Terengganu rekod mangsa tertinggi
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 1,684 mangsa banjir masih berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat 6 pagi semalam.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa tertinggi masih direkodkan di Terengganu dengan 1,378 orang ditempatkan di 14 PPS di Dungun.
Johor merekodkan 235 mangsa dengan ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi dan Mersing; Kelantan (43 mangsa, satu PPS di Tanah Merah) serta Pahang (28 mangsa, dua PPS di Rompin).
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran
mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.
Antara sungai terlibat ialah Sungai Endau di Mersing, Sungai Punggai dan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
Nadma turut memaklumkan 34 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.
KOTA BHARU: Kumpulan pesawah dari Kampung Teras, Binjai, di sini, mendakwa kerugian hampir RM100,000 selepas sawah mereka seluas 28 hektar ditenggelami banjir termenung sejak hampir seminggu lalu.
Katanya, anak benih berusia dua minggu musnah sepenuhnya apabila digenangi air sehingga mencecah 1.5 meter (m) dan merugikan pesawah yang sepatutnya menuai hasil padi pada April ini.
"Padi hanya boleh dituai dua kali setahun, namun disebabkan masalah ini berkemungkinan besar kami dapat menuai sekali sahaja pada hujung tahun, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah di sini.
"Saya kerugian kira-kira RM16,000 selepas sawah seluas 6.4 hektar ditenggelami sepenuhnya. Penat lelah menabur benih sia-sia selain menanggung kerugian benih, racun dan upah membajak.
"Justeru, saya memohon pihak berkenaan membina laluan air agar masalah sebegini tidak berulang lagi," katanya.
Che Mazlan Mohd Noor, 57, berkata situasi sawah digenangi air adalah perkara biasa, tetapi dengan paras air semasa pasti mengambil masa lama untuk surut.
"Kami menjangkakan ia mungkin mengambil lebih sebulan untuk surut sepenuhnya. Benih padi boleh diselamatkan jika hanya tenggelam kurang 10 hari tetapi jika selebihnya, tiada dapat diselamatkan.
"Bantulah kami kerana bersawah adalah satu-satunya punca pendapatan kami dan masalah ini akan berulang jika isu laluan air tidak diselesaikan," katanya.
Beliau berkata, masalah itu turut menyebabkan beberapa kawasan banjir seperti Kampung Teras, Kampung Chepa, Kampung Wakaf Tanjung, Kampung Saraf dan Kampung Mentuan, di sini.
Beberapa jalan utama di kawasan kampung dinaiki air separas 0.5m sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.
LAHAD DATU: Gempa bumi lemah berukuran 3.6 pada skala Richter yang berlaku di perairan timur Sabah pada 2.11 petang tadi turut dirasai gegarannya oleh penduduk di daerah ini.
Seorang guru, Noor Faradzilla Iswana Ommar, 30, berkata beliau dapat merasai gegaran itu lebih kurang seminit ketika berada di rumahnya di tingkat empat sebuah kuarters di tengah bandar di sini.
Di kuarters sama, sukarelawan polis, Bibi Sharmiezza Mohd Rafi Khan, 31, turut merasai gegaran itu ketika sedang mengemas rumah.
"Gegaran itu lemah sahaja tetapi menyebabkan saya rasa pening," katanya yang tinggal di tingkat satu kuarters terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung gegaran akibat gempa bumi tersebut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memberitahu pusat gempa itu terletak di 6.2 darjah utara dan 118.4 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer iaitu 57 kilometer timur laut dari Sandakan.
Sementara itu di Sandakan, penduduk yang ditemu bual tidak merasakan gegaran berhubung kejadian gempa itu.
Lahad Datu dan Sandakan merupakan daerah di pantai barat Sabah terletak 168 kilometer antara satu sama lain.
– BERNAMA
CAMERON HIGHLANDS - Jasad mangsa keempat dan kelima tragedi runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley dekat sini telah dijumpai petang Sabtu.
Penemuan itu menjadikan kesemua lima mangsa merupakan pekerja kebun sayur warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, kedua-dua mangsa ditemui di kedudukan antara sektor C dan D dengan jarak lima meter antara satu sama lain.
"Mangsa keempat dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada jam 6.10 petang disusuli mangsa terakhir seorang wanita, Om Myu, 37, jam 6.50 petang," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.
Operasi digerakkan pada sebelah pagi berjaya menemui mangsa ketiga pada jam 12.15 tengah hari.Mayat Thang Moung, 25, itu dijumpai di sektor D pada kedalaman 1.5 meter tidak jauh dari lokasi penemuan mangsa pertama.Pada Jumaat, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan berjaya menemui dua mangsa dikenalpasti sebagai Law Ha Phey, 36, di sektor C dan Ki Shing Om, 48, di sektor B.Sementara itu, Azri turut mengesahkan, tiada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan terbabit.
Beliau berkata, kematian dan identiti semua lima mangsa itu telah dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Myanmar.
Katanya, proses bedah siasat semua mangsa akan dijalankan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk tindakan selanjutnya.
"Dengan penemuan semua mangsa ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan dan PKTK ditutup pada jam 9 malam," katanya.
Seramai 220 anggota daripada 17 agensi telah menyertai operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam.
Operasi turut dibantu khidmat dua Anjing Pengesan (K9), Frankie dan Pop.
Kejadian itu telah dilaporkan kepada polis pada jam 2.10 pagi membabitkan dua rumah pekerja didiami lima warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa sedang tidur dan hanya disedari rakan sekerja yang tinggal di rumah pekerja berhampiran selepas mendengar bunyi dentuman kuat.
Tiga daripada mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan sebagai suami isteri dan bapa sementara dua lagi merupakan rakan sekerja.
KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah projek menangani banjir perlu disempurnakan segera demi kebaikan rakyat.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ini termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dirancang, merujuk kepada projek yang disembah maklum kepada baginda bagi menangani masalah bencana itu di Sungai Lembing di sini.
"Kita harap ini dapat disegerakan," titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing pada Sabtu.
Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah turut mencadangkan agar infrastruktur di Sungai Lembing dikaji semula kerana kawasan itu merupakan lokasi bersejarah dan masih didiami penduduk. Seri Paduka menzahirkan rasa simpati kepada penduduk di kawasan itu yang terpaksa berdepan dengan bencana banjir bukan sahaja pada musim tengkujuh tetapi juga semasa hujan lebat di luar monsun timur laut."Jalan untuk sampai di sini sudah mendap, sungai mungkin dah cetek. Cari kaedah supaya banjir ini dapat kita atasi.
"Mungkin sudah sampai masa kena kaji. Tengok sungai kita, kaji infrastruktur yang ada dengan lebih serius dan terperinci (untuk mengurangkan risiko banjir)," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah mencadangkan agar Sungai Kenau diperdalam bagi mengurangkan implikasi banjir di kawasan terlibat.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.
Sewaktu lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan dan bantuan makanan daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada lebih 200 ketua isi rumah di PPS tersebut selain menyantuni mangsa banjir di dewan makan. - Bernama