Mesyuarat Awalan Pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana dan Perbincangan Inisiatif Semasa di Sarawak
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Mesyuarat Awalan Pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana dan Perbincangan Inisiatif Semasa di Sarawak | 21 Februari 2025
Telah berlangsung satu (1) Mesyuarat Awalan Pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana dan Perbincangan Inisiatif Semasa di Sarawak yang telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran), Jabatan Premier Sarawak.
Wakil ahli mesyuarat yang hadir dari pihak NADMA ialah Encik Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBhg. DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi, Encik Mohd Khairi bin Abd. Ghani, Pengarah Seksyen Logistik dan pegawai Seksyen Mitigasi.
Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan cadangan pemilihan Sarawak sebagai salah satu dari negeri rintis (pilot state) bagi pembangunan Strategi DRR Negeri Sarawak sehingga tahun 2030. Pihak negeri Sarawak menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh NADMA dan bersetuju untuk memberikan kerjasama dengan sebaiknya bagi merealisasikan agenda tersebut. Perkara ini adalah selaras dengan aspirasi dan komitmen kerajaan dalam memenuhi sasaran utama keempat bagi Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 serta kerangka Sendai Framework for DRR 2015-2030 di semua peringkat merangkumi nasional, tempatan dan merentasi sektor secara menyeluruh.
Selain itu, sesi mesyuarat ini juga turut memberikan fokus yang khusus kepada perbincangan berkaitan dengan status penyelarasan terkini bagi pemasangan Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) di sekitar negeri Sarawak dan cadangan pelaksanaan latihan simulasi Tabletop Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) yang dijadualkan pada bulan Ogos 2025 yang akan datang di Bintulu, Sarawak.