PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Jambatan baharu dibaik pulih kini boleh digunakan

SIBU: Penduduk dan pengguna jalan raya kini boleh menggunakan jambatan yang baru dibaik pulih berhampiran kawasan Paradom dan Tung Lai Poh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh.

Beliau berkata, dengan bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu, jambatan dibina kira-kira dua dekad lalu itu kini dibaik pulih untuk digunakan.

Wong melakukan pemeriksaan terhadap jambatan baru dibaik pulih itu hari ini.

Beliau ditemani Jurutera JPS Sibu Law Chai Lit, Ahli Majlis MPS Wong Hua, pembantu peribadi kepada Soon Koh, Sean Wong, Pengerusi Perkhidmatan Komuniti Paradom Ting Hung Hua dan pemimpin tempatan lain.

“Jambatan ini dibina lebih 20 tahun lalu dan kerana hakisan ia tidak mampu menahan berat kenderaan lebih besar. Sekarang dengan bantuan JPS Sibu ia telah dibaik pulih.

“Penduduk di kawasan ini dan pengguna jalan raya kini boleh menggunakan jambatan ini sepenuhnya,” kata Wong.

Banjir: 10 keluarga dipindahkan ke PPS di Johol

KUALA PILAH - Seramai 44 mangsa banjir membabitkan 10 keluarga di sekitar kawasan Johol di sini dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Dangi pada Sabtu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, jumlah tersebut masih tidak berubah setakat petang Ahad.

"Terdapat 10 keluarga ditempatkan di PPS ini termasuk dua orang kurang upaya (OKU) dan seorang bayi lelaki.

"Keadaan cuaca ketika ini mendung dan masih hujan, jadi kita tidak benarkan mereka pulang buat masa ini.

"Bagaimanapun kita akan pantau daripada masa ke masa keadaannya dan bergantung kepada cuaca pada esok hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, satu lagi PPS turut dibuka di Tampin membabitkan 19 mangsa yang mana ketika ini terdapat enam mangsa masih berada di lokasi.

Media sebelum ini melaporkan hujan berterusan pada Sabtu menyebabkan beberapa lokasi sekitar Kuala Pilah dan Tampin dinaiki air.

Berikutan itu, Jalan Batang Melaka-Gemencheh di Tampin ditutup untuk semua kenderaan akibat banjir kilat pada paras hampir satu meter di kawasan itu.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua untuk ke destinasi masing-masing.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, misi bantuan banjir terus digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

"Lebih 50 individu dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh, termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok," katanya.

Beberapa kawasan di Kuala Pilah dan Tampin dilanda banjir

TAMPIN: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuala Pilah dan Tampin dilanda banjir dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 63 mangsa.

Seramai 19 penduduk daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok di Gemencheh, di sini, manakala 44 lagi membabitkan 10 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Dangi di Johol, Kuala Pilah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan, berkata PPS SK Gedok dibuka jam 12 tengah malam tadi menempatkan mangsa dari sekitar Kampung Tengah dan Gedok.

Selain itu, katanya, jalan Batang Melaka-Gemencheh-Tampin ditutup untuk semua kenderaan akibat paras air meningkat sehingga hampir satu meter setakat 9 malam tadi berikutan hujan lebat sejak petang semalam dan limpahan air sungai.

"Dua laluan di kawasan berkenaan ditutup kira-kira 7.30 malam tadi kerana berbahaya untuk dilalui kenderaan. Kita juga sedang memantau premis kedai dan kediaman yang terjejas susulan banjir ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna dinasihat menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua untuk ke destinasi masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, berkata misi bantuan banjir terus digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

"Lebih 50 individu dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh, termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok.

"Dianggarkan lebih 30 rumah sekitar DUN Gemencheh dan sebuah sekolah di Bukit Rokan terjejas banjir. Data tepat rumah yang terjejas belum diperoleh sepenuhnya," katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim, berkata PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Dangi susulan banjir sekitar Johol, susulan hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang semalam sehingga mengakibatkan limpahan air sungai.

"Agensi penyelamat telah menjalankan satu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke PPS, malam tadi," katanya.

 

Ribut petir, hujan lebat diramal berlaku di KL, Labuan, Putrajaya dan 9 negeri

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga jam 9 malam.

MetMalaysia menerusi amaran cuaca yang dikeluarkan pada 5.45 petang ini memaklumkan negeri terlibat ialah Kedah (Kuala Muda, Baling dan Kulim), Perak, Kelantan (Gua Musang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Rompin) dan Selangor.

Turut terlibat ialah Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson), Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Keadaan sama dijangka melanda Sarawak iaitu di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan (Simunjan), Betong, Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Sebauh), Miri serta Limbang.

Sementara itu di Sabah melibatkan pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar dan Ranau), Tawau (Tawau), Sandakan (Tongod) dan Kudat (Kota Marudu).

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

 

Amaran taufan: Rakyat Malaysia di Filipina dinasihatkan berwaspada

PUTRAJAYA: Malaysia sedang memantau rapi kesan Taufan Usagi atau dikenali Ofel yang telah melemah dengan ketara pada Jumaat selepas menyebabkan kerosakan di bandar utara Filipina.

Kementerian Luar dalam nasihat terkininya pada Jumaat memaklumkan bahawa sementara pihak berkuasa meneruskan usaha pemulihan, persiapan sedang dijalankan untuk Taufan Man-yi atau dikenali Pepito yang semakin kuat di barat Pasifik dan dijangka melanda bandar-bandar timur serta wilayah ibu kota Manila pada hujung minggu ini.

“Man-yi diunjurkan akan menjadi taufan super menjelang awal Ahad, dan rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra telah menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Filipina untuk mendaftar kehadiran mereka melalui platform E-Konsular bagi menerima kemas kini dan sokongan yang tepat pada masanya.

Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila di 107 Tordesillas Street, Salcedo Village, Makati, Metro Manila, Filipina atau melalui nombor telefon (632) 86628200 / (632) 86628201 / 02 dan alamat e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. / Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search