OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pembabitan aktif komuniti bina daya tahan hadapi banjir

Pembabitan aktif komuniti bina daya tahan hadapi banjir

Ribuan keluarga di Johor, Sabah dan Sarawak berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dinaiki air ketika kebanyakan rakyat mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Bencana alam berlaku pada bulan ketiga tahun ini menyaksikan Johor paling teruk terjejas apabila lebih 13,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Hakikatnya, banjir bukanlah asing bagi rakyat di negara ini yang menyaksikan banjir monsun dan banjir kilat menjadi kategori bencana alam yang kerap berlaku.

Pembangunan pesat tanpa perancangan mampan menyebabkan banyak kawasan hijau yang dahulunya berfungsi sebagai kawasan tadahan air bertukar menjadi kawasan dipenuhi struktur konkrit.

Memburukkan lagi keadaan apabila sistem perparitan sedia ada tidak selari dengan kadar pertumbuhan pembangunan. Kesannya, risiko banjir terutama di bandar besar dan berkepadatan tinggi semakin meningkat.

Panel Perubahan Iklim Antara-kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, peningkatan suhu bumi menyebabkan kejadian hujan ekstrem lebih kerap berlaku.

Fenomena ini menjadikan sistem saliran sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung limpahan air hujan yang meningkat secara mendadak, manakala saintis percaya perubahan iklim turut menyumbang kepada perubahan corak taburan hujan hingga banjir lebih sukar diramal.

Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia melaporkan, kerugian akibat banjir berjumlah RM755.4 juta pada 2023. Kerugian terbesar membabitkan kerosakan aset awam dan infrastruktur bernilai RM380.7 juta, disusuli kerosakan tempat kediaman (RM168.3 juta); sektor pertanian (RM120.6 juta); premis perniagaan (RM53.2 juta); kenderaan (RM22.3 juta) dan sektor pembuatan (RM10.3 juta).

Banjir bukan sahaja membabitkan kerugian material, bahkan memberi kesan psikologi kepada mangsa dengan kajian mendapati sebahagian mangsa banjir mengalami gejala tekanan pasca trauma (PTSD), kebimbangan melampau, kemurungan serta putus asa.

Walaupun pelbagai usaha diambil, banjir kekal menjadi ancaman kepada negara kita. Strategi pengurusan bencana biasanya terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu langkah pencegahan atau mitigasi sebelum bencana (ex-ante) dan langkah pemulihan selepas bencana (ex-post).

Langkah ex-ante bertujuan mengurangkan risiko sebelum bencana melalui tindakan seperti perancangan penggunaan tanah, pembinaan infrastruktur berdaya tahan, penyediaan sistem amaran awal dan perlindungan kewangan seperti insurans bencana.

Langkah ex-post pula memberi tumpuan kepada usaha pemulihan pascabencana, termasuk penyediaan bantuan kerajaan, pembinaan semula infrastruktur dan pelaksanaan program pemulihan ekonomi serta sosial untuk mangsa terjejas.

Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah mitigasi seperti pembinaan tebatan banjir, penambahbaikan sistem saliran, pembinaan takungan air dan penyediaan dana bantuan pascabencana kepada mangsa tetapi realitinya, inisiatif ini sering tidak mencukupi untuk membina daya tahan komuniti.

Lebih membimbangkan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan 25 peratus mangsa banjir tidak membuat sebarang persediaan menghadapi bencana ini, sekali gus membuktikan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat masih rendah.

Oleh itu, situasi ini menuntut pendekatan baharu lebih proaktif dan mampan, iaitu pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM). Berbanding pendekatan ‘atas-bawah’ yang bergantung kepada pihak berkuasa, CBDRM menekankan pembabitan aktif komuniti sebagai barisan hadapan dalam mengurangi risiko bencana serta menjadikan mereka lebih berdaya tahan.

Bertindak secara kolektif

Dalam erti kata lain, pendekatan CBDRM bukan hanya membabitkan komuniti dalam mengenal pasti risiko, bahkan membolehkan mereka bertindak secara kolektif dalam pembangunan pelan tindakan pengurusan bencana yang mengambil kira keperluan setempat.

CBDRM memberi keutamaan dalam pembangunan kapasiti komuniti dalam empat aspek, iaitu pencegahan dan mitigasi bencana, kesiapsiagaan, tindak balas serta pemulihan. Pelaksanaannya membawa pelbagai kelebihan yang menjadikannya pendekatan berkesan dalam mengurus risiko bencana.

Melalui inisiatif ini, kesiapsiagaan komuniti dapat ditingkatkan melalui peranan proaktif mereka di samping mengurangkan kebergantungan kepada pihak berkuasa ketika mendepani bencana.

Kesiapsiagaan komuniti membolehkan mereka lebih bersedia menghadapi bencana, seterusnya mengurangkan risiko dan kesan negatif yang mungkin timbul akibat bencana.

CBDRM juga berupaya meningkatkan keberkesanan kos dalam jangka panjang. Peruntukan kewangan bagi pemerkasaan komuniti melalui latihan dan pembangunan infrastruktur setempat dapat membantu mengurangkan impak ekonomi akibat bencana.

Secara prinsipnya, usaha pencegahan atau pengurangan risiko lebih kos efektif berbanding perbelanjaan untuk pemulihan pascabencana.

Pengalaman negara jiran seperti Thailand dan Filipina menunjukkan pembabitan komuniti dalam pengurusan risiko bencana boleh meningkatkan kecekapan tindak balas.

Di Thailand, CBDRM membabitkan aktiviti penilaian risiko yang membolehkan masyarakat seperti komuniti di Ayutthaya mempelajari dan membincangkan maklumat berkaitan banjir serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan.

Komuniti bersama kerajaan dan sektor swasta turut merancang langkah persediaan serta pencegahan dengan mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran tempatan ke dalam aktiviti pengurusan risiko bencana.

Semua strategi atau intervensi dirancang diserahkan kepada komuniti untuk pelaksanaan sambil dibantu kerajaan menerusi agensi berkaitan.

Di Filipina pula, pendekatan CBDRM merangkumi siri latihan pembangunan kapasiti komuniti dalam menghadapi dan bertindak balas terhadap kejadian bencana, selain sistem amaran awal berasaskan komuniti turut dipasang di beberapa kawasan dengan komuniti setempat dilatih memantau serta menyelenggarakannya.

Justeru, tiba masanya komuniti di negara ini diperkasakan dengan tanggungjawab terhadap keselamatan dan daya tahan sendiri. Beberapa komuniti seperti di Hulu Langat, Selangor dan Kemaman, Terengganu mula mengadaptasi CBDRM dengan sokongan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, NADMA pada 2024 melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM), sekali gus membuktikan ia boleh berfungsi dengan baik jika mendapat sokongan mencukupi daripada kerajaan, NGO, sukarelawan dan komuniti setempat.

Bagi memastikan keberkesanan CBDRM, beberapa langkah strategik perlu diambil. Kempen kesedaran awam perlu dijalankan secara meluas, termasuk menggunakan platform arus perdana dan media sosial untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan risiko bencana terutama aspek pembabitan komuniti.

Kerjasama antara kerajaan dengan pemegang taruh lain seperti NGO dan sektor swasta perlu diperkukuh untuk menyediakan sokongan terutama dari aspek kewangan dan teknikal kepada komuniti.

Walaupun negara mempunyai NADMA, tanggungjawab memperkasakan CBDRM tidak harus diletakkan di bahu jabatan atau agensi kerajaan semata-mata. Semua pihak termasuk NGO dan lapisan masyarakat perlu berganding bahu dalam menjayakan inisiatif di bawah CBDRM.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada dalam posisi strategik untuk memimpin inisiatif pengukuhan CBDRM di peringkat serantau. Dengan usaha bersepadu dan kesedaran tinggi, kita mampu menjadikan negara ini bukan sahaja sebagai model terbaik, bahkan peneraju ASEAN dalam membangunkan strategi pengurusan risiko bencana serantau lebih proaktif dan mampan.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search