PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Warga emas bina titi 100m sebagai persiapan banjir

RANTAU PANJANG: Seorang warga emas membina titi hampir 100 meter (m) berhampiran rumah sebagai persediaan banjir di Kampung Lubok Gong Hilir, di sini.

Rosdi Abdullah, 62, berkata, dia mula membina titi itu menggunakan perancah dan papan sejak dua minggu lalu memandangkan hampir setiap tahun rumahnya dilanda banjir dengan paras air melebihi dua meter.

Katanya, titi itu menghubungkan tingkat atas rumahnya ke jalan utama, dan ia dibina dengan kemas supaya selamat digunakan.

“Titi ini sangat penting ketika banjir kerana memudahkan kami keluar ke jalan utama, senang untuk saya keluar membeli barangan keperluan ataupun ke surau.

“Tambahan pula, banjir di kawasan rumah saya biasanya mengambil masa yang lama untuk surut, malah ada masanya banjir termenung melanda selama lebih sebulan,” katanya ditemui semalam.

Bagaimanapun, jika banjir besar melanda jalan di hadapan kediamannya juga akan dinaiki air sekali gus turut menenggelamkan titi dan mereka sekeluarga terpaksa menggunakan perahu untuk keluar.

“Biasanya, titi akan digunakan untuk mengangkat barangan, namun jika air banjir semakin bertambah titi ini turut tenggelam dan kami akan berpindah ke pusat pemindahan sementara berdekatan,” katanya.

Cuti bencana guru, murid SK Kemasik dibatalkan, sekolah seperti biasa Ahad ini

KUALA TERENGGANU: Cuti bencana yang diberikan kepada guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Chukai, Kemaman, susulan sekolah itu dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dibatalkan Ahad ini.

Berikutan itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Terenggau (JPNT), Jelani Sulong berkata, sesi persekolahan dan pembelajaran berjalan seperti biasa Ahad ini selepas PPS di sekolah itu ditutup petang semalam.

Katanya, guru dan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam di sekolah itu sebelum ini diberi cuti bencana selepas sebahagian daripada bilik darjah digunakan sebagai tempat berlindung kira-kira 383 mangsa banjir.

 

“PPS di SK Kemasik ditutup secara rasmi semalam dan kerja pembersihan bilik darjah yang dijadikan tempat berlindung mangsa banjir mula dilakukan pagi ini.

“Kerja pembersihan dan penyusunan kerusi serta meja di bilik darjah yang dijadikan tempat berlindung 383 mangsa bencana banjir akan siap sepenuhnya esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelani berkata, pengurusan sekolah tidak menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja pembersihan kerana bilik darjah yang dijadikan tempat berlindung mangsa banjir tidak ditenggelami air atau lumpur.

“Kerja pembersihan dan penyusunan kerusi serta meja dalam kelas yang dijadikan tempat berlindung mangsa banjir turut dibantu ibu bapa, guru serta murid yang tinggal berhampiran sekolah,” katanya.

 

Paras Sungai Golok di Rantau Panjang tunjuk trend meningkat

Kota Bharu: Paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih ditahap berjaga-jaga namun menunjukkan trend meningkat kepada 7.66 meter setakat 9 malam ini berbanding 7.38 meter tengah hari tadi.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kedudukan itu melebihi paras berjaga-jaga 7.0 meter.

Selain itu, Sungai Kelantan di Kampung Sokor Tanah Merah telah kembali kepada paras normal berbanding sebelum ini di paras berjaga-jaga.

Semua sungai utama lain dicatatkan berada pada paras normal.

 

20 kampung dijangka alami banjir: PRABN

Kota Bharu: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan hampir 20 kampung yang berada di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok yang bersempadan Malaysia-Thailand dijangka mengalami banjir bermula hari ini hingga Ahad.

PRABN dalam kenyataan semalam memaklumkan amaran itu dikeluarkan jam 3.30 petang kelmarin susulan hujan berterusan selain status aras air sungai diramalkan naik melebihi paras bahaya.

“Antara kampung (Kg) yang terbabit adalah Kg

Kubang Rambutan, Kg Kubang Tok Deh, Kg Tersang, Kg Baroh Pial, Kg Kubang Pak Hitam, Kg Siput, Kg Kedai Lama dan Kg Lubok Gong.

“Selain itu, Kg Kok Pauh, Kg Tok Rusa, Kg Banggol Sepuleh, Kg Kalor, Kg Lanchang, Kg Gual Nibung, Kg Banggol, Kg Padang Licin, Kg Serongga, Kg Tok Derpah dan Kg Gual Periok

Dijangka alami banjir bermula hari ni hingga Ahad juga dijangka mengalami keadaan sama,” kata PRABN.

Banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan berkenaan, mengikut kenyataan itu.

Amaran PRABN dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau pengurusan bencana banjir. – Bernama

2,102 penghuni RMM Teluk Kalong tidak pulang ke rumah

Chukai: Seramai 2,102 penghuni Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kelmarin memilih untuk tidak pulang ke rumah walaupun banjir di kawasan berkenaan surut sepenuhnya pagi semalam.

Mereka mengambil keputusan tinggal di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air semula berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Penduduk, Mohd Afikfi Mohd Khalipani, 32, berkata, dia dan isteri, Normawati Abdullah, 29, serta tiga anaknya memilih tinggal di PPS kerana bimbang air akan naik semula.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan sesekali lebat masih lagi berterusan menyebabkan dia memilih jalan selamat untuk tinggal di pusat berkenaan walaupun air di kawasan rumahnya sudah surut sepenuhnya.

“Kami hanya pulang membersihkan rumah dan barangan serta perkakas rumah yang diselaputi lumpur sebelum kembali semula ke pusat pemindahan pada waktu malam.

“Kami keluar rumah pada tengah malam tadi (semalam) berikutan air naik mendadak sehingga paras paha orang dewasa,” katanya.

Katanya, berikutan air naik secara mendadak, dia hanya sempat mengambil dokumen penting dan beberapa helai pakaian sahaja manakala barangan dan perkakas rumah ditenggelami banjir.

Menurutnya, ada penduduk sudah tidur ketika air naik kerana tidak menyangka banjir berlaku di kawasan berkenaan.

Suri rumah, Tuan Rafidah Tuan Arifin, 40, berkata, dia dan suami, Mohd Firdaus Abdullah, 45, serta tiga anak juga memilih untuk bermalam di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air ekoran cuaca yang tidak menentu.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search