PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Eksport pasir sungai Pahang bantu kurangkan risiko banjir

PETALING JAYA – Cadangan meluluskan eksport  pasir sungai di Pahang disifatkan wajar diperhalusi oleh Kerajaan Persekutuan kerana berpotensi membantu pengurusan sungai serta mengurangkan risiko banjir di negeri itu.

Geologi

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, pandangan dizahirkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berasas kerana Pahang mempunyai rangkaian sungai yang luas dan panjang di Semenanjung Malaysia, sekali gus memerlukan pemantauan serta penyelenggaraan secara konsisten.

Beliau berkata, kerja pengorekan pasir sungai yang dilaksanakan secara terkawal bukan sahaja dapat memperbaiki aliran  air, malah berpotensi menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.

“Apabila berlaku mendapan pasir yang tinggi, aliran sungai boleh menjadi semakin cetek dan ini berpotensi meningkatkan risiko banjir terutama ketika musim hujan.

“Sebab itu titah Tengku Mahkota Pahang ini wajar diperhalusi kerana ia dilihat demi kebaikan rakyat khususnya warga Pahang yang saban tahun berdepan ancaman banjir,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pengurusan pasir sungai secara sistematik bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan, malah membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir.

“Sudah pasti semua pihak mahu melihat penyelesaian jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

“Apa yang penting adalah pelaksanaan dilakukan secara terkawal, telus serta mematuhi aspek alam sekitar,” ujarnya.

Semalam, Kosmo! melaporkan, Tengku Hassanal menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan Persekutuan yang dilihat mengenepikan hak negeri Pahang termasuk dalam isu larangan eksport pasir ke negara luar.

Baginda bertitah sehubungan itu kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

44 mangsa banjir Bandar Baharu berpindah ke PPS

BANDAR BAHARU: Seramai 44 penduduk daripada 12 keluarga di daerah ini terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah kediaman mereka dilanda banjir, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di PPS Dewan Keda Sungai Tengas yang diaktifkan sejak pukul 8.30 malam.

Katanya, lima kampung terjejas dalam banjir terbabit iaitu Kampung Sungai Tengas; Kampung Air Itam Dalam; Kampung Cherok Meranti; Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar.

“Hujan lebat selama beberapa jam mulai sebelah petang yang menyebabkan kawasan rendah dinaiki air,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, keadaan air Sungai Terunsing yang terletak di Kampung Sungai Tengas juga berada pada paras bahaya ketika ini. – UTUSAN

MBPJ, JPS bina tembok banjir tangani banjir kilat

PETALING JAYA: Pembinaan tembok banjir atau ‘floodwall’ di kawasan kritikal Sungai Penchala antara langkah utama dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang di sekitar daerah ini termasuk Medan Selera 223, Jalan 223, di sini.

Selain itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memasang sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) sebagai usaha mengawal limpahan air ketika hujan lebat.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, pembinaan tembok banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu penting bagi mengelakkan kenaikan air di kawasan terbabit.

Katanya, SKaLiS akan dipasang di setiap saluran parit utama termasuk pemasangan injap sehala atau flap gate pada saluran kecil yang menuju ke Sungai Klang bagi mengawal limpahan air ketika hujan lebat.

“Semalam, saya telah turun padang bersama Ahli Majlis Zon 14, ketua jabatan, kontraktor serta wakil peniaga di lokasi terbabit bagi meninjau langkah boleh diambil bagi menyelaras tindakan segera melibatkan aspek saliran, pembersihan dan mitigasi banjir.

“Selain itu, MBPJ turut mengintegrasikan penggunaan sensor pintar termasuk siren amaran awal automatik bersama kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kenaikan paras air sungai secara lebih pantas.

“Pelepasan air dari setiap premis juga tidak boleh lagi disalurkan terus ke sungai bagi mengurangkan risiko peningkatan aliran air ketika hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, JPS mengarahkan pihak pemaju (kontraktor) menaikkan jambatan besi sementara di kawasan terbabit bagi mengelakkan air sungai melimpah semula atau backflow ke sistem perparitan milik MBPJ.

Jelas beliau, pemaju juga diarahkan mengemukakan pelan naik taraf longkang parit hujan lebat (PHL) di bahagian ‘upstream’ dan ‘downstream’ untuk semakan serta kelulusan pelaksanaan kerja naik taraf.

“Pemaju terbabit turut perlu menaik taraf sistem PHL di bahagian upstream sistem perparitan di sebahagian Jalan 227 berhampiran pintu belakang gerai Medan Selera 223.

“Malah, bagi mengurangkan beban peniaga, pihaknya akan mengecualikan bayaran sewa selama dua bulan iaitu bagi Mei dan Jun tahun ini kepadq mereka yang terkesan

Tambahnya, semua tindakan berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan risiko banjir dapat dikurangkan selain menjamin keselamatan penduduk dan peniaga di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 14, S. Asogan berkata, kejadian banjir di kawasan terbabit dipercayai berpunca akibat sistem perparitan yang tidak dapat menampung kapasiti air dan pembangunan.

“Justeru, longkang kawasan itu akan dinaik taraf atau diluaskan bagi mengelakkan berlakunya insiden banjir,” katanya.

Rabu lalu, beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat susulan limpahan air Sungai Penchala akibat hujan lebat.

Antara terkesan, Medan Selera 223 anggaran kedalaman 1.21 meter (m) malah sebelum ini kawasan terbabit dinaiki air selama tiga hari berturut bulan lalu. – UTUSAN

Utiliti bawah tanah punca projek lewat

KUCHING, 10 Mei: Kelewatan projek jalan raya dan tebatan banjir di beberapa kawasan berpunca daripada masalah utiliti di bawah tanah seperti paip air, kabel elektrik dan telekomunikasi.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, sebaik sahaja tapak projek diserahkan kepada kontraktor, segala urusan dan tanggungjawab di kawasan terbabit berada di bawah pihak kontraktor dan agensi yang mengeluarkan kontrak.

“Sebagai contoh projek tebatan banjir di Jalan Mendu, kerja pembinaan terpaksa dihentikan sementara selepas kontraktor menemui paip air bersaiz besar di bawah kawasan penggalian,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurutnya, utiliti di bawah tanah tidak boleh dipindahkan sewenang-wenangnya kerana perlu melalui prosedur tertentu serta tindakan daripada agensi berkaitan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau berharap isu kelewatan projek tidak dipolitikkan sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.-TVS

73 pelajar cemas sekolah dilanda banjir kilat

SEBERANG PERAI – Seramai 73 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami di Tasek Junjung, Simpang Ampat di sini cemas apabila selepas bangunan berkenaan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.39 malam.

“Insiden melibatkan banjir kilat di kawasan sekolah dengan anggaran paras air setinggi satu kaki yang berpunca daripada hujan lebat serta paras air sungai yang meningkat.

“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, air telah beransur surut dan operasi pemantauan dijalankan kerana masih terdapat pelajar di asrama sekolah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua 39 pelajar perempuan dan 34 pelajar lelaki berada dalam keadaan selamat.

“Pihak sekolah turut menghubungi keluarga pelajar untuk mengambil mereka dan lokasi kejadian disahkan selamat selepas air surut sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search