OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Jalan rosak punca misi bantuan mangsa banjir Aceh terhalang

SHAH ALAM: Kerajaan Indonesia berdepan pelbagai kekangan terutama infrastruktur awam mengalami kerosakan sehingga menjejaskan kelancaran penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman.

Ia berikutan kekurangan aset dan jentera untuk digunakan bagi tujuan tersebut apabila masih terdapat kawasan-kawasan khususnya yang terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh melanda wilayah Sumatera Utara.

Aktivis organisasi bukan kerajaan (NGO) Al-Ain International Malaysia (AIM), Abdullah Sadzik yang berada di Aceh, Indonesia berkata, masih terdapat rumah-rumah penduduk yang terjejas teruk belum dibantu.

“Bagi yang mengalami kesan ringan, kelihatan mereka sudah pun mula atau siap membersihkan dan membaiki kerosakan akibat banjir.

“Namun, bagi rumah yang berdepan masalah banjir lumpur dengan ketebalan melebihi satu meter tidak boleh menyelesaikannya dengan tangan manusia sebaliknya memerlukan bantuan jentera untuk membersihkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, ketika ini kerajaan dilihat sedang mengutamakan pembersihan serta pembaikan infrastruktur seperti jalan raya, masjid, sekolah dan sebagainya.

Kata Abdullah, bantuan kemanusiaan yang dilakukan AIM kini memasuki hari ketiga dengan menyasarkan kawasan terjejas teruk di samping menyerahkan bakul bantuan asas.

“Kita sudah serahkan kira-kira 150 pek bantuan keperluan asas seperti bekalan makanan dan sebagainya kepada mangsa. Di peringkat awal kita mulakan dengan tinjauan.

“Kerja-kerja bantuan utama akan dilakukan pada Rabu dan Khamis dengan tambahan dua sukarelawan dari Malaysia yang akan tiba esok (hari ini). Ia akan melibatkan bantuan baik pulih rumah dan sebagainya bersama NGO-NGO di Indonesia,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat bantuan yang sudah pun dikumpulkan warga Aceh serta rakyat Malaysia berada di negara ini, namun sedang menunggu kebenaran kerajaan untuk dibawa masuk dan diedarkan. – UTUSAN

‘Sahabat di Malaysia, abaikan kenyataan ini’

PETALING JAYA – Rakyat Indonesia meminta rakyat Malaysia supaya mengabaikan kenyataan Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian berhubung bantuan dari negara ini kepada mangsa banjir di Sumatera.

Menerusi tinjauan di media sosial, rakyat dari negara tersebut turut tidak bersetuju dengan kenyataan menteri mereka, selain berterima kasih kepada Malaysia yang turut membantu Indonesia.

Pengguna Instagram Eko Tjandra menyifatkan, kenyataan Tito juga suatu yang memalukan selaku menteri di Indonesia.

“Buat sodara-sodara kami di Malaysia yang sudah banyak membantu sodara kami di Aceh dan Sumatera terima kasih tak terhingga. Jangan hiraukan omongan bapak menteri dalam negeri kami yang ucapannya sangat memalukan sebagai seorang negarawan, gak pantas dia jadi negarawan. Terima kasih Malaysia,” katanya.

Seorang lagi rakyat Indonesia, Fitri Indriyani berkata, kenyataan Tito tidak mewakili seluruh rakyat di negara berkenaan.

“Untuk saudaraku di Malaysia, kami rakyat Indonesia mengucapkan banyak terima kasih pada kalian yang sudah membantu saudara kami. Jangan dengarkan omongan pemerintah Indonesia karena mereka tidak mewakili kami sama sekali,” katanya.

Pengguna Instagram UD Tantri Stone Cirebon pula menegur menteri tersebut supaya tidak merendah-rendahkan bantuan luar untuk mangsa banjir di Sumatera.

“Jangan merendahkan mereka yang sudah membantumu karena itu bukan tanggungjawab mereka. Negaramu adalah tanggungjawabmu, negara lain sebenarnya sudah baik dengan membantu. Sejujurnya itu bukan tanggungjawab mereka,” katanya.

Media di Indonesia melaporkan, isu bantuan dari Malaysia kepada mangsa banjir di Sumatera mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat negara tersebut, termasuk dakwaan Malaysia bertindak lebih pantas dan menyalurkan bantuan berskala besar.

Bagaimanapun, Tito tampil menjelaskan situasi tersebut serta menegaskan, naratif itu tidak selari dengan fakta di lapangan.

Tito dipetik berkata, bantuan yang diperkatakan secara meluas itu bukan disumbangkan oleh kerajaan Malaysia, sebaliknya daripada pihak swasta atas dasar simpati dan hubungan tertentu.

Menerusi laporan tersebut, Tito dilaporkan berkata, bantuan berkenaan kebanyakannya melibatkan bekalan ubat-ubatan dengan nilai kira-kira RM300,000, jumlah yang dianggap kecil jika dibandingkan dengan skala bencana serta kemampuan kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Air Sungai Tembeling hampir cecah bumbung

JERANTUT – Selepas dua minggu air Sungai Tembeling surut, kini penduduk Ulu Tembeling bakal berdepan semula dengan kejadian banjir kali kedua di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.

Setakai ini air Sungai Tembeling hampir mencecah bumbung pondok yang dibina di tepi sungai selain berisiko melimpah ke tebing berikutan hujat lebat sejak tiga hari lalu.

Berdasarkan tinjauan hari ini mendapati air Sungai Tembeling sudah memasuki ke kawasan dataran dan menggelamkan laluan jambatan kecil yang menghubungkan Sungai Semena ke kampung berdekatan.

Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 46, berkata, hujan lebat tanpa henti di kawasan ulu Sungai Sepia dan Sungai Tembeling sejak kelmarin menyebabkan paras air meningkat dan arus sangat laju.

“Namun pada pukul 9 pagi hari ini, hujan masih turun dan kita berharap fenomena ini tidak berterusan bagi membolehkan penduduk keluar mencari rezeki di kebun, manakala peniaga boleh meneruskan perniagaan makanan dan barang runcit tanpa gangguan banjir,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Romizan Mat Tahar, 50, berkata, dia meminta bantuan seorang penduduk menggantikan tong rosak dengan yang baharu bagi membolehkan rumahnya terapung serta tidak hanyut ketika banjir. – KOSMO! ONLINE

Hujan berterusan sejak kelmarin, Pekan Sungai Lembing dilanda banjir kilat

KUANTAN: Hujan berterusan sejak kelmarin menyebabkan Pekan Sungai Lembing, di sini, dilanda banjir kilat pada hari ini.

Difahamkan, ia susulan paras air sungai itu naik kira-kira jam 9 pagi sehingga melimpah.

Bagaimanapun, kenderaan ringan masih boleh melaluinya sebelum dilaporkan mulai surut sekitar jam 3 petang.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri, ketika dihubungi memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, setakat ini.

Satu rakaman video tular dalam media sosial, hari ini, menunjukkan beberapa kenderaan meredah laluan yang dinaiki air di Pekan Sungai Lembing.

 

Menurut maklumat Info Banjir Pahang, Sistem Pengoperasian Hidrologi Telemetri Negeri pula, air Sungai Kuantan di Bukit Kenau melepasi paras amaran, setakat jam 3.45 petang tadi.

Tujuh sungai lagi melepasi paras waspada, iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi; Sungai Kenau di Sungai Rimau; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; dan Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut.

Selain itu, Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Sungai Telemong di Telemong, Bentong; dan Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis.

Saliran dan pembetung kecil jadi punca banjir di Pujut Tanjung Batu

MIRI, 15 Dis: Masalah saliran tersumbat dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir berulang di kawasan Pujut Tanjung Batu, susulan kewujudan lintasan haram dan pembinaan gorong-gorong kecil yang menghalang aliran air.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata hasil lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati sistem saliran utama di laluan berkenaan tidak dapat berfungsi dengan baik akibat halangan fizikal dan penyelenggaraan tidak mencukupi.

“Saliran ini merupakan saliran utama yang menyalurkan air dari kawasan perumahan dan kampung sekitar. Namun, terdapat lintasan yang dibina secara tidak sah serta gorong-gorong bersaiz kecil yang menghalang pelepasan air.

“Apabila saliran utama ini separa tersumbat, ia akan memberi kesan serius. Sebarang hujan lebat akan menyebabkan banjir berlaku. Ini satu isu yang sangat serius dan perlu ditangani segera,” katanya ketika membuat tinjaun di Pujut Tanjung Batu di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, kawasan saliran tersebut berada di bawah penyelenggaraan JKR kerana ia merupakan sebahagian daripada infrastruktur tepi jalan Pan Borneo Highway yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai langkah segera, saya telah meminta JKR untuk meneliti keseluruhan jajaran saliran ini, membersihkan halangan, termasuk lintasan haram, serta memastikan aliran air dapat dilepaskan dengan lancar,” ujarnya.

Tambahnya sebarang cadangan untuk menaik taraf sistem saliran, termasuk menukarkan saliran tanah kepada struktur konkrit, perlu dibincangkan di peringkat Persekutuan.

“Ini adalah laluan Pan Borneo dan berada di bawah pembiayaan Persekutuan. JKR perlu membawa cadangan penyelesaian jangka panjang kepada kerajaan pusat bagi memperbaiki sistem saliran secara menyeluruh,” katanya.—TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search