PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gua Musang yang terbaharu, jadikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir

KOTA BHARU: Gua Musang menjadi jajahan terbaharu banjir menjadikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir pagi ini susulan hujan lebat berterusan.

Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Gua Musang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 yang menempatkan enam mangsa daripada tiga keluarga.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini juga meningkat kepada 33,163 orang daripada 9,986 keluarga sehingga 11.30 pagi ini berbanding 29,022 orang (8,745 keluarga) 8 pagi tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 168 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.

Pesara jadi korban pertama banjir di Terengganu

BESUT: Seorang pesara Jabatan Veterinar menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas ditemui lemas di Kampung Amer, di sini.

Mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hasan, 66, dikatakan pergi ke kawasan sawah padi untuk memukat ikan, sebelum lemas dibawa arus banjir. Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

Menurut anak mangsa, Tuan Maizan Nasuha Tuan Jusoh, ayahnya pergi ke lokasi berkenaan bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki bot.

Dia hanya mengetahui insiden yang menimpa bapanya sekitar jam 9.15 pagi.

“Dalam 8.15 pagi dia turun Bersama empat rakan dengan naik bot. Bila sampai tempat dituju, dia turun nak pacak kayu untuk jala ikan. Dia turun sorang namun tak timbul timbul. Rakan lain yang berada di dalam bot memaklumkan kejadian kepada orang kampung dan mereka menelefon bomba untuk bantuan.” Ujarnya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, sejurus menerima panggilan kira-kira jam 9.08, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikesan sekitar jarak 5 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas kira-kira satu jam pencarian dilakukan.

“Jarak jumpa berhampiran dengan mangsa dipercayai 5 meter dia berada di dalam air aktiviti jala ikan dan mayat dijumpai di dasar sungai.” Katanya.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terkini banjir: Jumlah mangsa dipindahkan meningkat ke 41,565, Kelantan paling ramai

PUTRAJAYA: Seramai 41,565 mangsa banjir membabitkan 12,694 keluarga kini ditempatkan di 369 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan merekodkan jumlah paling ramai dengan 34,385 mangsa di 10 daerah.

Jumlah itu membabitkan 10,382 keluarga yang berlindung di 175 PPS setakat ini.

Terengganu pula mencatatkan seramai 6,485 mangsa daripada 2,043 keluarga di 177 PPS, diikuti Kedah dengan 452 mangsa di tiga PPS, Perlis (195 mangsa, tiga PPS), Johor (28 mangsa, satu PPS) dan Perak (20 mangsa, satu PPS).

Statistik JKM juga menunjukkan, lelaki dewasa yang dipindahkan adalah seramai 13,564 orang, wanita (14,723), kanak-kanak lelaki (6,198), kanak-kanak perempuan (5,958), bayi lelaki (595) dan bayi perempuan (527).

 

TPM lawat mangsa banjir di Kelantan, esok

KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat mangsa banjir di Kelantan, esok.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan turun ke Kelantan sebaik selesai Mesyuarat Kabinet.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menerusi Facebook turut memaklumkan Timbalan Perdana Menteri ada menghubunginya bagi bertanyakan perkembangan banjir di Kelantan.

Katanya, Ahmad Zahid turut meminta beliau memaklumkan sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

"Sewaktu misi bantuan, saya menerima panggilan telefon daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bertanya khabar terhadap situasi semasa banjir di Kelantan.

"Perbualan yang agak terhad kerana talian perkhidmatan yang kurang jelas di sekitar sempadan. Insya-Allah TPM sedia turun ke Kelantan nanti untuk misi bantuan.

"Terima kasih di atas kecaknaan semua pihak terhadap Kelantan," katanya.

PM gesa beri keutamaan tertinggi kepada mangsa banjir 6 negeri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memberikan keutamaan tertinggi kepada mangsa banjir dan penduduk di kawasan terjejas.

Ujarnya, perkara itu susulan enam negeri terkesan ketika ini iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.

“Setakat jam 9.32 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 mangsa membabitkan 11,385 keluarga di enam negeri.

“Sebanyak 322 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di keenam-enam negeri setakat ini.

“Kelantan merekodkan mangsa banjir tertinggi membabitkan 30,582 orang (9,223 keluarga), 157 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan.” Katanya.

Datuk Seri Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah memperkemaskan penyelarasan bagi situasi itu.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat sebelum memulakan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search