PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Zaman cuaca ekstrem

Selepas ribut tropika Senyar melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini, ramai yang bimbang kemungkinan gelombang kedua atau kejadian banjir berulang melanda negara.

Ancaman cuaca ekstrem ini bukan sahaja dirasai di Malaysia, tetapi turut menjejaskan negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Sri Lanka.

Untuk memahami fenomena cuaca ekstrem ini, wartawan AMIR ABD HAMID menemubual PROF EMERITUS DR FREDOLIN TANGANG, pakar klimatologi dan perubahan iklim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Prof, adakah kejadian banjir di utara Semenanjung Malaysia baru-baru ini berkaitan dengan perubahan iklim atau faktor lain?

Perubahan iklim pastinya satu daripada faktor yang menyumbang. Tetapi dalam masa yang sama pelbagai fenomena cuaca berlaku secara serentak, menjadikan kecelaruan cuaca yang jarang berlaku atau tak pernah berlaku sebelum ini.

Selain angin kencang akibat luruan sejuk dari kawasan bertekanan tinggi Siberia, berlaku fenomena La Nina dan Indian Ocean Dipole yang berfasa negatif yang berfungsi mengangkut kelembapan udara dan juga air bersuhu tinggi ke rantau Asia Tenggara. Selain dari itu suhu permukaan air laut di rantau ini memang tinggi akibat dari pemanasan global dan adalah yang tertinggi berbanding kawasan lain. Semua ini menyumbang kepada episod kecelaruan cuaca yang kita alami di Malaysia dan rantau ini baru-baru ini. Intensiti, luruan dan tempoh dipengaruhi oleh pemanasan global.

Hujan lebat yang berpanjangan pastinya akan menyebabkan banjir dan tanah runtuh. Pastinya pembangunan yang tidak mampan, saliran yang tidak diurus dengan baik dan sebagainya akan memburukkan keadaan. Tetapi dengan curahan hujan yang sangat tinggi, banjir dan tanah runtuh akan terjadi juga dan boleh berlaku pada skala besar seperti yang dilaporkan di Sumatera.

Bagaimana Prof melihat kesan ribut tropika Senyar yang jarang berlaku di Selat Melaka?

Ribut tropika Senyar adalah yang pertama dijana di Selat Melaka. Laluan dan kekuatannya menarik kerana ia bergerak dari Selat Melaka ke timur Aceh sebelum membentuk pusingan U menuju Selangor dan Negeri Sembilan. Walaupun impaknya tidak seteruk ribut di Sumatera atau Filipina, ia mencetus kebimbangan penduduk terutamanya pengalaman lalu Lembah Klang pada 2021.

Taufan di Filipina kuat dan kebiasaannya bergerak ke barat dan ke utara. Ada dua sebab ini berlaku kerana pengaruh angin timuran dan juga taufan memerlukan daya putaran bumi atau daya Coriolis dan daya Coriolis ini meningkat mengikut latitud, ini menerangkan mengapa taufan yang biasanya melanda Filipina laluannya ke barat dan melengkung ke utara.

Tetapi kelakuan ribut tropika ini berbeza sekali. Ini boleh diterangkan dari segi daya putaran yang menjana ribut tropika ini datangnya dari luruan sejuk itu sendiri dan pergerakan ke latitud rendah merentasi Semenanjung Malaysia itu sebahagian dari kesan dari luruan sejuk. Daya Coriolis adalah kecil bagi kawasan berhampiran garis

Apakah pola yang berlaku pada tahun 2025 ini berbeza dengan tahun sebelumnya?

Kita boleh lihat dari segi bilangan taufan yang merentasi Filipina. Tahun 2025 unik kerana bilangan ribut tropika dan taufan jauh melebihi purata tahunan. Filipina dan Vietnam dilanda taufan bertubi-tubi manakala Malaysia mengalami Senyar. Faktor suhu laut tinggi, La Nina aktif, dan Indian Ocean Dipole negatif menjadikan atmosfera tidak stabil, menyumbang kepada kecelaruan cuaca. Fenomena ini mungkin menjadi norma di masa hadapan jika perubahan iklim tidak ditangani.

Dalam konteks keselamatan awam, bagaimana kerajaan Malaysia menanganinya?

Pujian wajar diberikan kepada agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana koordinasi pemindahan penduduk berjalan lancar. Walaupun kerugian harta benda berlaku, nyawa berjaya dilindungi. Pengurusan risiko ini perlu dipertingkatkan termasuk projek tambatan banjir dan kawalan pembangunan tidak mampan bagi menghadapi kejadian lebih ekstrem di masa hadapan.

Bolehkah masyarakat biasa memahami dan bersedia menghadapi cuaca ekstrem seperti ini?

Pendidikan awam dan kesedaran terhadap perubahan iklim adalah penting. Rakyat perlu memahami faktor alam dan pembangunan yang yang tidak mapman akan meburukkan keadaan apabila berlaku kecelaruan cuaca seperti ini.

Di ketika kita berdepan dengan cuaca seperti ini, memastikan keselamatan diri dan keluarga adalah sangat penting. Saya yakin sistem di Malaysia bertambah baik terutama dengan proses pemindahan penduduk yang terjejas banjir dilakukan secara teratur. Dalam jangka masa panjang, pihak berkuasa perlu menyegerakan projek-projek tambahan banjir untuk meminimumkan impak kecelaruan cuaca ekstrem seperti ini di masa hadapan. Dengan perubahan iklim dan perubahan iklim semakin meningkat, kecelaruan sebegini akan menjadi semakin kerap.

Apakah pandangan Prof mengenai cuaca ekstrem di rantau Asia Tenggara pada masa depan?

Fenomena banjir, ribut tropika dan taufan kemungkinan akan menjadi lebih kerap dan kuat. Pemanasan global menaikkan suhu laut, mempengaruhi pembentukan taufan, serta mengubah kelakuan luruan sejuk global. Malaysia dan negara jiran perlu menyesuaikan diri, meningkatkan sistem amaran awal, dan memperkuat infrastruktur untuk menghadapi norma baru ini.

 

 

 

 

 

 

 

30 rumah musnah di kampung atas air

TAWAU, 14 Dis: Sebanyak 30 rumah perkampungan atas air di Kampung Sri Aman, Lorong Jade 4, Jalan Apas musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan diterima sekitar jam 11.23 malam sebelum jentera digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran ini melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal yang dibina daripada papan dan kayu, dengan anggaran keluasan keseluruhan 262 x 229 kaki persegi,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak dan menyelamatkan kira-kira 300 rumah berhampiran, sekali gus mengelak kemusnahan lebih besar di kawasan perkampungan padat itu.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran air termasuk pam angkut dari sumber air terbuka (air laut), jentera FRT, water tanker serta sokongan bomba komuniti,” ujarnya.

Operasi disokong BBP Tawau, BBP Kunak dan Bomba Komuniti Kampung Titingan dengan kerjasama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah Electricity dan Jabatan Air.

Api berjaya dikawal pada jam 12.44 tengah malam dan operasi ditamatkan pada jam 3.10 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dibuat.

Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.-TVS

KADA rekod kerugian lebih RM2.3 juta, padi rosak ditenggelami banjir gelombang pertama

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merekodkan kerugian lebih RM2.3 juta akibat padi ditenggelami air ketika ketika banjir gelombang pertama di negeri ini, kata pengerusinya, Khalid Abdul Samad.

"Kerugian itu membabitkan seramai 269 petani dengan keluasan sawah 741.78 hektar di kawasan Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok," katanya ketika ditemui di Majlis Jasamu Dikenang 2025 KADA di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 31 bekas kakitangan KADA diraikan merangkumi 28 berpencen dan wakil tiga sudah meninggal dunia. Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa.

Khalid berkata sejak tahun lalu semua petani berdaftar di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) akan dibantu untuk membuat tuntutan ganti rugi.

Beliau berkata ketika ini terdapat seramai 7,200 pesawah di bawah seliaan KADA dengan 90 peratus daripadanya berdaftar dengan STTP. Katanya, kerugian yang dibayar adalah membabitkan tanaman berusia 76 hari iaitu padi pra masak.

"Tuntutan berjumlah lebih RM2.2 juta akan dibayar dalam tempoh antara 30 hingga 60 hari. Skim takaful ini akan membayar RM3,000 bagi setiap hektar," katanya.

Khalid berkata bagi persediaan menghadapi musim banjir gelombang kedua dan sekali bagi mengelak sawah padi rosak, KADA mengambil pendekatan mencuci saliran perairan sepanjang 58 kilometer (km) dengan kos RM700,000.

"Kita harap banjir gelombang kedua tidak berlaku kerana penanaman padi untuk musim kedua tahun ini sudah bermula pada 1 Disember lalu," katanya.

PETRA minta negeri terjejas banjir sedia laporan kerugian, kerosakan

PADANG BESAR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengarahkan setiap negeri terjejas banjir untuk menyediakan laporan lengkap berhubung kos kerugian dan kerosakan melibatkan fasiliti di bawah kementerian itu untuk diteliti secara menyeluruh.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu bagi membolehkan kementerian berkenaan memulakan gerak kerja baik pulih kerosakan di negeri terlibat bermula bulan hadapan.

Beliau berkata, prinsip utama PETRA adalah bagi memastikan kerja-kerja pemulihan kritikal di negeri terkesan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

“Secara keseluruhan, kita perlu melihat situasi ini secara menyeluruh kerana bencana banjir melibatkan beberapa negeri dan kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan akan diteliti dengan sebaiknya untuk dilaksanakan selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Cahaya Prihatin: Elektrik Untuk Komuniti di Kampung Melayu Utara Padang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Akmal berkata, banjir yang melanda negeri ini pada akhir bulan lalu juga menyebabkan beberapa fasiliti di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengalami kerosakan melibatkan pintu air dan beberapa kemudahan lain termasuk runtuhan struktur jambatan di tiga lokasi.

Katanya, berdasarkan penilaian dilakukan, kos kerosakan dialami itu juga dianggarkan berjumlah sekitar antara RM6 sehingga RM8 juta.

“Antara perkara yang dibangkitkan adalah keperluan untuk membina semula struktur yang rosak kerana ia berkait rapat dengan keselamatan serta kehidupan masyarakat setempat,” katanya.-UTUSAN

UMK aktifkan bilik gerakan banjir susulan ramalan banjir gelombang kedua bermula hari ini

MACHANG: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengaktifkan bilik gerakan banjir susulan tujuh daerah dijangka banjir bermula hari ini.

Naib Canselor UMK, Datuk Prof Ir Dr Arham Abdullah, berkata pihaknya juga sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan gelombang banjir pertama pada bulan lalu di universiti berkenaan membabitkan kampus kota di Pengkalan Chepa.

"Susulan ramalan JPS dijangka banjir bermula hari ini, kita mengambil langkah siap sedia dengan mengaktifkan bilik gerakan banjir.

"Kita juga mengingatkan pelajar supaya berada dalam keadaan bersedia dan membuat persiapan yang patut memandangkan kebanyakan pelajar sudah mempunyai pengalaman berdepan banjir bulan lalu.

"Justeru, kita sentiasa memantau dari semasa ke semasa dan sekiranya berlaku banjir lagi pada kali ini dan elektrik terpaksa ditutup, maka kita akan melakukan pembelajaran dalam talian," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas Program Kampung Angkat Madani Mukim Bukit Tiu dibawah UMK yang dirasmikan oleh Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah satu unit pam diesel menjadikan pihaknya kini mempunyai lima pam diesel dan elektrik.

"Apabila berlaku hujan lebat, pam ini akan berfungsi untuk menyedut air keluar.

"Pada masa sama, ibu bapa juga diminta supaya tidak bimbang keadaan anak-anak mereka kerana kami akan menjaga pelajar ini dengan baik," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JPS meramalkan kemungkinan berlaku banjir di Kelantan membabitkan kawasan rendah dan berisiko di tujuh jajahan bermula 14 hingga 17 Disember ini.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), memaklumkan situasi banjir itu dijangka berlaku susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search