PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

570 individu dilatih menyelamatkan diri, harta benda semasa banjir

BUTTERWORTH, 9 Okt: Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberi latihan bagi menghadapi banjir kepada kira-kira 570 individu di negeri ini dalam usaha membantu menyelamatkan diri dan harta benda semasa bencana itu melanda.

Penolong Pengarah Sektor Operasi APM Pulau Pinang, Mejar (PA) Kamal Jakarinah berkata, usaha untuk memastikan kesiapsiagaan komuniti itu dibuat melalui program Kampung Siap Siaga 221 membabitkan tujuh buah kampung yang bertujuan melatih penduduk di kawasan berisiko.

“Hasil latihan itu terbukti apabila penduduk menunjukkan kesiapsiagaan yang baik dan memudahkan pihak berkuasa dalam menguruskan proses pemindahan semasa banjir baru-baru ini.

“Kita akan teruskan program latihan komuniti itu dengan matlamat melatih lebih banyak penduduk kampung yang berisiko bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui semasa meninjau Persiapan APM Pulau Pinang Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Pejabat APM Daerah Seberang Perai Utara di Bagan Jermal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, pihaknya turut mengenal pasti 124 lokasi tumpuan banjir di seluruh negeri ini bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula November hingga Mac depan.

“Daerah Seberang Perai Tengah merekodkan jumlah kawasan berisiko sebanyak 44 lokasi, diikuti Seberang Perai Utara (37 lokasi), masing-masing 15 lokasi di Seberang Perai Selatan dan Barat Daya serta Timur Laut (13 lokasi).

“Seramai 81 pegawai dan 429 anggota telah bersiap siaga serta diberikan latihan operasi bantuan banjir untuk menghadapi MTL, manakala aset darat dan air juga telah bersedia,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmd Zahid Hamidi semalam dilaporkan berkata, orang ramai digesa bersiap sedia bagi menghadapi MTL yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Ia menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL yang dijangka berakhir pada Mac tahun depan. – TVS

Penduduk Ijok letih hadap banjir setiap tahun, rugi ribuan ringgit

KUALA SELANGOR – Masalah banjir yang tidak pernah selesai sejak sedekad lalu membuatkan penduduk Kampung Batu 7, Ijok di sini berasa lelah dan mahu tindakan segera dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ini ditambah dengan kerosakan perabot dan barangan elektronik yang mencecah ribuan ringgit setiap kali berlakunya fenomena itu.

Seorang penduduk, Mohd. Rozi Basir,45, mengakui berasa bimbang setiap kali hujan lebat susulan rumahnya yang berada di kawasan tanah rendah kampung tersebut.

“Keadaan banjir bukan sahaja disebabkan hujan di daerah ini tetapi turut disebabkan limpahan air dari Hulu Selangor sekiranya berlaku situasi sama di situ,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong penduduk kampung yang diketuai Ketua Kampung (Persekutuan), Mohd. Afandy Dahlan.

Seorang warga emas, Abdul Rahim Miswandi, 66, berkata, kudrat sudah tidak berdaya untuk membersihkan rumah akibat banjir yang disifatkan sebagai ‘sambutan’ wajib setiap tahun.

Justeru, dia berharap agar ada solusi terbaik bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa banjir terutama pada Monsun Timur Laut nanti.

Sementara itu, Norlida Ghani,60, memaklumkan banyak perabot dan barangan lain rosak selepas rumahnya dimasuki air setinggi satu meter. – KOSMO! ONLINE

Tabika Kemas siap sedia hadapi musim tengkujuh di Terengganu

Kuala Terengganu: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sudah mengeluarkan arahan dan garis panduan kepada kakitangan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata, kelas-kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) antara paling terkesan apabila berlaku banjir.

Menurutnya, dianggarkan antara 100 hingga 125 kelas Tabika Kemas mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir hingga menjejaskan antara 2,500 hingga 3,125 murid pada MTL, tahun lalu.

Katanya, Tabika Kemas yang sering terjejas akibat banjir di Terengganu adalah di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.

"Ia membabitkan kawasan-kawasan pedalaman yang sering dilanda banjir besar hingga ada tabika yang hanya kelihatan bumbung sahaja akibat ditenggelami air.

"Justeru, kita meminta semua guru dan kakitangan Kemas terutama di kawasan berisiko membuat persiapan awal dengan mengalihkan dokumen penting, barangan elektrik dan berharga ke tempat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan BGL Kemas Negeri Terengganu, di Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di sini, hari ini.

Menurutnya, terdapat sebanyak 856 tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 18,000 orang di negeri ini.

"Ada tabika yang mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir dan ia akan dibaiki bagi menjamin pembelajaran kanak-kanak tidak terjejas.

"Justeru, persiapan awal sudah dilakukan bagi mengurangkan impak kerosakan terhadap dokumen dan peralatan yang digunakan dalam sesi pembelajaran," katanya.

Air pasang besar landa Pulau Pinang selama 4 hari

GEORGE TOWN – Fenomena air pasang besar diramal berlaku di negeri ini bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.

Susulan fenomena itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Mohd. Nazri Yasmin berkata, penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama dinasihatkan supaya berwaspada kerana risiko banjir sangat tinggi sekiranya hujan lebat berlaku sewaktu air pasang besar.

Menurut beliau, sekiranya hujan lebat berlaku ketika air pasang besar berserta ribut, air laut akan melimpah ke pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat dan membawa risiko banjir.

“Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang mencecah 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.

“Waktu puncak air pasang besar dari tengah malam hingga awal pagi. Mengikut piawaian JPS Pulau Pinang, jika jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia sangat lebat,” katanya di sini hari ini.

Di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2, JPS Pulau Pinang memasang stesen amaran banjir di kawasan hot spot sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

Mohd. Nazri berkata, terdapat 54 alat siren amaran banjir di seluruh Pulau Pinang dengan 30 dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri, manakala 24 lagi di bawah PRAB oleh kerajaan Pusat.

Sebanyak 19 alat pemantau paras air sungai dipasang di bawah kerajaan negeri dan 30 di bawah PRAB menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 49 alat pemantau. – KOSMO! ONLINE

“Kami hairan air datang dari mana’ – Mangsa banjir

BATU PAHAT: Penduduk di Kampung Talang Bunut di sini hairan rumah mereka kembali ditelenggami banjir meskipun cuaca semakin baik.

Salah seorang mangsa banjir, Marila Ibrahim, 63, berkata dia dan suaminya, Mohamad Ibrahim, 71, menggunakan pam untuk mengeluarkan air namun apabila surut, air naik semula.

Marila bersama suaminya kini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, di sini sejak Ahad lalu selepas rumahnya di Kampung Talang Bunut ditenggelami air.

Katanya, kejadian banjir melanda rumahnya adalah yang kedua selepas awal tahun lalu namun tidak seteruk ketika kediamannya ditenggelami air dalam banjir besar melanda daerah ini, Mac tahun lalu.

Kejadian itu, menurutnya yang menyebabkan dia menanggung kerugian besar kerana kesemua barangan dalam rumah rosak.

“Kami cubalah untuk keluarkan air menggunakan pam, namun air tetap naik. Walaupun air sekitar rumah dah surut selepas dipam, tiba-tiba air naik semula.

“Kami bimbang jika banjir termenung melanda kerana kawasan ini antara yang berisiko dilanda bencana itu.

“Walaupun tidak seteruk banjir besar sebelum ini, setiap kali hujan rumah kami antara yang dinaiki air kerana bersebelahan Sungai Sembrong,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa banjir, Asmah Jalani, 62, dia bersama ibunya, Rugayah Lamon, 85, masih berlindung di PPS memandangkan air tidak menunjukkan perubahan.

Katanya, walaupun cuaca bertambah baik namun paras air di dalam dan luar rumah tidak surut sekali gus menghalang hasrat dua beranak itu pulang ke rumah.

“Kami tidak dibenarkan pulang ke rumah dulu kerana bimbang air naik lagi. Memang cuaca bertambah baik namun mereka (pihak berkuasa) bimbang jika hujan berkemungkinan banjir datang kembali.

“Mujurlah ada adik lelaki, Zuraini, 55, menjaga rumah ketika ini untuk elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagi Faridah Jaslan, 64, dia bersama anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) pertuturan dn pendengaran, Mohd Kharruddin Ibrahim, 40, dipindahkan ke PPS dua hari lalu selepas rumahnya mula dinaiki air.

“Kami dua beranak tawakal apa yang berlaku ketika ini kerana ini ujian Allah. Tadi saya bersama anak pulang untuk menjenguk rumah tapi ada penduduk beritahu, air masih naik.

“Sewaktu banjir besar, saya masih ingat air naik paras dada dengan barang dalam rumah berpusing-pusing disebabkan arus,” katanya dari Kampung Parit Nipah Laut.

Setakat jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir kekal 17 orang yang ditempatkan di PPS membabitkan tiga buah kampung iaitu Kampung Talang Bunut, Olak Batu, Parit Nipah Laut.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search