PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Situasi banjir terus beransur pulih

KUALA LUMPUR: Situasi banjir terus beransur pulih dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,600 orang daripada 2,349 keluarga berlindung di 20 PPS setakat lapan malam ini berbanding 12,736 orang petang tadi.
 
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Tumpat dengan 7,052 mangsa daripada 2,188 keluarga diikuti Pasir Mas 526 mangsa (154 keluarga) manakala di Kuala Krai 22 mangsa daripada tujuh keluarga.
 
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan hanya Sungai Golok di Tumpat melepasi paras bahaya namun mencatatkan penurunan iaitu 3.20 meter (bahaya 3.0 meter) berbanding 3.24 meter petang tadi.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 2,131 orang daripada 642 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,861 orang daripada 850 keluarga, petang tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kota Setar dan Kubang Pasu itu ditempatkan di 14 PPS.
"Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,794 orang daripada 544 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS manakala di Kubang Pasu, seramai 337 orang daripada 98 keluarga di tiga PPS," katanya.
 
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turut berkurangan kepada 13 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran setakat 8 malam ini, berbanding 15 orang petang tadi, menurut aplikasi Info Bencana JKM.
Semakan di infobanjir.water.gov.my JPS pula menunjukkan bacaan paras air sungai utama di seluruh negeri itu berada pada paras normal.
 
JOHOR turut mencatatkan penurunan jumlah penduduk berlindung di PPS iaitu 620 orang daripada 178 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 811 orang petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Segamat telah ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, menjadikan keseluruhan 16 PPS masih aktif di tiga daerah terjejas.
"Sebanyak 32 orang daripada 10 keluarga berteduh di sebuah PPS di Batu Pahat, 412 mangsa daripada 120 keluarga di Segamat ditempatkan di 13 PPS, sementara di Tangkak pula kekal 176 mangsa daripada 48 keluarga berlindung di dua PPS," katanya dalam kenyataan.
 
Beliau berkata hanya satu sungai di Segamat dilaporkan masih melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam dengan bacaan 4.70 meter manakala keadaan cuaca di lapan daerah di Johor dijangka cerah, selain Muar dan Batu Pahat diramalkan mendung malam ini.
Selain itu, beliau berkata dua jalan di Segamat masih ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat banjir iaitu Jalan Kuala Paya-Balai Badang dan Jalan Tumang, sementara Jalan Serakek di daerah sama hanya dibuka kepada kenderaan berat.
 
Di PERAK, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri ini kekal 129 orang daripada 43 keluarga di tiga PPS yang masih beroperasi di dua daerah setakat 8 malam ini.
Menurut sekretariat itu, 95 mangsa daripada 32 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah Kinta, selain 34 mangsa daripada 11 keluarga turut berlindung di sebuah PPS di daerah Perak Tengah, yang masing-masing dibuka sejak Isnin lepas.
Kesemua mangsa banjir di Kinta melibatkan penduduk Kampung Tanjung Tin, Kampung Pasir dan Kampung Sikh berdekatan Tanjung Tualang manakala di Perak Tengah melibatkan penduduk Kampung Pulau Misa.
 
Mangsa banjir di MELAKA pula kekal 134 mangsa daripada 34 keluarga di daerah Jasin setakat 8 malam ini, menurut Sekretariat JPBN Melaka dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu 103 mangsa daripada 25 keluarga di PPS SK Parit Penghulu manakala 31 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat.
 
-- BERNAMA

Sukarelawan Skuad Ihsan MADANI KPDN digerakkan ke negeri terjejas banjir

AYER KEROH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan kira-kira 300 penguat kuasa sebagai sukarelawan Skuad Ihsan MADANI KPDN ke negeri terjejas banjir, khususnya di Pantai Timur, bermula semalam.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan skuad itu sebagai menyahut seruan kerajaan bagi mempergiatkan pembabitan penjawat awam sebagai sukarelawan banjir.

Beliau berkata, penugasan sukarelawan berkenaan bukan hanya untuk memberi sumbangan kepada mangsa, malah akan membantu kerja-kerja pascabanjir, termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mereka terdiri daripada 238 penguat kuasa yang menamatkan latihan, baru-baru ini, selain wakil daripada bahagian di KPDN dan negeri.

“Penugasan mereka adalah mengikut jadual yang akan diselaraskan Pejabat Ketua Setiausaha Negara mengikut kementerian. Sebagai permulaan, skuad ini digerakkan ke Kelantan, hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Zon Selatan 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Armizan berkata, semua sukarelawan terbabit akan berada di negeri berkenaan hingga Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berakhir pada Mac depan.

Banjir di Terengganu pulih, semua PPS ditutup

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu pulih sepenuhnya apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terakhir menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga di Setiu, ditutup jam 9 malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) lima mangsa berkenaan yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rhu Sepuluh, Setiu, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sebelum ini mereka terjejas akibat banjir termenung.

Hujan lebat berterusan dijangka bermula Ahad ini

SHAH ALAM - Luruan monsun dijangka berlaku bermula Ahad sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu dijangka turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.

Ujarnya, luruan monsun juga akan menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.

“MetMalaysia sentiasa pantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam seminggu bermula 8 Disember. Susulan itu, kita telah keluarkan amaran sehingga 11 Disember dan akan dikemas kini berdasarkan maklumat terkini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan tujuh negeri sehingga 11 Disember, yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.

“Bagi Kedah meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling. Perak di Hulu Perak selain Pahang di kawasan Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Sementara di Johor melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi bermula 9 Disember,” katanya.

Tambahnya, negara mengguna pakai beberapa model ramalan cuaca sebelum memuktamadkan ramalan untuk hebahan umum.

“Disebabkan itu, orang ramai diminta merujuk kepada maklumat daripada MetMalaysia sama ada di laman web, aplikasi myCuaca atau media sosial rasmi untuk dapatkan maklumat terkini dan sahih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran di media sosial yang mendakwa akan berlaku hujan lebat sepanjang 10 hari akan datang sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia.

 

Anda semua hero mangsa banjir!

DI SEBALIK tragedi banjir yang berlaku baru-baru ini, dapat dilihat kebangkitan luar biasa rakyat Malaysia pelbagai latar belakang apabila tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Pada Rabu, akhbar ini melaporkan, kerajaan menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

 

Inisiatif itu selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar syarikat swasta berganding bahu membantu mangsa banjir sama ada dari segi dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.

Kata Perdana Menteri, sumbangan itu akan digunakan untuk membaiki bangunan sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) selain menampung bantuan makanan dan minuman mangsa banjir.

Kerajaan juga tidak bersendirian dalam menghadapi isu bencana ini kerana ramai rakyat negara ini turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Menjengah media sosial mahu pun siaran langsung di TikTok, dapat dilihat ramai rakyat negara ini termasuk sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pempengaruh media sosial dan pengasas kosmetik bertungkus-lumus menyediakan bantuan kepada mangsa banjir di PPS atau yang terkandas di rumah.

Mereka bukan hanya menyumbang wang ringgit dan barangan keperluan, malah turut bergotong-royong memasak pelbagai menu untuk diagihkan kepada mangsa banjir, selain ada yang sanggup meredah arus deras banjir.

Paling mencuri tumpuan ialah pusat pengumpulan bantuan mangsa banjir yang dikelolakan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman dan rakan-rakannya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Khairul Aming atau KA membuka pusat operasi itu di Luxury Garden, Jalan Tanjung Chat, Kota Bharu dengan beberapa jawatankuasa yang dibentuk bagi membolehkan urusan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir lancar dan teratur.

Inisiatif anak muda dari Kelantan itu juga mendapat sokongan daripada ratusan sukarelawan digelar sebagai bantuan orang baik (BOB) yang datang silih berganti setiap hari menyumbangkan tenaga bagi menyusun, mengangkat dan mengasingkan bantuan yang diberikan orang ramai sejak pusat operasi itu dibuka 1 Disember lalu.

Sepanjang siaran langsung TikTok Khairulaming, boleh dilihat tidak putus-putus bantuan tiba di pusat berkenaan yang dihantar oleh orang ramai bukan sahaja penduduk dari, Kelantan malah ada yang datang dari luar negeri ini semata-mata mahu menyumbang melibatkan pelbagai barangan keperluan, makanan, ubat-ubatan termasuklah makanan kucing.

Melihatkan keadaan ini, penulis sangat kagum dengan sikap prihatin, kerjasama dan tolong-menolong yang ditunjukkan orang ramai terutama anak-anak muda menyumbangkan bantuan dan tenaga mereka sepanjang pusat itu dibuka. Inilah sikap yang perlu kita kekalkan bagi membina generasi yang terbilang pada masa akan datang.

Tidak dinafikan rakyat negara kita sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang mudah membantu apabila berlaku sebarang bencana, malah amalan tolong-menolong ini sudah menjadi amalan kita sejak zaman-berzaman.

Namun dalam keprihatinan orang-orang baik yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan, timbul pula cerita kurang enak didengar apabila mendakwa terdapat pihak di PPS mengasingkan barangan bantuan dan melakukan agihan secara tidak adil. Walaupun hanya salah faham, penulis berharap isu ini tidak timbul lagi.

Paling penting jangan politikkan agihan bantuan kepada mangsa banjir. Agihlah bantuan kepada yang selayaknya kerana inilah masa terbaik untuk kita semua saling membantu mangsa banjir.

Jangan kerana sikap tidak bertanggungjawab ini kita abaikan segala penat lelah orang-orang baik yang sentiasa tidak jemu menghulurkan tangan mereka membantu mangsa banjir. Terima kasih rakyat Malaysia yang baik, anda semua hero mangsa banjir!

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search