KUALA TERENGGANU: Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak malam tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 12 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
PPS di Balai Raya Meraga Beris itu dibuka jam 1 petang tadi bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas.
Setakat ini, hujan melanda di kebanyakan kawasan di Terengganu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, selain kawasan Teluk Kalong,keadaan air dilaporkan semakin meningkat naik di kawasan perumahan penduduk di Kijal dan Kemasik.
"Kita sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu bersiap sedia untuk berpindah berikutan trend air yang semakin menaik," katanya.
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 23 November ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan lokaliti terbabit di Kelantan merangkumi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala di Pahang meliputi Jerantut, Kuantan, Pekan serta Rompin.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan, Pahang serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor juga sehingga 23 November ini.
Kawasan yang tersenarai di Kelantan ialah Gua Musang manakala di Pahang, melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.
"Amaran hujan berterusan tahap waspada turut berkuat kuasa bermula 23 sehingga 25 Nov di Sabah membabitkan kawasan seperti Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat," menurut kenyataan itu.
MetMalaysia memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
CHUKAI: Mangsa banjir di daerah Kemaman dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah masing-masing meskipun keadaan cuaca baik setakat tengah hari ini dan banjir mulai surut.
Pegawai Daerah Kemaman Fadli Yusof Zakaria bagaimanapun mengingatkan mereka yang telah berbuat demikian untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Chukai: Polis mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda negeri ini sejak semalam.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, keengganan sesetengah mangsa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) antara kesukaran dihadapi pihak berkuasa ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir.
"Apa yang menjadi kebimbangan pihak penyelamat apabila kemungkinan ada di antara mangsa yang tidak mahu berpindah ke PPS.
"Jadi, saya nasihatkan mangsa banjir mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak berpindah pada saat akhir.
"Kita tidak mahu mereka menghadapi keadaan kritikal dan menyukarkan pihak penyelamat untuk melakukan operasi menyelamat terutama pada waktu malam.
"Segera berpindah jika keadaan air semakin naik dan jangan tunggu arahan pihak berkuasa," katanya ketika membuat tinjauan di pos kawalan bencana di Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, di sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa akan dipindahkan terutama di kawasan sekitar Chukai.
Katanya, lebih 10,000 mangsa akan terjejas sekiranya banjir melanda kawasan Chukai terutama penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kemaman.
"Lebih 80 PPS beroperasi di seluruh Kemaman yang boleh menempatkan seramai 40,000 mangsa banjir.
"Banjir boleh berlaku disebabkan dua kemungkinan iaitu taburan hujan yang banyak dan pertembungan air pasang besar beserta hujan lebat.
"Penduduk khususnya di kawasan berhampiran sungai, hendaklah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan segera berpindah sekiranya mendapati paras air sungai semakin naik.
"Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir bagi mengelak kejadian lemas," katanya.
Seramai 2,545 mangsa daripada 637 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Kemaman dan Marang setakat jam 6 petang tadi.
Manakala banjir yang melanda daerah Hulu Terengganu, Dungun, dan Setiu telah pulih sepenuhnya pada Rabu.
Menerusi laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kemaman terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,532 mangsa, di mana sebanyak lima PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 633 keluarga .
Sementara itu, seramai 13 mangsa daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai, Marang.
Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa kawasan di negeri ini, namun ia menunjukkan trend penurunan.