OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Mangsa banjir di Mersing terus bertambah

Mangsa banjir di Mersing terus bertambah

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Mersing terus bertambah daripada 137 orang membabitkan 34 keluarga pada 12 tengah hari tadi, menjadi 240 orang terdiri daripada 70 keluarga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, berkata mereka yang terjejas banjir itu ditempatkan dia dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah itu masing-masing pada jam 5 pagi dan 11 pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat jam 4 petang ini, kawasan yang terjejas banjir masih di Kampung Hubong dan Kampung Baru Air Tawar.

"PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar menempatkan 129 mangsa daripada 35 keluarga yang juga penduduk Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong.

"Manakala, PPS yang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching menempatkan 111 penduduk Kampung Baru Air Tawar yang terdiri daripada 35 keluarga," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran hujan lebat berterusan kategori buruk dikeluarkan ke atas empat daerah di negeri ini iaitu Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, dijangka sehingga esok.

Manakala, amaran hujan berterusan kategori waspada dikeluarkan ke atas enam daerah lain di negeri ini, juga dijangka sehingga esok.

Sementara itu, sumber dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia pula menunjukkan keadaan paras air sungai yang semakin baik apabila kini tinggal 12 sub lembangan membabitkan kira-kira lima sungai di Segamat, Tangkak, Mersing, Batu Pahat dan Muar berada pada aras air amaran dan waspada.

Hanya cuaca di Johor Bahru, Muar dan Mersing pula dilaporkan hujan setakat jam 4 petang, manakala Pontian, Kluang dan Batu Pahat yang dilaporkan mendung serta empat daerah lain dilaporkan cerah.

Pada masa sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) pula mengeluarkan arahan berkaitan penutupan jalan yang terputus hubungan akibat terjejas banjir iaitu satu di Mersing dan dua di Kota Tinggi.

Jalan Johor Bahru - Endau Rompin, Mersing di kawasan Ladang Tenusu hanya membuka satu lorong sahaja untuk dilalui.

Manakala, di Kota Tinggi, Jalan Mawai Lama hanya dibuka bagi laluan kenderaan berat sahaja dan Jambatan Sungai Semalok dekat Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas dibuka hanya satu lorong sahaja.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search