PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Percepat pelan mitigasi banjir

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan negeri didesak mempercepatkan pelan mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning bagi menangani bencana itu daripada terus menghantui penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pelan mitigasi banjir dan berharap pelaksanaan projek itu memberikan bantuan kepada komuniti setempat. Menurut beliau, antara kawasan berisiko banjir seperti di Taman Sri Muda (TSM), Bukit Kemuning, Greenville, Kampung Bukit Lanchong dan semua taman perumahan di DUN berkenaan. "JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah memberikan kemas kini mengenai status projek-projek yang sedang dijalankan dan amat menghargai usaha mereka, namun kami mendesak agar projek tersebut dipercepatkan.

 "Kami memahami bahawa penduduk telah menunggu terlalu lama untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan," katanya. Preakas berkata, penjagaan sistem saliran air amat penting dan berharap ia diberi keutamaan oleh pihak bertanggungjawab. "Banjir berulang kali menyebabkan tekanan dan kerugian harta benda dan saya menegaskan ini masa paling sesuai untuk memberi keutamaan kepada rakyat berbanding projek mega yang boleh ditangguhkan," jelas beliau.

Beliau memberitahu, penduduk juga membangkitkan kerisauan mereka berhubung koordinasi antara agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu banjir. Ujarnya, ketiadaan koordinasi telah menyebabkan penderitaan penduduk dan pihaknya mendesak semua pihak bekerja secara bersatu serta cekap dalam menangani isu tersebut dengan segera.

"Untuk memastikan ketelusan dan memberikan maklumat kepada komuniti, saya akan memuat naik kemas kini berkaitan di laman Facebook, Instagram, aplikasi X dan TikTok. 

"Kami sedang mengkaji situasi ini secara aktif, dan dengan tekad kami menetapkan sasaran untuk menangani kebimbangan ini secepat mungkin," tambah beliau.

Dalam pada itu, Preakas memberitahu, pemasangan pam skru yang sepatutnya siap pada Rabu berdepan masalah berikutan berlakunya pergerakan tanah yang tidak terduga.

Bagaimanapun, ujar beliau, tindakan segera telah diambil untuk mengukuhkan platform sebelum pembinaan stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersebelahannya dapat diteruskan.

"Kami mengakui kepentingan dan kecemasan dalam menangani perkara ini, selain berjanji untuk terus memantau dengan teliti dan bertindak secepat mungkin bagi menyelesaikan isu yang tidak dijangka ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

"Saya juga ingin mendapatkan laporan terperinci punca banjir semalam daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan JPS dalam kadar segera supaya dapat mengambil tindakan seterusnya serta tidak boleh menerima sebarang kelewatan dan memandang hal ini serius."Keselamatan dan kesejahteraan penduduk DUN Kota Kemuning adalah keutamaan saya dan dengan komitmen tinggi, saya berjanji untuk terus bekerja tanpa henti dalam menyelesaikan isu-isu banjir yang terus mengganggu komuniti kita," jelas beliau.

Banjir Terengganu: 113 mangsa terjejas di 5 daerah

KUALA TERENGGANU: Seramai 113 mangsa terjejas dalam banjir gelombang ketiga sejak semalam.

Setakat jam 6 petang, mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, lima daerah terbabit ialah Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.

Setiu merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 36 mangsa daripada 16 keluarga di dua PPS.

Di Hulu Terengganu, seramai 30 mangsa daripada 14 keluarga berada di satu PPS di Balai Raya Kampung Kemat.

Seramai 26 mangsa daripada enam keluarga berada di empat PPS di Dungun.

Di Besut, PPS di Surau Perumahan Bukit Cina dibuka bagi menempatkan seramai 14 mangsa daripada lima keluarga.

Seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga berada di dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu 9, Ibok dan Surau Kanpung Ban Ho di daerah Kemaman.

2 sungai lepasi paras bahaya di Kelantan

KOTA BHARU: Hujan di Kelantan sejak semalam menyebabkan paras air di dua sungai utama di negeri ini meningkat dan melepasi paras amaran.

Berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai melepasi paras amaran itu adalah Sungai Kelantan di Kuala Besar di sini yang mencatat bacaan 1.85 meter (m) berbanding paras normal 1.3m dan Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok dengan bacaan 8.45m berbanding paras normal 6m.

Empangan Bukit Kwong di Rantau Panjang pula melepasi paras waspada iaitu 17.24m berbanding paras normal 16.76m.

Kelantan kembali dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pasir Puteh.Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 123 mangsa daripada 42 keluarga terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, Pasir Puteh.

Bomba selamatkan 36 orang awam terperangkap banjir kilat

IPOH - Seramai 36 orang awam menempuh detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat lebih 1 meter di Taman Fair Park, dekat sini pada Rabu.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada jam 5.06 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika kejadian paras air berada pada kedalaman antara 1 hingga 1.5 meter.

"Operasi menyelamat telah dilakukan dengan melakukan pencarian di sekitar kawasan itu.

 "Seramai 36 mangsa yang dikesan terperangkap berjaya dipindahkan ke tempat yang selamat," katanya dalam kenyataan di sini.Beliau berkata, operasi tamat pada jam 6.50 petang dan pemantauan dijalankan mendapati, air telah surut 90 peratus di lokasi kejadian.

Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu bertambah

KUALA TERENGGANU - Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu pada petang Rabu bertambah kepada 113 orang berbanding seramai 63 mangsa yang direkodkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sehingga jam 6 petang tadi, sebanyak 43 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di lima daerah terjejas banjir di negeri itu.

Antara daerah terkesan banjir ketika ini ialah Kemaman (7 mangsa), Dungun (26), Besut (14), Setiu (36) dan Hulu Terengganu (30).

Banjir yang melanda daerah Marang telah pulih sepenuhnya apabila tiga buah PPS yang dibuka di daerah berkenaan pada Selasa ditutup tengah hari tadi manakala tiada PPS dibuka di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dilanda banjir kilat pada pagi Selasa.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portalhttps://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiga sungai di dua daerah di negeri itu telah melepasi paras bahaya sehingga jam 4 petang pada Rabu.

Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok merekodkan bacaan setinggi 8.58 meter (m) melebihi paras bahaya 8.40 m serta Sungai Nerus di Kampung Langkap setinggi 18.74 m (paras bahaya 17.50 m).

Sementara itu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu di daerah Hulu Terengganu merekodkan bacaan 22.29 m melebihi paras bahaya 21 meter.

Selain itu, empat sungai di tiga daerah lain merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Tumpat di Kampung Kemasik serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak masing-masing di daerah Kemaman.Banjir gelombang keempat kembali melanda Terengganu setelah hujan lebat berterusan berlaku sejak petang Isnin.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search