PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu meningkat 1,559

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,559 mangsa daripada 471 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.

Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 32 PPS telah dibuka di Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Besut merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 516 mangsa daripada 147 keluarga sudah dipindahkan ke lapan PPS.

Menurutnya, mangsa banjir di daerah Setiu pula kini seramai 454 orang daripada 144 keluarga dan semua mereka ditempatkan di sembilan PPS.

 "Bagi daerah Dungun, empat PPS sudah dibuka bagi menempatkan 283 mangsa daripada 86 keluarga yang terjejas banjir, manakala di Hulu Terengganu pula melibatkan 88 keluarga terdiri daripada 282 individu sudah dipindahkan ke sembilan PPS," kata kenyataan itu pada Khamis.

Jelas kenyaataan itu lagi, mangsa banjir di Kemaman pula melibatkan 24 individu daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua PPS. Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.

Banjir di Kelantan: Penduduk terputus hubungan

Kota Bharu - Penduduk Kampung Pasir Jering, Kuala Krai di sini mula berjaga-jaga berikutan air naik selepas hujan lebat kira-kira lima hari lalu.

Penduduk, Mohd Saidi Jaafar, 57 berkata, sehingga jam 6.30 petang (hari ini) ada kediaman penduduk yang dinaiki air sehingga 0.3 meter di bahagian dapur.

 

Menurutnya penduduk juga terputus hubungan kerana jambatan Kampung Pasir Jering yang menjadi laluan utama ke bandar sudah ditenggelami air.

"Kami belum lagi berpindah tetapi dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan masih belum berhenti," katanya.

 Bagaimanapun katanya, pemimpin setempat dan anggota keselamatan sudah memantau kawasan kampung itu.

Sebanyak tiga pusat pemindahan banjir dibuka di Kelantan membabitkan 126 keluarga dengan 377 mangsa berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Air Sungai Kelantan di Tangga Krai dicatatkan setinggi 20.96 meter manakala Sungai Semerak di Jambatan Melor setinggi 7.35 meter iaitu masing-masing di paras berjaga-jaga.

Media sebelum ini melaporkan hujan lebat di negeri ini mengakibatkan banjir di daerah Pasir Puteh namun situasi itu tidak lama dan ada penduduk yang sudah pulang ke rumah.

Hujan lebat, Pusat Konservasi Gajah Tasik Kenyir dilanda banjir

KUALA BERANG - Pusat Konservasi Gajak Tasik Kenyir (KECV) dilanda fenomena kepala air sebanyak dua kali, berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.

Pengarah KECV, Ang Ching Yang berkata, kejadian pertama berlaku sekitar 1 tengah hari semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di pusat itu termasuk kafeteria, surau dan tandas mengalami kerosakan.

Beliau berkata, kejadian kedua pula berlaku kira-kira 9.30 pagi hari ini, mengakibatkan jambatan dilimpahi air sehingga menyukarkan pekerja menghantar makanan kepada gajah dan kawasan gajah mandi, turut terjejas.

"Dua hari sebelum kejadian (Isnin) pun saya tengok air sungai bewarna kuning dan bercampur lumpur serta gajah-gajah di sini juga telah memberikan isyarat bunyi.

 "Kalau ikutkan pengalaman kami di sini kedua-dua keadaan itu menandakan bencana alam bakal berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ching Yang berkata, kedua-dua kejadian itu tidak menjejaskan kesemua 17 ekor gajah di pusat berkenaan kerana telah dipindahkan ke lokasi selamat lebih awal, manakala pengunjung tidak berada di KECV kerana ditutup susulan cuaca buruk.

"Kos kerosakan memang kami belum kira tetapi hampir saban tahun tempat kami dilanda kepala air dan setiap tahun juga kos membersih dan membaiki kawasan serta kemudahan terjejas antara RM250,000 hingga RM300,000,” katanya.

Beliau berkata, KECV akan dibuka semula kepada pengunjung apabila kerja-kerja pembersihan serta pembaikan selesai dan cuaca kembali pulih. - Bernama

Banjir: ATM bantu usung keluar jenazah warga emas

HULU TERENGGANU - Kegigihan Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) meredah air banjir telah berjaya membawa keluar jenazah seorang warga emas wanita yang meninggal dunia di Kampung Bukit Tadok, dekat sini pada Khamis.

Dengan terpaksa mengharungi banyak laluan ditenggelami air banjir di kawasan tersebut, mereka telah mengusung jenazah warga emas itu sehingga ke trak tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejauh lebih 100 meter. Pasukan tersebut mengharung banjir sedalam lebih satu meter bagi membawa jenazah Kalthom Mat, 84, yang meninggal dunia di rumahnya akibat sakit tua pada jam 9 pagi tadi.

Kediaman mangsa yang digenangi air sejak semalam menyebabkan van jenazah tidak dapat memasuki kampung berkenaan.

 Justeru, bantuan daripada ATM tersebut berjaya membawa jenazah mangsa untuk dibawa ke masjid sebelum ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Tadok.

Sementara itu, anak arwah Kalthom, Mat Sudin Mustafa, 63, berkata, dia berterima kasih kepada ATM yang telah membantu memindahkan jenazah ibunya dengan meredah air susulan pekarangan rumah dinaiki air lebih satu meter sehingga menyukarkan urusan selanjutnya.

Menurut Mat Sudin, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tadok selepas solat Asar.

"Penghulu kampung dan pengurusan kampung meminta bantuan ATM yang melakukan operasi membantu mangsa banjir di kampung ini.

"Terima kasih ATM kerana sudi membantu mengharungi banjir sedalam lebih satu meter mengusung arwah ibu sebelum dibawa dengan trak ke masjid.

"Alhamdulillah... bantuan tersebut memudahkan proses membawa keluar arwah ibu ke masjid berjalan dengan baik," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para) Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata, pasukannya telah mengatur gerakan 'first responder' untuk membantu mangsa banjir yang terjejas di Hulu Terengganu.

"Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) tidak ketinggalan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu dengan kehadiran mereka di lokasi yang terbabit.

"Pasukan 18 RAMD (Para) turut memberikan bantuan memindahkan jenazah seorang wanita warga emas dari rumah ke tanah perkuburan di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu.

"Atur gerak ini membabitkan tiga pegawai dan 25 anggota diketuai oleh Mejar Shah Hadi Shah Budin termasuk aset perairan dan kenderaan bagi membantu memindahkan mangsa di kawasan terjejas ke PPS," jelasnya.

Amaran hujan lebat, ribut petir di 9 negeri

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri berkuat kuasa sehingga pukul 7 malam Khamis.

Jabatan itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, amaran tersebut dikeluarkan ekoran ramalan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang dijangka melanda Kedah (Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim, Bandar Baharu) serta seluruh Pulau Pinang dan Perak.

Selain itu di Pahang melibatkan beberapa daerah iaitu Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan, Bera, Pekan, Tanah Tinggi Cameron dan Rompin manakala Sarawak di Betong Saratok dan Kabong, Sarikei dan Sibu (Kanowit).

Negeri lain yang terlibat termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search