Sesi Libat Urus Madani Siaga Bencana bersama Rakan NADMA dan Media di Dewan Wawasan, Markas SMART
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
PUCHONG, 23 Nov - YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), telah menyempurnakan Sesi Libat Urus Madani Siaga Bencana bersama Rakan NADMA dan Media di Dewan Wawasan, Markas SMART.
Sesi yang melibatkan lebih 300 pengamal media tempatan serta Rakan NADMA yang terdiri daripada Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah NADMA turut memberikan peluang kepada peserta untuk bertanya secara langsung kepada pakar-pakar dari agensi yang hadir memberikan taklimat berkenaan keadaan semasa Monsun Timur Laut 2023/2024 serta tahap kesiapsiagaan agensi kerajaan menghadapi MTL ini.
Agensi yang terlibat termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), YB Datuk Ugak Anak Kumbong turut berkesempatan memeriksa Perbarisan Kehormat oleh Pegawai dan Anggota Pasukan SMART serta aset-aset terkini yang bakal digunakan sepanjang musim MTL 2023/2024.
