah, saya akan manfaatkan wang ini untuk kerja-kerja pembaikan rumah dan keperluan keluarga buat sementara waktu ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, Tajul Ariffin Miskun, 46, mengakui masih menunggu bantuan perumahan yang diumumkan kerajaan negeri selepas bilik sewanya di Kampung Kuala Sungai Baru musnah dalam kebakaran terbabit.
"Sejak pulang dari hospital pada semalam, saya berlindung di PPS kerana belum mempunyai kediaman lain untuk didiami.
"Bilik sewa saya hangus terbakar. Buat masa ini, saya masih dalam cuti sakit dan belum sihat sepenuhnya. Jadi saya belum bersedia untuk keluar dari sini.
"Saya tunggu beberapa bantuan yang masih belum dapat. Bila semuanya selesai dan keadaan kesihatan makin baik, saya rancang untuk keluar dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
Tajul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia tinggal seorang diri dan buat masa ini selesa dengan kemudahan di PPS yang lengkap serta teratur.
"Saya difahamkan, kerajaan negeri ada umum nak bantu bayarkan sewa rumah mangsa. Tapi saya tak pasti lagi sebab masa pengumuman dibuat, saya masih di hospital," katanya.
Katanya, setakat ini dia belum menerima maklumat lanjut dan masih menanti pengesahan sebelum membuat keputusan keluar dari PPS.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan 130 rumah yang terjejas dalam insiden terbabit disahkan selamat dan penghuninya kini dibenarkan pulang.
Angka itu mewakili hampir separuh daripada keseluruhan 235 unit rumah di kawasan terbabit, hasil penilaian keselamatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan agensi teknikal.
HADONG (Korea Selatan), 8 April: Kebakaran hutan di daerah selatan Hadong, Korea Selatan, berjaya dikawal sebahagian besarnya pada Selasa, sehari selepas api kembali marak di wilayah yang dilanda kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu, bulan lepas.
Kebakaran utama berjaya dikawal di Hadong, kira-kira 290 kilometer tenggara Seoul, menjelang 11 malam Isnin, dengan 99 peratus daripadanya berjaya dipadamkan, menurut Perkhidmatan Perhutanan Korea.
Perkhidmatan perhutanan mengeluarkan tahap tindak balas kebakaran Tahap 2 dan mengerahkan 36 helikopter serta anggota lain untuk memadamkan kebakaran itu, tetapi gagal mengawal api besar sebelum matahari terbenam.
Sejak itu, pihak berkuasa mengerahkan 72 unit peralatan dan 753 anggota untuk meneruskan operasi memadamkan kebakaran sepanjang malam.
Perkhidmatan perhutanan merancang untuk mengerahkan helikopter ke lokasi kejadian sekali lagi selepas matahari terbit.
Sementara itu, 506 penduduk yang terjejas akibat kebakaran telah dipindahkan ke sekolah berdekatan sebagai langkah keselamatan, kata pegawai. – TVS
KUALA LUMPUR, 8 April: Petronas Gas Bhd (PGB) telah bertindak mengaktifkan pasukan tindak balas krisis dan kecemasan untuk menggerakkan sumber, termasuk sukarelawan bagi membantu individu dan keluarga terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Dalam kenyataannya, PGB berkata sejak hari pertama, lebih 100 kakitangannya menawarkan diri untuk menguruskan agihan makanan di pusat bantuan sementara (PPS).
Pada masa sama, syarikat itu turut menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan sehari untuk mereka terjejas di pusat bantuan serta petugas barisan hadapan di lokasi berkenaan.
“Sukarelawan termasuk kakitangan PGB, adalah antara mereka yang pertama membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS itu,” katanya.
PGB berkata dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan mereka yang terjejas, syarikat itu telah bekerjasama dengan hospital terbabit serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan kemudahan penjagaan perubatan kepada mangsa yang menerima rawatan kecemasan.
Selain itu, PGB turut bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan bantuan serta meringankan beban mangsa.
Ini termasuk kerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam usaha menyalurkan bantuan lanjutan, antaranya penyediaan penempatan transit bagi mereka yang memerlukan kediaman jangka panjang.
Menurutnya, bagi komuniti kerugian harta benda sama ada sebahagian atau menyeluruh, PGB dengan kerjasama Prihatin Selangor sudah mengagihkan lebih RM700,000 dalam bentuk bantuan kewangan.
“Setiap isi rumah akan menerima sama ada RM5,000 atau RM2,500 bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami,” katanya.
Entiti lain dalam Kumpulan Petronas seperti Petronas Dagangan Bhd dan Yayasan Petronas turut menyumbang pek penjagaan merangkumi bekalan asas untuk keperluan individu serta keluarga terjejas. – TVS