𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐔𝐊𝐔𝐇 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐈𝐀𝐏𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐀𝐑𝐀𝐅 𝐃𝐈𝐑𝐀𝐉𝐀 𝐃𝐈 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐒𝐈𝐌𝐔𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐀𝐍𝐀 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐔𝐊𝐔𝐇 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐈𝐀𝐏𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐀𝐑𝐀𝐅 𝐃𝐈𝐑𝐀𝐉𝐀 𝐃𝐈 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐒𝐈𝐌𝐔𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐀𝐍𝐀 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi memastikan penganjuran acara rasmi negara dilaksanakan dengan lancar, selamat dan tersusun menerusi lawatan tapak yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA, Datuk Haji Hussain Moh, ke Tapak Simulasi Bencana Negara sebagai persediaan menjelang majlis yang dijangka disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Ogos atau September ini.
Lawatan tersebut bertujuan meneliti aspek keselamatan, logistik, pergerakan tetamu kenamaan, pelan kontingensi serta kesiapsiagaan fasiliti bagi memastikan setiap keperluan penganjuran memenuhi standard pengurusan acara bertaraf nasional. Sebanyak tiga lokasi di Tapak Simulasi Bencana Negara telah dikenal pasti sebagai pilihan bagi penganjuran majlis berkenaan, yang bakal menjadi acara rasmi pertama diadakan di pusat tersebut.
Datuk Hussain berkata, persediaan awal melalui lawatan tapak amat penting bagi memastikan setiap aspek pengurusan risiko, penyelarasan antara agensi dan pelan kontingensi dilaksanakan secara menyeluruh. Ia sekali gus menyerlahkan keupayaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai agensi penyelaras utama pengurusan bencana negara dalam merancang, menyelaras dan mengurus keperluan logistik, keselamatan serta kesiapsiagaan bagi penganjuran acara rasmi bertaraf nasional.
Usaha ini bukan sahaja memastikan kelancaran majlis yang bakal berlangsung, malah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap tahap kesiapsiagaan negara dalam mengurus operasi berskala besar yang memerlukan koordinasi pelbagai agensi. Pada masa sama, penggunaan Tapak Simulasi Bencana Negara sebagai lokasi penganjuran mencerminkan komitmen NADMA untuk mengoptimumkan kemudahan strategik negara sebagai platform yang menyokong pengurusan bencana, latihan, persidangan dan program rasmi berimpak tinggi
