Mesyuarat High Level Committee Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
24 Februari 2025 - Telah berlangsung Mesyuarat High Level Committee Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu. Mesyuarat diadakan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Sabah dan Sarawak akibat luruan monsun pada Januari 2025 yang memerlukan intervensi segera.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta dihadiri oleh ketua-ketua jabatan agensi tindak balas, agensi teknikal dan bantuan yang berkaitan. Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan Sarawak serta pegawai-pegawai daerah di Sabah.
Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat ini adalah kaedah mempercepatkan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI), penambahbaikan pengurusan mangsa terutama penempatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan keperluan bagi penambahbaikan pengurusan bencana geologi serta tebatan banjir khususnya di kedua-dua negeri tersebut.
Selepas selesai mesyuarat, diteruskan dengan Lawatan ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kawasan Persekitaran Lido, Kota Kinabalu. YAB Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Ketua Pengarah NADMA, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Pengarah JPS Sabah dan wakil-wakil JPBN Sabah dan Sarawak turun meninjau kemajuan projek RTB tersebut.