PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Uncle Kentang luah kebimbangan usia lanjut, sediakan ambulans bantu mangsa dan haiwan. 'Lihat kereta melebur, peralatan cair...'

SYAWAL kedua yang sepatutnya disambut dengan penuh keceriaan bertukar menjadi detik hitam buat sekumpulan petugas penyelamat apabila letupan paip bocor mencetuskan kebakaran besar.

Api marak, bahang membakar, dan suasana kelam-kabut menyelubungi kawasan penduduk Putra Heights. Namun, di tengah kekacauan itu, lahirlah wira-wira tidak didendang yang bertarung nyawa demi menyelamatkan insan lain.

Menerusi perkongsian di Facebook, Chee Heng Kuan mengakui rasa bimbang menyelubungi dirinya, lebih-lebih lagi mengenangkan usianya yang sudah lanjut serta keselamatan pasukannya yang terdedah kepada risiko letupan.

Menurut Heng Kuan yang juga ketua pasukan ambulans di lokasi, melihat sendiri situasi genting yang berlaku benar-benar menguji ketahanan diri.

Namun, isyarat ‘thumbs up’ daripada anggota bomba yang juga sifunya menjadi pembakar semangat untuk terus bertahan di lokasi kejadian.

"Sebagai ketua pasukan ambulans, saya risau. Saya ini sudah tua. Banyak perkara bermain di fikiran saya.

 "Tapi saya nampak cikgu bomba saya. Dia berikan isyarat 'thumbs up'. Seperti sihir, tiba-tiba saya jadi lebih berani. Sebab sifu saya ada di medan. Tiada kata-kata, hanya isyarat tangan. Dan itu sudah cukup untuk menaikkan semangat saya," tulisnya.

Demi mengharungi suasana yang ibarat neraka dunia, seorang pegawai bomba berpangkat tinggi tetapi bertubuh kecil dilihat bergerak lincah di celah deretan rumah yang terbakar, gigih mencari dan menyelamatkan penduduk terjejas.

"Seorang pegawai berpangkat tinggi yang bertubuh kecil tetapi bergerak pantas di antara deretan rumah yang terbakar.

"Api sangat nyata dan sangat dekat. Kami dapat rasa bahangnya. Pegawai muda dan kecil itu mengarahkan anak buahnya memakai baju api dan membawa BA (breathing apparatus) kalau-kalau diperlukan," katanya.

Bagi pasukan yang dikendalikan Heng Kuan, bukan sahaja nyawa manusia menjadi keutamaan, malah haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing turut diberi perlindungan daripada ketakutan dan bahang api yang menjulang tinggi.

Keadaan digambarkan begitu genting apabila kereta melebur, alat permainan kanak-kanak di taman cair, dan pokok-pokok rentung akibat bahang yang membakar.

Dalam situasi mencemaskan itu, operasi evakuasi menjadi semakin mencabar dengan ambulans yang penuh sesak.

"Di mana-mana kami melihat kereta melebur, malah peralatan taman permainan turut cair. Pokok-pokok hangus terbakar.

"Kami berada di sana untuk mengevakuasi 35 penduduk, termasuk enam kanak-kanak. Banyak haiwan peliharaan, terutamanya anjing.

"Ambulans kami penuh sesak. Satu ambulans khas digunakan untuk membawa anjing dan kucing. Ambulans lain bimbang terkena isu ‘samak’ nanti atau ada pihak yang tidak senang dengan ambulans membawa haiwan," luahnya lagi.

Semestinya, mangsa yang terjejas paling merasai derita pada Syawal kedua tatkala ada yang muncul berkaki ayam, mata merah menahan tangisan, mengenangkan nasib yang berubah sekelip mata, meranapkan kegembiraan yang sepatutnya dirai.

Namun begitu, Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang meluahkan rasa syukur kerana tiada nyawa terkorban dalam tragedi memilukan itu.

 

 

Mat Sabu akan lawat mangsa kebakaran saluran paip esok, kata pembantu

PETALING JAYA: 

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu akan melawat mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, esok.

Beberapa penduduk ditemui FMT meluahkan rasa tidak puas hati kerana Mohamad tidak hadir semalam untuk melihat kejadian kebakaran itu yang mengakibatkan 111 orang cedera – 13 dalam keadaan kritikal – dan memusnahkan 87 rumah.

Putra Heights terletak dalam kawasan Parlimen Kota Raja yang diwakili Mohamad sejak 2018.

Pembantunya Mohamad, Adeysham Nor ketika dihubungi FMT memberitahu bahawa Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, telah menghabiskan hari pertama Aidilfitri pada 31 Mac di Kota Raja dan berada di Pulau Pinang sepanjang dua hari berikutnya bagi sambutan hari kedua dan ketiga.

“Mohamad akan melawat mangsa di hospital serta lokasi kejadian esok,” kata Adeysham, sambil menambah bahawa Mohamad dijangka pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

“Beliau telah menerima maklumat terkini mengenai kejadian itu daripada pusat khidmat Kota Raja dan kerajaan Selangor.”

Pihak berkuasa melaporkan bahawa seramai 538 penduduk daripada 120 keluarga terpaksa mendapatkan perlindungan di dua pusat pemindahan sementara, iaitu di masjid Putra Heights dan dewan serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.

 

BSMM tak menang tangan sejak jam pertama letupan berlaku

PUTRA HEIGHTS – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Selangor tampil segera menyalurkan pelbagai bantuan awal susulan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang mencederakan lebih 100 orang dan menjejaskan ramai penduduk.

Menurut Pengerusi BSMM Selangor, Nanthakumar Rajasingam, pihaknya dengan pantas telah menggerakkan 30 anggota sukarelawan ke lokasi pada hari kejadian bagi menyelaras operasi bantuan kemanusiaan.

Kata beliau, sebahagian daripada pasukan tersebut telah ditugaskan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), masing-masing di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camellia Putra Heights, dengan 15 anggota BSMM di setiap lokasi.

“Pasukan kita sendiri tidak menang tangan sejak jam pertama insiden berlaku, termasuk menyediakan rawatan kecemasan dan memindahkan mangsa ke beberapa hospital berhampiran.

“Kami memberi rawatan kecemasan kepada mangsa yang mengalami luka terbakar dan melecur ringan serta mengurus pemindahan mereka ke hospital seperti Hospital Serdang, Hospital Shah Alam, Hospital Cyberjaya dan Hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 

Kata beliau, selain rawatan fizikal, BSMM turut menyediakan khidmat sokongan psikososial (Psycho-Social Support) kepada mangsa yang mengalami trauma akibat kehilangan rumah dan harta benda secara tiba-tiba.

“Ramai mangsa keluar menyelamatkan diri tanpa membawa sebarang barangan peribadi. Maka kami telah mengagihkan bakul makanan dan kit kebersihan untuk membantu mereka bertahan di PPS dalam keadaan lebih selesa dan terurus.

“Kit bantuan yang diedarkan termasuk makanan kering, sabun mandi, tuala wanita, lampin bayi, dan pelitup muka, keperluan asas yang kritikal bagi mangsa yang berdepan situasi kecemasan,” ujarnya.

Kata Nanthakumar, BSMM turut bekerjasama erat dengan pelbagai agensi seperti Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa NGO tempatan mendepani insiden itu.

Beliau juga turut menyeru supaya lebih ramai sukarelawan untuk tampil membantu dalam misi kemanusiaan ini, seiring dengan prinsip-prinsip utama BSMM yang menekankan nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan bantuan tanpa diskriminasi.

“BSMM Selangor komited meneruskan khidmat ini sehingga semua mangsa berada dalam keadaan selamat, stabil dan mendapat keperluan asas yang mencukupi, kita akan lega andai lebih ramai sukarelawan tampil membantu kerana bantuan sentiasa diperlukan dari masa ke semasa.

“Apa yang berlaku semalam bukanlah tragedi biasa sebaliknya sesuatu yang mengejutkan ratusan mangsa yang masih lagi dalam keadaan trauma dan mereka memerlukan sokongan kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

Penduduk ditimpa hujan batu, lari menyelamatkan diri

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru, dekat sini tidak menyangka ‘hujan batu’ pada pagi semalam berpunca daripada letupan di Putra Heights.

Wan Maznah Wan Yusoff, 43, berkata, bunyi bising turut kedengaran di udara yang disangka pesawat terhempas seperti yang digambarkan anaknya.

Menceritakan kejadian itu, wanita tersebut berkata, mereka sekeluarga ketika itu sedang bersiap untuk beraya di Perak.

“Ketika sedang menunggu dobi pakaian selesai, anak saya menelefon memaklumkan ‘api besar’ di belakang rumah tok.

 “Saya yang ketika itu sedang minum di kedai mamak bergegas pulang ke rumah.
 

“Tiba di selekoh menuju ke rumah, saya dapat rasa hujan batu halus-halus dan lihat api yang cukup marak tidak berapa jauh dari rumah. Masa itu saya redha saja,” ujarnya ketika ditemui di pusat penempatan sementara, Masjid Putra Heights dekat sini.

Menurut Wan Maznah, keadaan ketika itu panas dan bahangnya tidak mampu digambarkan.

“Mujur api menjulang, jika api merebak secara mendatar memang rumah kami terbakar kerana ia terletak berdekatan di antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurut Wan Maznah semua lima ahli keluarganya sempat menyelamatkan dua buah motosikal keluar dari tempat kejadian.

“Saya sempat melawat rumah hari ini, syukur struktur binaan masih kekal, namun bahagian dalam rumah bertaburan,” ujarnya.

Sementara itu, kakaknya Wan Azizan, 46, berkata, trauma masih dirasakan sehingga tidak mampu melelapkan mata malam tadi kerana masih dihantui kejadian tersebut.

Ujarnya, dia sekeluarga yang tinggal bersebelahan dengan adiknya hanya keluar sehelai sepinggang menyelamatkan diri daripada bahang api yang terlalu panas. – MalaysiaGazette

Penduduk ditimpa hujan batu, lari menyelamatkan diri

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru, dekat sini tidak menyangka ‘hujan batu’ pada pagi semalam berpunca daripada letupan di Putra Heights.

Wan Maznah Wan Yusoff, 43, berkata, bunyi bising turut kedengaran di udara yang disangka pesawat terhempas seperti yang digambarkan anaknya.

Menceritakan kejadian itu, wanita tersebut berkata, mereka sekeluarga ketika itu sedang bersiap untuk beraya di Perak.

“Ketika sedang menunggu dobi pakaian selesai, anak saya menelefon memaklumkan ‘api besar’ di belakang rumah tok. “Saya yang ketika itu sedang minum di kedai mamak bergegas pulang ke rumah.

“Tiba di selekoh menuju ke rumah, saya dapat rasa hujan batu halus-halus dan lihat api yang cukup marak tidak berapa jauh dari rumah. Masa itu saya redha saja,” ujarnya ketika ditemui di pusat penempatan sementara, Masjid Putra Heights dekat sini.

Menurut Wan Maznah, keadaan ketika itu panas dan bahangnya tidak mampu digambarkan.

“Mujur api menjulang, jika api merebak secara mendatar memang rumah kami terbakar kerana ia terletak berdekatan di antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurut Wan Maznah semua lima ahli keluarganya sempat menyelamatkan dua buah motosikal keluar dari tempat kejadian.

“Saya sempat melawat rumah hari ini, syukur struktur binaan masih kekal, namun bahagian dalam rumah bertaburan,” ujarnya.

Sementara itu, kakaknya Wan Azizan, 46, berkata, trauma masih dirasakan sehingga tidak mampu melelapkan mata malam tadi kerana masih dihantui kejadian tersebut.

Ujarnya, dia sekeluarga yang tinggal bersebelahan dengan adiknya hanya keluar sehelai sepinggang menyelamatkan diri daripada bahang api yang terlalu panas. – MalaysiaGazette

 

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search