PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

SAR Nepal tumpu pekerja terperangkap dalam 3 terowong

SAR Nepal tumpu pekerja terperangkap dalam 3 terowong

KATHMANDU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Nepal memberi tumpuan kepada tiga terowong projek hidroelektrik yang dipercayai menempatkan puluhan pekerja yang mungkin masih terperangkap.

Pihak berkuasa memaklumkannya hari ini, selepas banjir besar ragut ratusan nyawa dan menyebabkan ribuan orang masih hilang di negara Himalaya itu serta wilayah Tibet, China yang bersempadan dengannya.

Sekurang-kurangnya 11 projek hidroelektrik ditenggelami banjir selepas glasier runtuh ke dalam sungai di sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu.

Ia menyebabkan pintu masuk ke terowong projek berkenaan tertimbus runtuhan dan lumpur serta memutuskan hubungan dengan mereka yang terperangkap di dalamnya.

"Operasi SAR kami memberi tumpuan kepada usaha menemukan mangsa yang terselamat, termasuk di dalam terowong.

"Tumpuan lebih besar diberikan kepada projek hidroelektrik Chilime kerana kami percaya ada orang terperangkap di situ, berikutan terdapat kantin, tempat penginapan dan kemudahan makanan," kata ketua pihak berkuasa bencana negara itu, Dharma Raj Upreti, kepada Reuters.

Pasukan penyelamat turut memberi tumpuan kepada terowong projek Upper Trishuli 3A dan 3B yang dihubungkan menerusi satu terowong bersambung, kata Upreti.

"Oksigen disalurkan ke terowong berkenaan melalui paip dan kami sudah menghantar peralatan baharu yang diperlukan untuk operasi membuka laluan masuk ke dalamnya," katanya.

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, berikrar operasi menyelamat akan diteruskan tanpa henti.

"Kami sedar mengenai tanggungjawab dan sensitiviti perkara ini. Kami menterjemahkan semangat kemanusiaan rakyat Nepal kepada tindakan menerusi operasi SAR," katanya dalam hantaran di media sosial lewat Isnin.

Tentera yang terbabit dalam operasi menyelamat berkata pada Isnin, kira-kira 121 daripada keseluruhan 900 orang yang hilang dari projek hidroelektrik berkenaan mungkin terperangkap di dalam terowong.

Ada juga yang lain mungkin sedang bekerja di kawasan lain di loji jana kuasa tetapi tidak berada dalam rangkaian terowong yang luas itu.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pasukan SAR berjaya menyelamatkan empat orang, termasuk seorang warga China yang dikeluarkan dari sebuah terowong pada Sabtu.

Dua lagi ialah pekerja hidroelektrik yang diselamatkan dari terowong lain pada Jumaat, manakala seorang wanita Nepal berjaya dikeluarkan dari rumahnya yang tertimbus pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya 1,399 orang terbunuh akibat tanah runtuh, manakala lebih 5,400 masih hilang di Nepal dan Tibet. Angka korban itu termasuk 43 orang yang maut di pihak China dan 519 yang masih hilang setakat Sabtu.

Tiada satu pun mayat yang ditemui di Tibet dikenal pasti sebagai warga asing, lapor agensi berita negara China, Xinhua, hari ini.

China dan Nepal sebelum ini menyatakan perubahan iklim menjadi punca runtuhan glasier yang mencetuskan banjir berkenaan. - REUTERS

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search