PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mahasiswa UTeM ketuai projek pemulihan infrastruktur pasca banjir di Terengganu

MELAKA – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengetuai sekumpulan 60 orang mahasiswa dari pelbagai universiti dalam menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun di Kampung Tok Saboh, Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23, berkata, program ini merupakan inisiatif UTeM bagi menggerakkan semangat kesukarelawanan mahasiswa-mahasiswa pelbagai universiti untuk menjayakan projek khidmat komuniti ini.

Katanya, beliau terpanggil untuk mengetuai misi ini kerana menyelami realiti kegetiran dan kesukaran yang dihadapi penduduk di sana yang tentunya mengharapkan bantuan segera usaha membaik pulih prasarana yang masih terjejas akibat bencana sebelum ini.

Antara aktiviti bantuan pemulihan yang dilaksanakan pemasangan lampu solar, penambahbaikan infrastruktur balai raya dan menyediakan khidmat kesihatan melalui klinik bergerak.

“Pada masa yang sama kami turut mengambil peluang ini dengan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak dan penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.

“Kami beruntung kerana majoriti sukarelawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada mahasiswa dari universiti di bawah rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“Justeru, agak mudah untuk kami mengaplikasikan kemahiran teknikal secara sistematik dan berfokus bagi melancarkan perjalanan operasi usaha pemulihan infrastruktur ini dengan jayanya,” katanya.

Mengulas lanjut, penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik itu berkata, projek ini bukan sekadar inisiatif sukarelawan biasa, tetapi ia mendapat dokongan penyelidikan di bawah geran yang diketuai oleh Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

“Program ini bersifat praktikal dan berpandukan kajian yang dijalankan, bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan benar-benar menepati keperluan serta kehendak masyarakat setempat dan menjadi platform bagi mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar,” katanya.

Dr Massila berkata, UTeM sentiasa ke hadapan dalam memperkasakan mahasiswanya untuk lebih holistik dan mampan bukan hanya dalam bidang akademik malahan turut memberikan kesan langsung kepada masyarakat.

Inisiatif sebegini adalah selari dan seiring dengan salah satu daripada fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2025 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang menyentuh kepada kemenjadian mahasiswa.

Bukan itu sahaja, uniknya projek sebegini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat, malah turut memperkukuhkan konsep Mahasiswa Madani,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Seorang hilang, ratusan dipindahkan akibat banjir di Bogor, Jawa Barat

JAKARTA, 3 Mac: Hujan lebat sejak malam Ahad menyebabkan Sungai Cimanceuri melimpah, mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan di Bogor, Jawa Barat.

Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Barat melaporkan ratusan rumah ditenggelami air, manakala seorang penduduk masih hilang.

Antara kawasan terjejas ialah Rumpin, Bojong Gede, dan Cisarua. Di Kampung Sukasari, Rumpin, sebuah rumah dan sebuah sekolah turut dinaiki air.

Di Kampung Rawapanjang, 137 rumah terjejas menyebabkan 547 penduduk terpaksa dipindahkan.

Sementara itu, di Kampung Tugu Selatan, 119 rumah ditenggelami air dan memaksa 423 penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata, seorang lelaki dikenali sebagai Asep Mulyana, 59, dihanyutkan arus selepas Sungai Cisaru melimpah, menyebabkan kawasan itu ditenggelami air sehingga paras lutut.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini dengan pasukan BPBD, pihak berkuasa tempatan serta sukarelawan dikerah ke lokasi kejadian. -TVS

 

76 hektar hutan terbakar di Kuantan

KUANTAN – Kira-kira 76 hektar kawasan ladang sawit di sekitar Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng di sini musnah dalam kejadian kebakaran hutan sejak sembilan hari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata sehingga kini kira-kira 67 hektar kawasan yang terbakar telah berjaya dipadamkan.

“Baki kira-kira 8.9 hektar masih terbakar dan api mula merebak semula semalam akibat tiupan angin kuat dengan pemadaman masih dalam operasi dengan bantuan pelbagai agensi.

“Kekuatan anggota bomba yang terlibat dalam pemadaman ialah seramai 73 orang iaitu 16 daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan selebihnya bantuan daripada balai luar,”katanya

Menurutnya operasi pemadaman dipecahkan kepada tujuh sektor bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain dengan setiap sektor mempunyai 10 anggota bomba.

Katanya operasi pemadaman turut menggunakan ‘water bombing’ melibatkan satu unit pesawat dengan kekuatan 11 orang kru.

“Selain itu bantuan pam dari Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan ‘total flooding’ di kawasan yang terbakar dan bantuan satu unit jengkaut dari Jabatan Kerja Raya bagi tujuan ‘fire break’ dan akses laluan pemadaman,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Review eKasih criteria for helping disaster victims, Upko leader urges Putrajaya

KOTA KINABALU: The government has been urged to revise eKasih aid criteria so that disaster victims, such as those affected by fires and floods, receive proper assistance.

Upko Women's chief Mohina Ronnie Sidom said those who lost their homes in disasters struggled to get aid because they were not registered under eKasih, a programme to assist low-income households.

"I have received complaints from people facing difficulties obtaining aid simply because they are not listed in eKasih," she said in a statement on Monday (March 23).

According to records, as of February, 72,058 heads of household in Sabah were classified as poor or hardcore poor under eKasih.

 

Mohina, who is also Kinabatangan Upko division chief, said a review of the programme’s criteria was needed to ensure that those in genuine need are not excluded.

"When disasters like fires happen, some victims do not receive assistance, including aid for rebuilding or repairing their homes.

"This is because they are not in the eKasih database," she said.

She also called for transparency in implementing the Sabah Maju Jaya (SMJ) People's Friendly Housing Programme, launched this year across all 73 state constituencies, to ensure that those struggling but not listed in eKasih receive support.

"I believe there are many more people in difficult situations owing to disasters, but they are overlooked because they are not in eKasih," she added.

Mohina said addressing the issue needed collaboration between grassroots leaders and government agencies to ensure aid reaches those who need it.

 

Salah manusia, gajah dan harimau keluar hutan

HAMPIR setiap hari kita mendengar mengenai konflik antara haiwan liar dan manusia seperti pencerobohan gajah, harimau dan beruang ke kawasan kampung serta kemusnahan tanaman yang disebabkan haiwan liar itu.

Pencerobohan ini semakin menjadi-jadi selain kejadian manusia diserang haiwan liar sehingga ada yang menemui ajal, sekali gus menimbulkan keresahan kepada semua. Kampung-kampung dan jalan raya kini bagaikan sudah dikongsi bersama haiwan liar seperti gajah yang dilihat tidak lagi memperdulikan manusia.

Selain itu, isu yang telah lama diperkatakan iaitu ‘climate change’ atau perubahan iklim turut meresahkan masyarakat kini terdedah kepada pelbagai bencana alam termasuk banjir.

Kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa juga boleh berlaku akibat daripada isu ini malah ada kampung-kampung yang lenyap akibat kenaikan paras air.

Kenapa dan mengapa serta salah siapa keadaan ini berlaku?

Bagi mengupas isu ini Wartawan Kosmo! Ahad, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemu bual Pengarah Institute of Planetary Survival For Sustainable Well-Being Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Planet IIUM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Lokman Md. Isa di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

PlanetIIUM yang juga memiliki Frozen Zoo atau Zoo DNA pertama di Asia Tenggara mempunyai kepakaran dalam isu planetary health atau kesihatan planet dengan mempunyai tujuh pusat penyelidikan melibatkan pelbagai penyelidikan berkait kesihatan planet.

PlanetIIUM yang ditubuhkan pada 2021 bertujuan menangani atau mencari solusi masalah-masalah kesihatan planet. Ia ditubuhkan selepas wujud Frozen Zoo yang mengumpulkan pelbagai sel hidup, tisu dan genetik haiwan yang pupus dan diambang kepupusan dan haiwan yang masih ada.

KOSMO! AHAD: Konflik antara haiwan dan manusia dilihat semakin menjadi-jadi, kalau dilihat di Pahang sahaja hampir setiap hari ada kes pencerobohan haiwan liar khususnya gajah di kawasan kampung dan kawasan pertanian. Apa pandangan Prof.?

MUHAMMAD LOKMAN: Apabila bercerita mengenai konflik gajah ini, kita kena tahu secara aslinya apa yang ia makan?
Gajah makan tebu, benda yang beruas-ruas ini dalam hutan tetapi lama-kelamaan apabila manusia melakukan ‘defo­res­tation’ dengan menebang pokok, haiwan itu sudah tiada sumber makanan dan generasi haiwan itu kini tidak tahu apa sebenar­nya makanan asalnya. Disebabkan makanan seperti tebu sudah tiada, anak gajah akan mengikut ibunya memakan sawit. Ini yang dikata berlaku pencerobohan.
Ia (gajah) tidak tahu asalnya kena makan benda-benda lain. Benda yang sepatutnya dimakan dalam hutan memang tersedia di situ sebelum ini.
Tetapi manusia juga yang buat, ‘cerahkan’ hutan tersebut, jadi sudah tidak ada makanan. Haiwan-haiwan ini tiada pilihan dan memakan pokok sawit yang ditanam beratus hektar.
Keadaan ini seolah-olah memberi gambaran gajah telah me­nukar ‘menu’, sedangkan bukan salah haiwan tersebut, makanan asal telah tiada di situ. Lepas itu kita salahkan haiwan-haiwan ini memusnahkan tanaman yang diusahakan manusia.

Kenapa perkara ini boleh berlaku dan menjadi ancaman kepada manusia?
Kebanyakan mereka yang mengusahakan tanaman sawit adalah untuk kepentingan sendiri dengan mengabaikan kepentingan alam sekitar, biodiversiti dan juga ha­bitat haiwan menyebabkan hutan menjadi semakin kecil, makanan pun sukar diperoleh.
Apabila haiwan liar seperti gajah sampai ke kampung, ia akan nampak tanaman seperti pisang penduduk sebagai punca makanan.
Jadi apabila ada orang mengganggu dan cuba menghalaunya, ia pasti akan mengamuk kerana itu tabiat semula jadi haiwan itu. Ini berlainan kalau dalam hutan, tiada siapa pun mahu mengacau haiwan tersebut.
Apabila orang kampung terkejut dengan kehadiran gajah-gajah itu, ini yang menyebabkan ia terasa terancam dan di sinilah kita selalu dengar haiwan itu mengamuk. Gajah-gajah itu bertindak demikian kerana berasakan keberadaannya di situ terancam.
Contohnya apabila melalui jalan raya di Gerik, Perak dan ternampak kelibat gajah di tepi jalan, haiwan itu tidak akan me­ngancam nyawa manusia bila kita berdiam diri. Kalau kita membunyikan hon atau buat sesuatu, masa itulah ia mengejar kita.

Apa penyelesaian terbaik dalam isu ini?
Sebenarnya kita yang diberikan akal kena fikirkan satu jalan penyelesaian yang rasional.
Saya rasa kaedah yang dilakukan oleh Sabah Wildlife di bawah badan bukan kerajaan (NGO) Borneo Rhino Alliance (Bora) amat berkesan bagi mengelakkan berlaku pertembungan antara manusia dan haiwan terus wujud.
Mereka mewujudkan zon neutral antara kawasan penanaman kelapa sawit, zon yang bukan milik sesiapa yang dibiarkan meliar.
Berhampiran kawasan itu selalunya tumbuh pokok hutan sekunder, yang tidak sesuai bagi makanan gajah dan spesies haiwan lain.
Pihak Bora telah membersihkan pokok-pokok tersebut dan menukarkan dengan tanaman yang sesuai untuk gajah dan ­spesies yang ada di sana sebagai sumber makanan.
Mereka cuba mengubah balik ‘menu’ yang asal itu, seolah-olah ‘memberitahu’ gajah supaya tidak memakan kelapa sawit, sebaliknya memakan apa yang sesuai dengan fitrahnya.
Bora turut mengkaji pokok lain yang sesuai dan sebenarnya pokok paling sesuai adalah spesies ara, daripada yang menjalar sampai kepada yang berkayu.

Sejauh mana keberkesa­nan penyelesaian ini?
Dari situlah, pihak NGO ber­kenaan cuba kumpulkan pokok daripada pelbagai spesies dan menanam balik di kawasan tersebut supaya binatang liar boleh mendapat balik ‘kehidupan’ seperti sebelum ini.
Pada masa sama, kita boleh hidup secara bersama dan saling menghormati antara satu de­ngan yang lain. Maksudnya ia (binatang liar) sudah tidak akan masuk ke kawasan kelapa sawit, tetapi akan menuju ke kawasan yang kita ‘buat balik’ itu atau ‘re­forest’.

Jadi sebenarnya perkara-perkara ini kita kena buat, fikir supaya boleh mengembalikan keseimbangan biodiversiti manusia dan alam sekitar.
Ekosistem perlu distabilkan semula, kalau tidak kita akan menghasilkan ketidakpastian. Jika biodiversiti terancam, kehidupan manusia pun tidak akan stabil kerana sentiasa ada ancaman dan sebagainya.
Sebenarnya selama ini kita sendiri yang masuk ke kawasan haiwan liar. Persoalannya untuk apa?
Satu untuk kepentingan kehidupan. Kalau sekadar kepen­tingan kehidupan itu okey, tetapi bila masuk elemen ekonomi untuk hidup lebih bagus dan mendapat keuntungan seperti menjadi kaya itu menyebabkan kita jadi rakus. Akhir sekali, apabila jadi isu se­perti pencerobohan harimau, gajah dan sebagainya dalam kawasan penempatan, masa itu barulah sibuk nak buat macam-macam.

Konflik telah terjadi, apa yang harus dilakukan?
Mungkin salah nenek mo­yang kita dahulu, tetapi kita tidak boleh mengulangi ke­salahan tersebut.
Jadi sekarang, sama ada kita baiki perkara yang sudah berlaku atau pun kalau hendak buat benda baharu kena berfikir secara holistik supaya bukan sekadar manusia, malah alam sekitar dan biodiversiti terjaga.

Adakah haiwan liar pada masa ini semakin ganas kerana banyak kes serangan sehingga ada kehilangan nyawa?
Haiwan liar sebenarnya hendak mencari makan sebab makanan tidak mencukupi disebabkan habitat terancam. Sebab itu haiwan-haiwan ini masuk ke kawasan kampung.

Dalam isu konflik haiwan dan manusia pada pandangan Prof. siapa yang bersalah?
Manusia diberikan akal, malahan dalam al-Quran pun mengatakan kita sebaik-baik ciptaan, ada akal itu yang menyebabkan kita ada keupayaan untuk membina, menghasil benda baharu dan membuat keputusan.
Jadi, apabila kita sendiri tidak mematuhi hukum alam, buat ikut suka, lakukan untuk kepen­tingan dari segi ekonomi, hendak kaya cepat, maka kita sebenar­nya yang bersalah.
Kita tahu perkara itu, tetapi buat seolah-olah tidak tahu, kita tidak ambil tahu, kita buat sesuka hati untuk mengaut keuntu­ngan. Akhir sekali apabila ada isu, kita salahkan binatang.
Kita kata binatang itu yang mengganas, mengganggu ketenteraman penduduk.
Sebab itu bila kata siapa salah, sebenarnya pada saya manusia itu sendiri yang membuat keputusan tidak matang, terburu-buru dan mementingkan diri sendiri.
Akhirnya, kita semua yang hidup dalam satu komuniti terkesan dengan apa yang berlaku.

Apa peringatan atau saranan Prof. dalam isu ini?
Kalau kita buat sesuatu de­ngan penuh perancangan, melihat secara holistik, katalah kita hendak tebus guna kawasan itu, pastikan ada kawasan rizab untuk binatang atau mungkin kalau binatang mamalia besar ada, kita pindahkan ke satu kawasan lain yang lebih kondusif, lebih sempurna untuknya, kita boleh buat sesuatu.
Ia memerlukan satu pelan yang sangat kreatif dan berintegriti. Haiwan itu sendiri tidak boleh hendak ‘kata apa-apa’ pun keputusan yang kita buat.
Kalau kita hendak A, B atau C haiwan tidak boleh ‘kata apa’, tetapi kesannya apabila ia datang serang, kita pulak akan jadi terlebih ‘alert’ dan terus hendak membunuhnya dengan alasan mengancam kehidupan kita.
Itu sebab kalau kita hendak buat keputusan, perlu menyeluruh. Kita perlu mengambil tahu keputusan serta solusi dibuat itu sesuatu yang sekurang-kurang­nya boleh menghasilkan satu situasi yang stabil.

Bolehkah kita hanya biarkan haiwan-haiwan itu mati dan pupus demi kelangsungan kehidupan manusia?
Kalau kita kata boleh buat macam itu, maksudnya kita hidup macam cerita Star Wars. Hidup di atas kapal, ada tangki udara contohnya, adakah kita mahu hidup seperti itu?
Jika harimau pupus, harimau sepatutnya makan apa. Ia mungkin makan lembu liar atau pelanduk dan sebagai­nya. Apabila harimau sudah tidak ada, spesies seperti lembu dan pelanduk menjadi banyak.
Ini akan menjadikan alam tidak stabil kerana menda­tangkan masalah macam pokok-pokok akan hilang, sebab haiwan ini terlampau banyak. Jadi sistem yang cantik yang Allah sudah buat itu akan terkesan. Apabila sistem itu terkesan, kita sendiri sebagai manusia akan turut mene­rima tempiasnya.

Isu ‘climate change’ atau perubahan iklim telah lama diperkatakan, apakah pandangan Prof.?
Perubahan iklim ini juga hasil daripada ‘tangan-ta­ngan’ manusia, macam kita ambil contoh dari segi pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan.
Apabila suhu meningkat akan berlaku pemanasan dan ais akan mencair, maka banyak kawasan akan tenggelam dan akan berlaku banjir dan sebagainya. Benda dalam dunia ini macam ‘sequence’ dia tidak hilang, air itu diserap jadi hujan dan hujan akan turun balik.

Peningkatan suhu disebabkan aktiviti kita. Dalam revolusi industri, kita hasilkan udara yang mencemarkan karbon dioksida dan karbon monoksida menyebabkan kesan rumah hijau.
Jadi udara itu meningkat dan terperangkap akhirnya mencairkan ais dan semua orang akan terasa kesannya.

Apa pengakhiran kalau perubahan iklim berterusan tidak dapat dikawal?
Kalau perkara ini tidak diben­dung, ia boleh membawa kepada peningkatan suhu, mungkin ada banyak kawasan di pesisiran pantai akan hilang.

Kita nampak macam di kawasan Setiu, Terengganu, banyak kampung yang sudah tidak ada sekarang. Kampung-kampung itu sudah hilang sebab aras laut meningkat, jadi orang terpaksa berpindah.
Selepas itu, kawasan yang sangat tercemar mungkin sesetengah sungai tidak boleh digunakan lagi. Di dalamnya tidak ada hidupan, ikan pun tidak ada.

Kita boleh nampak airnya, tetapi tidak boleh ambil, sepatutnya sungai boleh digunakan sumber air.
Kalau kita menebang pokok pula, berlaku tanah runtuh atau pun kepala air. Dahulu jarang berlaku, tidak seperti sekarang, sekejap kita dengar kepala air berlaku di Sik, Kedah sebelum ini.
Selain itu, apabila dibuat aktiviti ‘deforestration’ menyebabkan sistem berubah dan berlaku banjir di tempat yang sebelum ini tidak biasa berlaku bencana sedemikian.
Lagi satu hujan asid disebabkan oleh keadaan alam sekitar dan udara tidak stabil, banyak gas-gas yang dihasilkan. Apabila membentuk hujan, gas itu terlarut sekali dalam air hujan, maka berlaku hujan asid yang memberi kesan kepada ke­sihatan manusia.

Bagaimana cara mahu me­ngatasi kedua-dua isu ini?
Sekarang kita sedang mempopularkan ‘planetary health’ atau kesihatan planet. Semua orang di dunia ini menceritakan perkara sama. Bagaimana terbentuk ‘planetary health’ ini. Mula-mula melalui istilah ‘public health’, kita bincang tentang penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Kemudian muncul penyakit daripada haiwan, selepas itu berlaku bencana alam gempa bumi, tsunami, banjir. Elemen ini yang kita namakan ‘planetary health’.

Jadi, kita integrasikan manusia dengan alam sekitar dan juga haiwan dalam hal ini. Kita perlu mengenal pasti masalah berkaitan ekosistem ini dan mencari solusi. Itu yang Planet IIUM cuba mendapatkan solusinya.
Kita tidak mahu tahu berkenaan masalah, sebab masalah itu sudah berlaku, tetapi apa kita inginkan adalah penyelesaian, apa yang perlu masyarakat buat.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search