PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Remaja melecur dalam kebakaran 4 rumah teres

KUALA SELANGOR - Seorang remaja berusia 16 tahun melecur tahap dua dalam kebakaran membabitkan empat rumah dua tingkat di Taman Seri Tiram Tanjong Karang di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi.

Menurut beliau, mangsa yang mengalami cedera kemudiannya dibawa ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

"Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Bestari Jaya dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran empat rumah teres itu membabitkan bangunan kelas A berkeluasan 20x60 kaki persegi setiap satu unit rumah.

"Dua rumah terbakar 50 peratus dan dua lagi mengalami kebakaran 30 peratus," ujar beliau.

Beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya sedang giat melakukan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian.

"Punca sebenar dan nilai kerugian masih dalam siasatan lanjut," ujar beliau.

Dendam dipercayai punca. Petrol ditemukan di lokasi rumah terbakar dua rentung

ALOR SETAR: Kebakaran yang menyebabkan seorang lelaki warga emas dan anak angkatnya ditemukan rentung di sebuah rumah di Tongkang Yard, semalam kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan mengikut Seksyen 302 diputuskan selepas siasatan polis bersama bomba menemukan petrol yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, polis sudah menahan lima suspek termasuk anak saudara mangsa yang juga suspek utama kejadian beberapa jam selepas kejadian.

Semua suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun termasuk seorang daripadanya lelaki warga Myanmar yang turut menghuni rumah berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati tiga daripada lima suspek yang ditahan positif dadah Methamphetamine," katanya pada sidang media hari ini.

Fisol berkata, polis menahan semua suspek berdasarkan laporan dibuat mangsa sehari sebelum kejadian selain penemuan minyak petrol di lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa berusia 61 dan 23 tahun yang sudah dikenal pasti identiti mereka, ketika kejadian tidur di bilik tingkat atas rumah," katanya.

Fisol berkata, siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian.

Lebih menguatkan siasatan apabila mangsa berusia 61 tahun membuat laporan polis sehari sebelum kejadian berlaku kerana telefon bimbitnya dilarikan suspek (anak saudaranya).

"Bagaimanapun, laporan itu ditarik semula tidak lama kemudian sebelum kejadian kebakaran kediaman itu," katanya.

Fisol bagaimanapun memaklumkan punca dendam itu masih disiasat pihaknya.

Daripada lima suspek ditahan, tiga daripada mereka terbabit secara langsung dalam kejadian itu dengan seorang membantu menyerahkan kunci pendua kediaman itu kepada suspek utama.

Media semalam melaporkan, seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran.

Bomba menerima panggilan kecemasan jam 6.57 pagi semalam.

Dibuli di tempat kerja punca 9 rumah dibakar di Baling

ALOR SETAR – Dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan buah rumah di Kupang, Baling sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 23 tahun yang juga penganggur dan penduduk Kupang ditahan pada pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

 “Kesemua sembilan kes khianat yang dilakukan suspek berpunca daripada dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Difahamkan, suspek juga dipulaukan penduduk setempat dengan sebahagian mangsa dikenali pemuda tersebut.

Katanya, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku.

“Kita percaya disebabkan perasaan dendam, dia bertindak membakar sembilan rumah dengan kerugian tertinggi sebanyak RM300,000,” ujarnya.

Modus operandi suspek adalah mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum merebak ke rumah penduduk.

Kebakaran sembilan rumah termasuk dua kenderaan dan 18 motosikal melibatkan kerugian berjumlah RM770,000.

Suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Lelaki bakar sembilan buah rumah di Baling kerana marah dibuli

ALOR SETAR: Polis berjaya memberkas seorang pemuda berusia 23 tahun yang disyaki terlibat membakar motosikal sehingga menyebabkan sembilan buah rumah hangus dalam kejadian berasingan di Kupang, Baling.

Lelaki yang merupakan penduduk tempatan itu ditahan polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan sejak kejadian pertama pada 24 Disember lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tiada unsur mistik dalam kesemua kebakaran itu sebaliknya suspek dipercayai berbuat demikian kerana dendam akibat sering dibuli di tempat kerja sebelum ini serta dipulaukan penduduk setempat.

Katanya, suspek yang masih bujang kini tidak bekerja selepas dia berhenti kerja di sebuah kilang getah di Kupang, kira-kira tiga bulan lalu.

“Dengan tertangkapnya suspek, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kesemua sembilan kes khianat dengan api yang disyaki telah dilakukan oleh suspek.

“Suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Fisol berkata, modus operandi suspek adalah membakar motosikal dengan cara menuangkan minyak tanah ke atas tempat duduk kenderaan itu dan menyalakan api menggunakan pemetik api.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 18 motosikal, dua kereta dan sembilan buah rumah terlibat dalam kejadian itu yang menyebabkan kerugian hampir RM770,000.

“Empat mangsa dikenali oleh suspek dan selebihnya adalah sasaran rambang penduduk di sekitar Kupang. Dia tidak memiliki sebarang rekod lampau dan bergerak seorang diri menaiki motosikal ketika melakukan perbuatan itu,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, penduduk sekitar Kupang bimbang dengan kejadian kebakaran rumah yang berlaku secara berturutan sejak 23 Disember lalu.

Pelbagai andaian dibuat termasuk mengaitkan kejadian itu dengan unsur mistik sehingga memaksa penduduk untuk berjaga malam bagi mengawal sekitar kampung mereka. – UTUSAN

Masalah hakisan, jalan runtuh di pantai Batu Rakit ditangani segera

DUNGUN - Masalah hakisan dan jalan runtuh di pantai Batu Rakit, Kuala Nerus akan ditangani secepat mungkin sebaik kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan itu disambung kembali selepas berakhir musim tengkujuh tidak lama lagi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini projek berkenaan tergendala sementara akibat fenomena ombak besar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, projek bernilai RM70 juta dibawah Kerajaan Persekutuan itu akan diteruskan sekali gus mampu menyelamatkan pantai itu daripada hilang ditelan ombak.

"Pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) ketika ini sedang berjalan, namun ia tergendala seketika disebabkan berlaku fenomena ombak besar yang lebih kuat dan agak luar biasa berbanding tahun-tahun sudah.

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), kita kini berada di penghujung (fenomena) ombak kuat yang memberi kesan hakisan yang sebegitu.

"Selepas ini, insyaALLAH, projek-projek yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dan kita akan tangani masalah jalan raya yang tidak dapat dilalui itu secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung masalah itu.

"Saya difahamkan, beliau (Fadillah) telah menyatakan komitmen untuk turun sendiri melihat masalah hakisan di Terengganu termasuk mengunjungi tapak (projek) untuk melihat tindakan segera yang boleh dibuat.

"Selain itu, kita juga turut bersama-sama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA untuk menangani keperluan semasa berhubung masalah ini," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM70 juta untuk melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai di daerah Kuala Nerus.

Proses kerja awalan termasuk penghantaran bahan binaan ke tapak projek sudah dilakukan kontraktor bagi projek pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan terjejas yang dijangka siap pada 2026.

Masalah hakisan pantai berlaku menyebabkan dua jalan iaitu Jalan Mengabang Telipot (berhampiran Warung Pok Nong) sepanjang 300 meter dan Jalan Pantai Kampung Tanjung Batu Rakit sepanjang 330 meter ditutup sepenuhnya terhadap semua kenderaan.

Penduduk di kampung berdekatan terpaksa menggunakan laluan alternatif sementara.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search