PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir Sepanyol: Kerajaan didakwa gagal kendali bencana, ribuan tunjuk protes

Valencia: Beribu-ribu orang berdemonstrasi di bandar Valencia timur Sepanyol pada hari Sabtu berhubung pihak berkuasa serantau mengendalikan banjir dahsyat yang mengorbankan lebih 220 orang dalam salah satu bencana alam terburuk di Eropah selama beberapa dekad.

Dalam demonstrasi terbaru mengenai banjir, penunjuk perasaan memenuhi pusat Valencia menuntut peletakan jawatan Ketua Wilayah Valencia, Carlos Mazon.

Beberapa penunjuk perasaan membuang but berlumpur di luar bangunan majlis sebagai protes.

Penduduk di kawasan yang dilanda menuduh Mazon mengeluarkan amaran terlalu lewat, pada jam 8 malam pada 29 Oktober, selepas air mencurah-curah ke banyak pekan dan kampung berhampiran.

Hampir 10,000 sukarelawan Khidmat Malaysia siap siaga banjir

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 10,000 anggota sukarelawan Khidmat Malaysia di Terengganu bersiap sedia memberikan bantuan kepada mangsa banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, anggota dan sukarelawan skuad berkenaan mempunyai pengalaman luas selain telah melakukan persiapan yang sewajarnya untuk menghadapi bencana tersebut.

"Mereka akan membantu agensi keselamatan dan mengikuti arahan Pihak Berkuasa Bencana Negeri atau daerah. Insya-ALLAH, kami siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Semua ahli Khidmat Malaysia di setiap daerah juga bersiap siaga untuk turun serta-merta apabila banjir berlaku melibatkan kekuatan maksimum.

"Jika terdapat mana-mana kawasan yang dilanda banjir, mereka akan digerakkan untuk melakukan kerja-kerja yang diperlukan serta membantu penduduk dengan segera," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan utara serta timur Sabah dijangka menerima taburan hujan melebihi 20 hingga 40 peratus pada musim Monsun Timur Laut tahun ini berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, situasi itu berlaku memandangkan Monsun Timur Laut pada tahun ini berlaku serentak dengan fenomena La Nina.

Sementara itu, Hanafiah yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia negeri itu berkata, Khidmat Malaysia perlu berada di barisan hadapan dalam memberi kebajikan kepada rakyat terutama ketika mereka berada dalam kesusahan.

"Sukarelawan-sukarelawan itu juga berkhidmat selepas bencana dengan menyalurkan bantuan tenaga serta membersihkan rumah.

"Ini termasuk menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada mangsa-mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka," ujarnya.

 

MTL: APM tugaskan 900 keanggotaan di seluruh Kelantan

TUMPAT - Sebanyak 900 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan akan ditugaskan sepanjang musim Monsun Timur Laut di negeri ini.

Pengarah APM Kelantan, Kol Mohd Adzhar Mujab berkata, kesemua anggota ditempatkan di 10 daerah di Kelantan untuk bersiap-sedia menghadapi banjir tahun ini.

 

"Sekarang ini, APM telah meminta pejabat APM di semua daerah untuk mengaktifkan bilik gerakan dan mempersiapkan keseluruhan logistik untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di luar jangkaan.

"Apabila bermula hujan dan ada potensi banjir, anggota kita akan melakukan rondaan untuk bertindak pantas memindah dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat banjir di sesuatu kawasan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Community Outreach and Disaster Preparedness di Kampung Pulau Besar, di sini pada Sabtu.

Mohd Adzhar berkata, APM juga telah mengenal pasti sebanyak 617 kawasan 'hotspot' banjir di Kelantan bagi memudahkan pegawai dan anggota APM untuk memberi tumpuan operasi menyelamat.

Beliau berkata, APM menjalani latihan setiap minggu bersama agensi lain bagi memastikan anggota bersiap siaga menghadapi banjir tahun ini.

"Kita juga mengambil kira pandangan atau ramalan tradisional banjir besar akan berlaku 10 tahun sekali, kita tidak boleh pandang mudah," katanya. - Bernama

 

 

Dua kampung terjejas banjir di Raub

UANTAN - Penduduk Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali, Raub dikejutkan dengan kejadian banjir yang melanda kampung itu ekoran hujan lebat berterusan awal pagi Ahad.

Limpahan air Sungai Gali menyebabkan kawasan rendah di kampung tersebut dinaiki air dan menjejaskan 25 rumah penduduk membabitkan 99 mangsa sehingga jam 9 pagi.

 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub dalam kenyataannya memaklumkan, semua mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kampung berkenaan.

Menurutnya, seramai 89 mangsa dari 23 keluarga kini berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang yang dibuka sejak jam 4.30 pagi tadi manakala 10 lagi mangsa dari dua keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Gali yang dibuka jam 6.30 pagi.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub menerima panggilan daripada orang awam jam 3.45 pagi berhubung kejadian banjir tersebut.

"Anggota APM Raub segera ke lokasi bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS yang dibuka," katanya.

Beliau berkata, maklumat mangsa terlibat sudah diambil dan usaha membantu mangsa kini dalam tindakan lain-lain agensi berkaitan.

 

6,000 kit makanan untuk mangsa banjir Pahang

KUANTAN: FAMA Pahang menerima 2,000 kit makanan fasa pertama sebagai persediaan menghadapi banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah, Saiful Sadri, berkata pihaknya menerima 6,000 kit makanan daripada NADMA untuk kegunaan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, FAMA menjadi agensi pembekal utama kit makanan berkenaan dan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di PPS daerah.

"Fasa pertama sebanyak 2,000 kit makanan diterima dan kita telah menyerahkan kepada APM Pahang, fasa kedua akan diterima tidak lama lagi daripada syarikat pembekal.

"Setiap kit makanan terdapat nasi dan lauk ayam atau daging yang boleh dimasak segera selain itu terdapat beberapa jenis makanan kering yang boleh dimakan terus," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah APM Pahang, Mejar (PA) Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi, berkata pihaknya telah mengagihkan 2,000 kit makanan fasa pertama yang diterima kepada pejabat APM daerah sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search