RAKAMAN banjir kilat melibatkan beberapa kawasan di Klang tersebar melalui video di media sosial yang menunjukkan air bah di kawasan itu melebihi paras buku lali.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan trafik bergerak perlahan hingga air masuk ke dalam kereta serta kediaman penduduk.
Hujan lebat dilaporkan bermula pukul 1.30 tengah hari dan reda kira-kira pukul 3.30 petang.
Rakaman itu dikongsikan dalam satu video di akaun instagram milik Ashton Luke Alexander.
Ia memaparkan air banjir di jalan utama di Taman Sri Andalas sedalam paras buku lali dan setiap kenderaan yang melintasi laluan tersebut mewujudkan pergerakan seperti ombak yang menyebabkan air memasuki kereta orang ramai.
Ketua Penguatkuasa Majlis Bandaraya Klang, Andry Arman Masrom berkata, Pasukan Tindakan Segera (Pantas) yang mengendalikan situasi kecemasan itu mendapati beberapa longkang di kawasan kejiranan melimpahkan air.
“Kawasan yang terjejas akibat banjir ialah Taman Palm Grove, Taman Chi Liung, Taman Bayu Perdana dan sebahagian Taman Chi Liung. Pokok tumbang pula di Pandamaran dan Jalan Penghulu Abu Bakar di Kampung Jawa,” katanya.
Andry memaklumkan petugas telah menggunakan gergaji untuk memotong pokok tumbang di Jalan Penghulu Abu Bakar mengikut saiz dan mengalihkan sisa serpihan yang menghalang sebahagian jalan tersebut.
"Tiada punca yang dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Seorang penduduk, Selvaraju Ponnusamy berkata, pemandu kenderaan yang melihat paras air pada paras buku lali itu bertindak membuat beberapa lencongan ke kawasan kejiranan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Longkang utama di Persiaran Seraya di Taman Chi Liung tidak melimpah," kata Selvaraju.
Sementara itu, melalui video yang dikongsikan KKDevan pula menunjukkan sebahagian Jalan Tengku Kelana di Little India Klang turut dilanda banjir kilat.
Devan berkata, banjir berada di paras tepi jalan dan air tidak mengalir ke kedai.
"Pejalan kaki terpaksa berteduh di laluan yang lebih tinggi di sepanjang kedai untuk mengelak banjir.
"Di lorong Jalan Pulasan dan Lorong Rembau di Little India, air kelihatan mencecah bahagian bawah kereta yang berada di tepi jalan," katanya. — The Star/EDWARD RAJENDRA
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sentiasa bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan kekuatan 9,817 sumber manusia dibantu 295 aset darat, 211 aset laut atau sungai, 20 aset udara dan 269 aset sokongan lain.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBNS akan dibantu agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Dari segi bekalan bantuan bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah bersedia dalam memastikan kapasiti tersebut mencukupi di semua depoh simpanan, setor pejabat dan di pangkalan hadapan.
"Sebanyak 660 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan seramai 160,719 mangsa bencana juga siap sedia untuk digunakan dan dibuka pada bila-bila masa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat JPBNS (Persediaan Bagi Menghadapi Monson Timur Laut 2024/2025) yang diadakan pada 8 Oktober 2024 bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 yang dijangka bermula pada awal bulan November 2024 hingga Mac 2025.
Menurutnya semasa Monsun Timur Laur hujan berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan juga kawasan yang kerap berlaku banjir.
"Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.
“Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat bagi Sarawak dijangka akan bermula pada Disember 2024 hingga Februari 2025 dan dijangka akan mengalami taburan hujan paling tinggi pada bulan Januari 2025.
Uggah yang juga pengerusi JPBNS berkata selain itu sebanyak 332 Projek Pemuliharaan Sungai turut dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak bagi membaiki dan membersihkan sistem saliran dan perparitan bagi memastikan aliran air yang lancar, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kualiti ekosistem sungai.
"Selaku pengerusi JPBN, saya telah mengarahkan semua agensi di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya sentiasa bersedia dari segi aset dan logistik di bawah tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi segala kemungkinan kejadian bencana.
"Selain itu, Residen Bahagian dan Pegawai Daerah turut diarahkan agar bilik gerakan banjir di semua bahagian dan daerah dapat diaktifkan pada bila-bila masa diperlukan bagi memastikan respons yang cekap dan efisien diberikan kepada masyarakat dalam menghadapi situasi banjir," ujarnya.
Beliau yakin dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan serta memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar.
Masyarakat juga katanya, perlu membuat persediaan awal sekiranya diarahkan untuk berpindah ke tempat yang selamat semasa berlaku kejadian bencana dan diingatkan juga supaya menyimpan semua dokumen penting dengan selamat daripada hilang dan musnah akibat bencana.
BUTTERWORTH, 9 Okt: Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberi latihan bagi menghadapi banjir kepada kira-kira 570 individu di negeri ini dalam usaha membantu menyelamatkan diri dan harta benda semasa bencana itu melanda.
Penolong Pengarah Sektor Operasi APM Pulau Pinang, Mejar (PA) Kamal Jakarinah berkata, usaha untuk memastikan kesiapsiagaan komuniti itu dibuat melalui program Kampung Siap Siaga 221 membabitkan tujuh buah kampung yang bertujuan melatih penduduk di kawasan berisiko.
“Hasil latihan itu terbukti apabila penduduk menunjukkan kesiapsiagaan yang baik dan memudahkan pihak berkuasa dalam menguruskan proses pemindahan semasa banjir baru-baru ini.
“Kita akan teruskan program latihan komuniti itu dengan matlamat melatih lebih banyak penduduk kampung yang berisiko bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui semasa meninjau Persiapan APM Pulau Pinang Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Pejabat APM Daerah Seberang Perai Utara di Bagan Jermal di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamal berkata, pihaknya turut mengenal pasti 124 lokasi tumpuan banjir di seluruh negeri ini bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula November hingga Mac depan.
“Daerah Seberang Perai Tengah merekodkan jumlah kawasan berisiko sebanyak 44 lokasi, diikuti Seberang Perai Utara (37 lokasi), masing-masing 15 lokasi di Seberang Perai Selatan dan Barat Daya serta Timur Laut (13 lokasi).
“Seramai 81 pegawai dan 429 anggota telah bersiap siaga serta diberikan latihan operasi bantuan banjir untuk menghadapi MTL, manakala aset darat dan air juga telah bersedia,” katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmd Zahid Hamidi semalam dilaporkan berkata, orang ramai digesa bersiap sedia bagi menghadapi MTL yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.
MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.
Ia menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL yang dijangka berakhir pada Mac tahun depan. – TVS
KUALA SELANGOR – Masalah banjir yang tidak pernah selesai sejak sedekad lalu membuatkan penduduk Kampung Batu 7, Ijok di sini berasa lelah dan mahu tindakan segera dilakukan oleh pihak berkuasa.
Ini ditambah dengan kerosakan perabot dan barangan elektronik yang mencecah ribuan ringgit setiap kali berlakunya fenomena itu.
Seorang penduduk, Mohd. Rozi Basir,45, mengakui berasa bimbang setiap kali hujan lebat susulan rumahnya yang berada di kawasan tanah rendah kampung tersebut.
“Keadaan banjir bukan sahaja disebabkan hujan di daerah ini tetapi turut disebabkan limpahan air dari Hulu Selangor sekiranya berlaku situasi sama di situ,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong penduduk kampung yang diketuai Ketua Kampung (Persekutuan), Mohd. Afandy Dahlan.
Seorang warga emas, Abdul Rahim Miswandi, 66, berkata, kudrat sudah tidak berdaya untuk membersihkan rumah akibat banjir yang disifatkan sebagai ‘sambutan’ wajib setiap tahun.
Justeru, dia berharap agar ada solusi terbaik bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa banjir terutama pada Monsun Timur Laut nanti.
Sementara itu, Norlida Ghani,60, memaklumkan banyak perabot dan barangan lain rosak selepas rumahnya dimasuki air setinggi satu meter. – KOSMO! ONLINE
Kuala Terengganu: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sudah mengeluarkan arahan dan garis panduan kepada kakitangan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata, kelas-kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) antara paling terkesan apabila berlaku banjir.
Menurutnya, dianggarkan antara 100 hingga 125 kelas Tabika Kemas mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir hingga menjejaskan antara 2,500 hingga 3,125 murid pada MTL, tahun lalu.
Katanya, Tabika Kemas yang sering terjejas akibat banjir di Terengganu adalah di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
"Ia membabitkan kawasan-kawasan pedalaman yang sering dilanda banjir besar hingga ada tabika yang hanya kelihatan bumbung sahaja akibat ditenggelami air.
"Justeru, kita meminta semua guru dan kakitangan Kemas terutama di kawasan berisiko membuat persiapan awal dengan mengalihkan dokumen penting, barangan elektrik dan berharga ke tempat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan BGL Kemas Negeri Terengganu, di Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat sebanyak 856 tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 18,000 orang di negeri ini.
"Ada tabika yang mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir dan ia akan dibaiki bagi menjamin pembelajaran kanak-kanak tidak terjejas.
"Justeru, persiapan awal sudah dilakukan bagi mengurangkan impak kerosakan terhadap dokumen dan peralatan yang digunakan dalam sesi pembelajaran," katanya.