NAYPYIDAW (Myanmar), 5 April: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Malaysia tiba di Myanmar, hari ini, bagi melaksanakan misi kemanusiaan ke Myanmar susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
Pesawat yang membawa Mohamad serta delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw, di sini, kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Luar Myanmar Ko Ko Kyaw.
Sejurus tiba, Mohamad bersama dengan pasukan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) menyerahkan barangan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) kepada Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar.
DELSA merupakan inisiatif di bawah AHA Centre yang menyediakan sokongan logistik kecemasan kepada negara-negara anggota ASEAN yang terjejas akibat bencana.
DELSA membantu dalam penyimpanan awal dan penghantaran barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan kecemasan dengan cepat dan berkesan apabila bencana berlaku.
Dalam lawatan itu, Mohamad dan rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa yang turut mengetuai misi kemanusiaan itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Menteri Luar Myanmar U Than Shwe di ibu kota Myanmar itu.
Misi kemanusiaan itu merupakan manifestasi solidariti serantau dan sokongan kepada rakyat Myanmar, sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung gempa bumi di Myanmar dan Thailand yang dipengerusikan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 30 Mac lepas secara sidang video.
Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan misi itu mencerminkan kesinambungan pendekatan ASEAN yang bersatu dan berteraskan rakyat dalam menangani krisis kemanusiaan serantau.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN, Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (AHA Centre) dan rakan-rakan kemanusiaan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula di Myanmar – terutamanya di wilayah Sagaing dan Mandalay yang paling teruk terjejas,” menurut Wisma Putra.
Pada 28 Mac lepas, gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.
Setakat Jumaat, kematian akibat gempa bumi di Myanmar meningkat kepada 3,145 orang, dengan 4,589 cedera dan 221 lagi dilaporkan hilang. – TVS
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar akan menamatkan operasinya dan pulang ke tanah air Isnin ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata selain tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh SMART telah tamat, ia perlu dihentikan kerana mereka tidak lagi menjumpai mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bencana alam itu.
“SMART kita jumpa seorang sahaja masih hidup dan yang lainnya semua telah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama sebelum mengakhiri lawatan rasmi untuk misi kemanusiaan ke Myanmar pada Sabtu.
Misi kemanusiaan sehari itu turut diketuai bersama rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa.
Menurut Mohamad, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar U Than Shwe turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kecekapan SMART melaksanakan operasi SAR di negara itu selain penyaluran bantuan kemanusiaan yang lain.
Mohamad berkata perkara itu dizahirkan semasa sesi pertemuannya dengan Aung Hlaing dan Than Shwe di Nay Pyi Taw.
Katanya, SMART telah dihantar ke Sagaing, iaitu kawasan paling teruk terjejas kerana pasukan itu mempunyai kelengkapan mencari dan menyelamat yang mencukupi.
“Malah, saya dimaklumkan penduduk di sana sangat menghormati dan sanjung tinggi pasukan SMART kita sehingga mereka minta pasukan kita jangan kembali ke Malaysia lagi,” katanya.
Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik TUDM yang membawa 50 anggota dan pegawai SMART serta pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar, bagi operasi SAR pada 30 Mac lepas.
Operasi SAR oleh SMART berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan gempa bumi di Daerah Sagaing, Myanmar sejak Isnin lepas.
- Bernama
Agong beri sumbangan peribadi
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam berkenan menyampaikan sumbangan peribadi menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada mangsa kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Sebanyak 308 ketua isi rumah yang terjejas menerima sumbangan wang tunai RM1,000 bagi meringankan beban.
Sultan Ibrahim turut berkenan mencemar duli menyantuni dan bertanya khabar mangsa terlibat di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna, Masjid Putra Heights.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di PPS berkenaan pada 10.22 pagi, diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Setakat 8 pagi semalam, 382 mangsa daripada 98 keluarga masih berlindung di PPS berkenaan.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah lagi terjejas, tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.
Kerja penilaian akhir keselamatan di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, dijangka selesai hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisyam Mohammad berkata, ia kemudian akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam masa terdekat.
“Penilaian akhir ini hanya meliputi kawasan kawah kebakaran sahaja dan tidak termasuk kawasan infrastruktur terjejas. Kini, kami juga jalankan operasi penyedutan air di kawasan kawah kebakaran kerana ada limpahan susulan hujan semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan awal siasatan teknikal punca kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu, dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Hussein berkata, impak letupan besar itu menyebabkan struktur atau landskap asal kawasan berkenaan berubah, menjadikan kawasan terbabit tidak stabil.
Kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lalu, menyaksikan
api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.
Sejumlah 130 unit rumah terbabit insiden letupan paip gas di Putra Heights, disahkan selamat dan penghuninya sudah dibenarkan pulang ke kediaman terbabit.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata 130 unit rumah itu daripada keseluruhan 235 yang dikenal pasti terbabit di kawasan Taman Putra Harmoni.
“Bagaimanapun, penghuni di Kampung Sungai Baru belum dibenarkan pulang kerana keadaan masih belum selamat sebagaimana laporan pihak bomba, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan jabatan berkaitan.
“Justeru, saya mengingatkan penduduk yang belum mendapat kebenaran pulang, tidak pulang ke rumah masing-masing kerana tiada jaminan keselamatan.
“Saya juga akan memperketatkan kawalan kemasukan kerana di pihak polis ada kelonggaran tertentu sahaja untuk membenarkan mereka mengambil dokumen penting dengan diiringi bomba di lokasi,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini, semalam.
Amirudin berkata, kerajaan negeri bimbang berlaku perkara tidak diingini jika mereka masuk ke lokasi berkenaan tanpa pengetahuan pihak berkuasa.
“Kalau mereka masuk sendiri tanpa melapor kepada komandan atau pegawai kita di lapangan, saya bimbang akan berlaku insiden yang tidak kita ingini.
“Ada laporan saya terima, mereka yang pulang ke rumah terpaksa mendapatkan rawatan balik di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana mengadu sesuatu yang kurang selesa selepas mereka pulang.
“Apabila disemak, itu di kawasan Kampung Sungai Baru atau Kampung Kuala Sungai Baru yang belum ada kelulusan (kebenaran pulang ke rumah),” katanya.
509 keluarga terjejas
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri mengenal pasti 509 keluarga yang terjejas dengan tragedi itu berdaftar dengan PPS, namun sebahagian tidak tinggal di situ sebaliknya memilih tinggal di luar kawasan.
“Masih ada mangsa menyewa atau pemilik rumah di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru tidak berdaftar kerana belum pulang dari kampung berikutan cuti Aidilfitri. Saya minta mereka daftar dengan segera.
“Mereka perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, tidak kira sama ada ingin duduk di PPS atau tidak, termasuk mangsa yang kini menumpang rumah saudara-mara atau rumah kawan atau di rumah lain.
“Apa yang penting, buat masa ini kena mendaftar dengan PPS supaya tiada sesiapa tercicir daripada bantuan yang akan disampaikan,” katanya menambah proses pendaftaran mangsa dijangka ditutup tengah hari ini,
“Esok (hari ini), pendaftaran kita akan tutup sebab kita hendak selaraskan segala data dan maklumat dengan bomba dan JKM.
“Pejabat Tanah dan Daerah Petaling juga akan membuat perbandingan senarai rumah yang kita sudah kenal pasti.
“Ada kerumitan kerana di beberapa lokaliti, beberapa premis adalah rumah sewa, sebahagiannya lebih daripada satu pintu. Justeru, kita ada satu kategori baharu, iaitu kategori penyewa.
“Jadi rumah yang musnah sepenuhnya itu kategori satu, kategori kedua adalah rumah yang terkesan tetapi tidak musnah dan penyewa,” katanya.
Katanya, pemilik rumah musnah sepenuhnya akan menerima RM5,000, pemilik rumah dan penyewa terkesan pula masing-masing akan menerima RM2,500 bermula esok.
“Sumbangan ini dijangka disalurkan sepanjang minggu depan. Kita ucapkan terima kasih kepada semua terbabit sama ada PETRONAS, pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah serta JKM yang menguruskan tempat perlindungan dan bantuan,” katanya.