‘Kami mahu sambut Ramadan dengan tenang’
- Admin UKK
- Berita
“Saya berharap banjir kali ini tidak berlarutan memandangkan puasa juga hanya beberapa hari lagi, kami mahu menyambut Ramadan di rumah dengan tenang,” luah Aminah Saari, 37.
Penduduk Kampung Kubang Chenok itu berkata, halaman rumahnya mula dinaiki air sejak tengah malam kelmarin dan paras air semakin meningkat.
Katanya, cuaca mendung dan hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan Sungai Golok berhampiran rumahnya melimpah, malah turut membanjiri Pintu 2 dan Pintu 3 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), di sini.
“Saya sekeluarga mengemas pagi ini (semalam) kerana bimbang air makin naik. Walau belum masuk rumah, tapi kami mahu bersiap sedia sebarangn kemungkinan,” katanya yang berdoa air surut segera dan banjir tidak berlarutan.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Rendah Ugama (A) Tarbiah Islamiah, Lubok Gong, Zahari Mokhtar berkata, banjir mendadak menyebabkan pihaknya tidak sempat memindahkan barang ke tempat tinggi.
“Sesi persekolahan juga ditutup sementara kerana pagi ini (semalam) air membanjiri kawasan sekolah hampir satu meter, selain turut menjejaskan kelas di bahagian bawah dan kantin.
“Banjir teruk pada November lalu menyebabkan sekolah alami banyak kerugian. Tidak sangka kali ini bah melanda lagi dengan cepat." katanya.
“Saya sekeluarga mengemas pagi ini (semalam) kerana bimbang air makin naik. Walau belum masuk rumah, tapi kami mahu bersiap sedia sebarangn kemungkinan”
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Hamzah Musa ketika dihubungi berkata, beberapa kawasan rendah berdekatan sungai dinaiki air disebabkan hujan lebat di kawasan hulu.
“Situasi berkenaan menyebabkan paras air di Sungai Jenob, Tanah Merah melepasi tahap bahaya. Air dari sungai terbabit mengalir ke Sungai Golok yang menyebabkan berlaku bah di kawasan rendah di sini,” katanya.