PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Datuk Bandar turun padang bersih saliran tersumbat

SHAH ALAM - Hujan lebat berterusan sejak kebelakangan ini di sekitar Shah Alam menyebabkan beberapa kawasan mengalami masalah air bertakung.

Salah satu lokasi yang terjejas adalah di Persiaran Dato Menteri, berhampiran Restoran Syed di Seksyen 3 di sini.

 

Keadaan ini mendapat perhatian Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim, yang turun padang sendiri bagi memastikan tindakan segera diambil.

Beliau yang dalam perjalanan pulang dari Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Selasa tanpa berlengah turun dari kenderaan dan mengambil tindakan membersihkan parit erong yang tersumbat, dipercayai menjadi punca kepada masalah saliran di Persiaran Dato Menteri.

Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen tinggi beliau terhadap kebersihan, keselamatan, dan kesejahteraan warga Shah Alam.

Penduduk yang menyaksikan insiden tersebut memuji tindakan pantas Mohd Fauzi yang tidak teragak-agak untuk bertindak demi kesejahteraan masyarakat.

Seorang peniaga di kawasan berhampiran Ahmad Faizal, menyatakan rasa kagumnya terhadap kepimpinan Datuk Bandar Shah Alam.

“Kami sangat menghargai kesungguhan Datuk Bandar yang turun padang sendiri, bukan sekadar memberi arahan dari jauh. Ini menunjukkan beliau benar-benar mengambil berat masalah rakyat,” katanya.

MBSA dalam kenyataan rasmi sebelum ini turut menegaskan bahawa pemantauan berkala akan terus dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Penduduk juga digalakkan untuk melaporkan sebarang isu berkaitan sistem perparitan atau banjir kilat kepada pihak berkuasa tempatan.

Dengan kepimpinan berjiwa rakyat seperti ini, Shah Alam diyakini dapat melangkah lebih maju sebagai sebuah bandar raya yang bukan sahaja moden, tetapi juga mesra penduduk.

 

Situasi banjir di Kelantan adalah banjir kilat - Bomba

Kota Bharu: Banjir yang berlaku di beberapa daerah di Kelantan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu adalah situasi banjir kilat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, keadaan cuaca seperti ini dijangka akan berterusan sehingga 1 Mac depan berdasarkan rujukan daripada aplikasi ramalan cuaca, namun ia tidak membimbangkan.

Katanya, pada masa sama, pihaknya turut melakukan pemantauan secara berkala di kawasan rendah yang berisiko banjir berdasarkan laporan semasa daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MetMalaysia.

"Sehingga kini, berdasarkan pemerhatian kami dan rujukan daripada MetMalaysia paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya.

"Justeru saya menasihatkan kepada penduduk yang tinggal di hilir sungai supaya berjaga-jaga dan mendengar nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah," katanya ketika dihubungi.

 

Dugaan menjelang Ramadan

Rantau Panjang: "Saya berharap banjir kali ini tidak berlarutan memandangkan puasa juga hanya beberapa hari lagi, kami mahu menyambut Ramadan di rumah dengan tenang," luah Aminah Saari, 37.

Aminah berkata, halaman kediaman rumahnya mula dilanda banjir sejak tengah malam tadi, dan paras air juga semakin bertambah walaupun ia naik secara perlahan.

Katanya, cuaca mendung dan hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan air di Sungai Golok berhampiran kediamannya juga melimpah, malah ia turut membanjiri Pintu 2 dan Pintu 3 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini.

"Saya sekeluarga mengemas pagi ini kerana bimbang akan keadaan air yang semakin tinggi. Setakat ini, air masih belum memasuki bahagian dalam rumah tetapi kami mahu bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan.

"Kami juga berdoa semoga cuaca cerah tanpa hujan supaya air segera surut, kerana jika ia berlarutan, pasti banjir melanda dan mengambil masa hampir seminggu untuk kembali pulih.

"Sejujurnya, kami sekeluarga baru sahaja berpakat untuk mengemas serta membeli barangan dapur bagi menyambut Ramadan dan sangat berharap semoga bah tidak melanda supaya kami boleh menjalani ibadah berpuasa dengan tenang," katanya yang tinggal di Kampung Kubang Chenok di sini

Aminah berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang (1) juga tidak dapat meneruskan pembelajaran hari ini, susulan kawasan sekolah turut dinaiki air sejak malam tadi.

Penolong kanan pentadbiran SRU (A) Tarbiah Islamiah Lubok Gong, Zahari Mokhtar pula berkata, air naik dengan mendadak menyebabkan pihak sekolah tidak sempat untuk memindahkan atau menyelamatkan barangan ke tempat tinggi.

"Sesi persekolahan juga ditutup sementara kerana pagi ini air membanjiri kawasan sekolah separas hampir satu meter selain turut menjejaskan kelas di bahagian bawah serta kantin.

"Kami baru sahaja berhadapan dengan kerugian apabila sekolah ini dilanda banjir teruk pada November lalu, dan tidak menyangka kali ini bah melanda lagi dengan sangat cepat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Hamzah Musa, ketika dihubungi berkata beberapa kawasan rendah berdekatan sungai mulai dinaiki air sejak malam tadi.

"Situasi berkenaan juga berlaku susulan taburan hujan lebat di kawasan hulu yang menyebabkan paras air di Sungai Jenob, Tanah Merah, melepasi tahap bahaya. Air dari sungai terbabit mengalir ke Sungai Golok yang menyebabkan berlaku bah di kawasan rendah di sini," katanya.

 

Gempa bumi kuat, penduduk Sulawesi lari keluar rumah

Jakarta: Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi magnitud 6.1 melanda berhampiran Pulau Sulawesi di Indonesia pada Rabu lalu, memaksa penduduk meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Gegaran berlaku 6.55 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km) dengan pusat gempa di luar pantai berhampiran wilayah Sulawesi Utara, menurut USGS.

Agensi meteorologi negara itu menyatakan magnitud yang lebih rendah iaitu 6.0 dan berkata, tiada potensi tsunami.

Penduduk tempatan di Sulawesi Utara menggambarkan situasi panik ketika gempa bumi itu berlaku. "Ia kuat, bergoyang dari sisi ke sisi. Barangan di dalam bilik saya bergegar.

"Saya nekad keluar. Saya sangat takut akan berlaku gegaran susulan ketika saya berada di dalam lif. Semua tetamu lain juga melarikan diri," kata Gita Waloni, 25, yang juga tetamu di di sebuah hotel dekat daerah Minahasa kepada AFP.

Negara kepulauan yang luas itu sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.

Gempa bumi magnitud 6.2 yang menggegarkan Sulawesi pada Januari 2021 mengorbankan lebih 100 individu dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.

Pada 2018, gempa bumi magnitud 7.5 dan tsunami berikutnya di Palu dekat Sulawesi, membunuh lebih 2,200 individu.

Sementara pada 2004, gempa bumi bermagnitud 9.1 melanda wilayah Aceh, menyebabkan tsunami dan mengorbankan lebih daripada 170,000 penduduk di Indonesia.

 

Kerjasama ASEAN perlu lebih kukuh, tangani ancaman rentas sempadan

GEORGE TOWN – Negara-negara ASEAN perlu menjalin kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi menangani cabaran keselamatan semakin kompleks dan merentasi sempadan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rantau ASEAN menghadapi ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak dapat ditangani oleh satu negara sahaja.

Katanya, dengan cabaran keselamatan daripada pelaku bukan negara serta risiko biosekuriti yang semakin meningkat, ASEAN mesti meningkatkan kesiapsiagaan dan kerjasama bagi menangani cabaran ini secara berkesan.
 
“Pada masa yang sama, strategi keselamatan kita mesti mampan, dengan memanfaatkan pendekatan jangka panjang dan berpandangan ke hadapan dalam kerjasama pertahanan bagi mengekalkan kestabilan serantau untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di Batu Ferringhi, di sini hari ini.

Dalam ucapan pembukaan tersebut, Mohamed Khaled turut membentangkan enam usul Malaysia selaku Pengerusi ADMM tahun ini.

Usul itu melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam pertahanan, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR), termasuk mencari dan menyelamat (SAR), kerjasama industri pertahanan, ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara dan risiko biosekuriti.

Dianggarkan lebih 150 delegasi dari 10 negara ASEAN serta Timur Leste selaku negara pemerhati menghadiri sesi ADMM ke-19 itu. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search