PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

‘Tsunami kali ini dari darat’

PETALING JAYA – Tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah utama di Sumatera terutamanya Sumatera Barat pada 27 November lalu meninggalkan kesan cukup mendalam kepada penduduk.

Arus deras yang bergabung dengan runtuhan tanah bukan sahaja mencetuskan banjir besar, malah turut memusnahkan deretan rumah penduduk, merosakkan jalan raya serta menenggelamkan kampung.

Seorang sukarelawan yang berada di PD Jaya, Sumatera Barat, Indonesia, Dr. Baharudin Suri berkata, trauma tragedi itu turut mencetuskan mimpi ngeri 20 tahun lalu selepas kawasan itu dibadai tsunami.

Beliau yang juga Naib Presiden Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) berkata, rata-rata penduduk menganggap musibah tersebut sebagai ‘tsunami’ kedua selepas tragedi yang berlaku sebelum ini.

“Tsunami 2004 berlaku akibat gelombang dari laut, tapi selepas 20 tahun, berlaku satu lagi ‘tsunami darat’ yang mana potongan kayu dari gunung memenuhi sungai sehingga meranapkan rumah-rumah penduduk.

“Ada kampung yang hilang akibat banjir kali ini. Rumah yang selamat pula ditelenggami lumpur setinggi siling. Sehingga kini penduduk masih berusaha membuang lumpur dari rumah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dr. Baharudin berkata, penduduk kini bimbang dengan gelombang kedua ekoran kea­daan hujan yang masih berterusan sehingga hari ini.

Selain itu, beliau yang tiba di PD Jaya sejak kelmarin berkata, kebanyakan penduduk masih tinggal di masjid dan pusat-pusat sementara kerana tiada bekalan elektrik dan air yang bersih.

“Infrastruktur seperti sekolah musnah sehingga ada laluan sungai terbentuk di hadapan bangunan. Bencana ini meninggalkan trauma yang dahsyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bantuan yang disalurkan memfokuskan kepada keperluan kecemasan seperti makanan sedia dimakan, pakaian, rawatan perubatan serta bantuan psikologi. -KOSMO! ONLINE

Kerugian banjir Perlis lebih RM200j

KANGAR: Banjir melanda Perlis baru-baru ini yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun meninggalkan kesan kemusnahan dahsyat dengan kerugian dianggarkan melebihi RM200 juta.

Dalam tempoh tiga hari bermula 23 hingga 25 November lalu menyaksikan Perlis dalam keadaan kritikal dengan hampir keseluruhan negeri ditenggelami air sehingga 9,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 14,785.56 hektar sawah tenggelam dan lokasi pelancongan, sekolah, hospital dan pejabat kerajaan menghadapi kerosakan serius.

Meskipun tidak seteruk banjir 2010, banjir Perlis 2025 akan diingati sebagai terburuk dalam sejarah negeri ini. Pada 2010, lebih 63,000 penduduk terkesan dengan hampir 47,000 hektar atau separuh negeri ditenggelami air dan kerugian dianggarkan mencecah RM200 juta. 

Bagaimanapun, selepas pembinaan projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh bermula 2012 dan siap sepenuhnya pada 2020, Perlis berjaya mengelak dari banjir lebih dahsyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, kerugian banjir pada kali ini dijangka lebih besar daripada 2010 dengan dianggarkan sekitar RM230 juta atau tinggi yang meliputi kerosakan infrastruktur seperti bangunan kerajaan, jalan raya, sektor pertanian, pelancongan dan kemusnahan harta benda.

Namun katanya, agensi-agensi berkaitan masih terus mengumpulkan maklumat mengenai jumlah kerugian sebenar akibat banjir berkenaan.

“Daripada segi kerosokan infrastruktur seperti bangunan kerajaan dan agensi sudah mencecah antara RM17 juta sehingga 20 juta,” katanya.

Rahimi berkata, pada masa ini, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sudah dihentikan selepas banjir di Perlis sudah kembali pulih, manakala usaha pemulihan dan bantuan masih berterusan dengan dikoordinasi agensi tertentu.

“Pengurusan banjir oleh kerajaan negeri termasuk keberkesanan PKOB sepanjang bencana itu berjalan cukup lancar tanpa sebarang isu atau masalah berbangkit,” katanya.

Katanya, banjir tersebut antaranya menyaksikan sektor pertanian mengalami kerugian lebih RM42 juta merangkumi kemusnahan sawah padi dan ladang harumanis.-UTUSAN

Pusat Pemindahan Kekal Bencana SK Seri Medan siap bulan depan

KUALA TERENGGANU – Projek pembinaan 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) dibina Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi kemudahan mangsa banjir berjalan lancar dengan satu daripadanya bakal siap sepenuhnya pada bulan depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Banjir) Nadma, Hussain Moh berkata, PPKB yang bersedia untuk beroperasi tersebut terletak di Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Johor.

“PPKB SK Banggol Peradong, Manir di sini pula dijangka siap pada bulan Julai tahun depan.

“Selain itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dinaik taraf iaitu SK Matang, Hulu Terengganu telah siap dan bersedia menerima kemasukan mangsa sekiranya berlaku banjir gelombang seterusnya pada masa terdekat,” katanya di Batu Burok di sini semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Pusat Kawalan Bencana Negeri Terengganu yang disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Datuk Ab. Rasid Jusoh.

Hussain berkata, setiap PPKB yang dibina anggaran kos RM8 juta tersebut boleh menampung kira-kira 500 mangsa banjir pada satu-satu masa.

Beliau berkata, PPKB terbabit dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan makan, surau, bilik rawatan dan serta orang kurang upaya dan warga emas.

“Pembinaan PPKB tersebut bertujuan mengurangkan gangguan terhadap perjalanan sekolah seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ia disebabkan sebelum ini kira-kira 50 peratus PPS yang digazetkan merupakan sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tanah runtuh Aceh: Operasi SAR rakyat Malaysia hilang diteruskan

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang rakyat Malaysia yang hilang susulan kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat masih diteruskan pihak berkuasa Indonesia.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus menyediakan bantuan konsular kepada keluarga mangsa yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa negara itu.

"Operasi SAR yang dijalankan sejak kejadian tanah runtuh pada 27 November lalu kini masuk hari ke-15 dan masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di Padang Panjang.

"Usaha pencarian tetap diteruskan, dan Konsulat Jeneral terus menyediakan sokongan konsular kepada keluarga yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.

"Setakat ini, tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia yang hilang atau terjejas oleh keadaan yang sedang berlaku," katanya.

 

Dalam perkembangan berasingan, seorang wanita Malaysia berusia 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi di Aceh disahkan selamat dan kembali ke tanah air, semalam berdasarkan maklumat diterima daripada keluarganya.

Kenyataan itu memaklumkan Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau perkembangan susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara pada 27 November lalu.

"Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan bahawa akses ke beberapa kawasan yang sebelum ini terputus kini bertambah baik, membolehkan pasukan SAR memasuki lebih banyak lokasi selaras kerja pembersihan jalan yang sedang dijalankan.

"Sehubungan itu, jumlah individu yang pada awalnya dilaporkan hilang mula menunjukkan penurunan," katanya.

Selain itu, katanya keadaan banjir di beberapa kawasan terjejas juga beransur stabil, dengan beberapa daerah memasuki fasa pemulihan awal.

"Bagaimanapun, beberapa kawasan pedalaman, khususnya di Aceh Tamiang, Sumatera Barat dan wilayah Tapanuli, masih berdepan kekangan akses, bekalan keperluan asas serta pemulihan perkhidmatan utama," katanya.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya berwaspada, peka terhadap perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.

"Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia mendaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat dan memastikan komunikasi berterusan dengan ahli keluarga selain mendaftarkan kehadiran dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat.

"Mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau keluarga yang gagal menghubungi saudara-mara di kawasan terjejas digalakkan segera menghubungi Konsulat Jeneral di Medan menerusi talian +62 823-6164-6046 yang beroperasi 24 jam atau emel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.," katanya.

Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di timur laut Jepun

PETALING JAYA: Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengesahkan setakat ini belum me­nerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas susulan gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun, semalam.

Menurut Wisma Putra, pi­haknya memantau rapi per­kembangan semasa selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 yang berlaku pada pukul 11.15 malam waktu tempatan, pada kedalaman 54 kilometer, kira-kira 80 kilometer dari pesisir pantai Wilayah Aomori.

Kenyataan itu memaklumkan, amaran tsunami yang dikeluarkan susulan kejadian berkenaan telah ditarik balik oleh pihak berkuasa Jepun.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo berada dalam komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan terus memantau perkembangan ke­adaan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia menetap atau berada di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai serta mematuhi arahan dan panduan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun.

Selain itu, rakyat Malaysia di Jepun digalakkan mendaftarkan keberadaan mereka dengan Kedutaan Besar Ma­laysia di Tokyo bagi memas­tikan maklumat dapat di­sampaikan dengan segera ser­ta bantuan dapat disalurkan sekiranya diperlukan.

Bagi tujuan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 bagi pertanyaan umum atau +81-80-4322-3366 untuk kecemasan sahaja.

Pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui e-mel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search